Dalam budaya Melayu, perjalanan menuju alam perkahwinan sering melibatkan beberapa fasa penting.
Fasa-fasa itu bukan mencerminkan keunikan tradisi sahaja, malah melambangkan nilai agama dan budaya yang menjunjung adab, hormat, serta persediaan mental dan fizikal bagi mendirikan rumah tangga.
Salah satu fasa tersebut ialah merisik, iaitu proses awal apabila wakil pihak lelaki bertanyakan kepada wakil pihak perempuan apakah wanita tersebut sudah atau belum berpunya.
Sekiranya wanita tersebut belum berpunya dan bersetuju menerima lamaran, maka proses diteruskan ke fasa berikutnya, iaitu pertunangan.
Pertunangan menandakan persetujuan kedua-dua pihak untuk mendirikan rumah tangga pada tarikh yang telah dipersetujui.
Dalam tradisi Melayu, majlis pertunangan lazimnya dilakukan secara sederhana, dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja.
Wakil keluarga lelaki membawa hadiah, termasuk simbol ikatan pertunangan, yang biasanya sebentuk cincin, walaupun boleh juga dalam bentuk barang berharga lain.
Majlis perbincangan biasanya dimulakan dengan perbincangan antara keluarga mengenai urusan perkahwinan seperti nilai hantaran, tarikh dan lokasi majlis pernikahan.
Selepas perbincangan selesai, cincin pertunangan disarungkan ke jari wanita oleh ibu atau wakil pihak lelaki, menandakan pertunangan secara rasmi.
Dalam Islam, pertunangan bukan dianggap sebagai adat sahaja, malah amalan yang harus dilakukan sebelum akad nikah.
Ia memberi peluang kepada pasangan untuk mengenali satu sama lain dari segi akhlak, keperibadian dan latar belakang keluarga.
Selain itu, fasa ini memberi ruang untuk persiapan mental dan fizikal sebelum perkahwinan dilangsungkan.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Lihatlah perempuan itu dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.” (HR Al-Tirmizi).
Hadis ini menekankan kepentingan mengenali pasangan sebelum perkahwinan.
Ini selari dengan pandangan moden mengenai keserasian dan pemahaman bersama, yang menitikberatkan komunikasi terbuka dan saling mengenali untuk membina asas hubungan yang kukuh.
Begitu juga bagi wanita, yang berhak melihat lelaki yang ingin mengahwininya bagi memastikan keserasian dan mengelakkan penyesalan pada kemudian hari.
Hukum melihat pasangan yang ingin dipinang adalah harus, selagi ia dilakukan dengan menjaga batasan syariat.
Menurut jumhur (kebanyakan) ulama, anggota tubuh wanita itu yang boleh dilihat ialah muka dan tapak tangan kerana ia cukup untuk menggambarkan kejelitaan dan keperibadian seseorang.
Dalam Islam, pertunangan dikenali sebagai ‘khitbah’, yang bermaksud permulaan kepada pernikahan.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 235: “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah; tempoh terlarang kahwin lain bagi seseorang janda atau balu).”
Ayat ini menunjukkan keharusan meminang wanita yang ingin dinikahi.
Namun, perlu difahami bahawa pertunangan hanyalah janji untuk berkahwin dan bukan kontrak perkahwinan itu.
Pasangan yang bertunang masih dianggap ajnabi (bukan mahram) antara satu sama lain dan pergaulan mereka mesti mematuhi batas-batas syariat.
Sebagai contoh, mereka tidak dibenarkan bersentuhan atau berdua-duaan tanpa kehadiran mahram.
Sebaliknya, interaksi boleh dilakukan dalam suasana yang menjaga adab, seperti berbincang di tempat awam atau dengan kehadiran anggota keluarga.
Fasa ini adalah masa untuk perbincangan dan persiapan, bukan untuk berasmara.
Perkara penting seperti matlamat hidup, peranan suami dan isteri, serta kesediaan untuk mendirikan rumah tangga perlu dibincangkan dalam suasana yang menjaga adab, seperti di rumah dengan kehadiran mahram atau di tempat awam.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki berkhalwat (duduk berdua-duaan) dengan seorang perempuan kerana pihak yang ketiga adalah syaitan.” (HR Al-Tirmizi).
Dalam Islam, terdapat beberapa larangan penting berkaitan pertunangan:
1. Haram meminang
pinangan orang lain
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin adalah saudara kepada mukmin lain, maka tidak halal bagi seorang mukmin meminang seorang perempuan yang sedang dipinang oleh saudaranya, sehingga nyata ia telah ditinggalkan.” (HR Ahmad dan Muslim).
2. Tidak melengah-lengahkan
perkahwinan
Islam tidak menetapkan tempoh khusus bagi pertunangan, namun digalak tidak melengah-lengahkan perkahwinan selepas bertunang.
Ini kerana melengahkan perkahwinan boleh membuka ruang kepada fitnah, mengundang salah faham, atau membawa kepada perkara yang tidak selari dengan syariat.
3. Solat istikharah,
musyawarah (perundingan)
Sebelum membuat keputusan untuk bertunang, seseorang digalak menunaikan solat istikharah (solat untuk meminta pedoman daripada Allah bagi memilih jalan yang lebih baik daripada dua pilihan) dan berbincang dengan orang yang dipercayai.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kamu berkeinginan melakukan sesuatu, maka hendaklah kamu solat dua rakaat selain solat wajib, kemudian kami berdoa...” (HR Bukhari).
Doa dan musyawarah (perundingan) adalah penting untuk memastikan keputusan yang diambil diberkati dan bertepatan dengan kehendak Allah swt.
Pertunangan adalah satu perjanjian untuk berkahwin, namun kedua-dua pihak mempunyai hak untuk membatalkan pertunangan jika ada sebab munasabah.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Isra’, ayat 34: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”
Mengenai hadiah lambang pertunangan, seperti cincin atau barang berharga lain, terdapat perbezaan pandangan tentang kewajipan memulangkan barang tersebut apabila pertunangan dibatalkan.
Ada ulama berpandangan pemberian itu tidak boleh diambil semula, sementara sebahagian lagi mengaitkannya dengan pihak yang membatalkan pertunangan.
Untuk mengelakkan pertikaian, kedua-dua pihak disarankan menjelaskan niat pemberian tersebut sejak awal.
Pertunangan dalam Islam adalah langkah yang dianjurkan untuk membina rumah tangga kukuh dan harmoni.
Ia adalah peluang untuk mengenali pasangan secara halal, mendalami ilmu perkahwinan dan mempersiapkan diri untuk kehidupan baru.
Dengan menjaga batas syariat, memperbanyakkan doa dan bertawakal kepada Allah swt, fasa pertunangan dapat membawa kepada perkahwinan yang bahagia dan diberkati.
Sebagai contoh, pasangan yang bertunang boleh bersama-sama menghadiri kursus persediaan rumah tangga, seperti program Cinta Abadi yang ditawarkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Maklumat lanjut mengenai kursus ini boleh diperoleh di laman web cintaabadi.sg.
Langkah ini dapat mengeratkan hubungan dan membina asas persefahaman yang lebih mendalam.
Sebagai orang Islam, adalah penting untuk melaksanakan pertunangan dengan penuh adab dan tanggungjawab.
Semoga setiap langkah yang diambil dalam membina rumah tangga mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya.
Penulis naib kadi Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Ketua Kaunselor Projek Arif, AMP Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg