Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahsia bina ikatan perkahwinan harmoni

Usaha, panduan bentuk pasangan idaman berlandaskan iman, kasih sayang
Aug 17, 2025 | 5:30 AM
rumah tangga, kahwin, ROMM, Bersamamu
Pasangan suami isteri yang saling memahami, bersabar dan mengukuhkan ikatan dengan cinta serta rahmat Allah swt adalah kunci kepada rumah tangga yang bahagia dan harmoni. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO
Penulis, Ustaz Khairil Amri Abdul Hamid.
Penulis, Ustaz Khairil Amri Abdul Hamid. - Foto ihsan KHAIRIL AMRI ABDUL HAMID

Dalam kehidupan berumah tangga, setiap pasangan mengimpikan kebahagiaan dan keharmonian.

Namun, kebahagiaan itu bukan datang dengan sendiri.

Ia memerlukan usaha, kesabaran dan keikhlasan daripada kedua-dua pihak.

Sebagai suami isteri, kita dituntut menjadi insan yang baik bukan sahaja kepada pasangan, malah kepada diri sendiri, anak-anak dan masyarakat.

Landasan perkahwinan dalam Islam

Allah swt telah menjadikan perkahwinan sebagai satu ikatan suci yang bertujuan mencapai sakinah (ketenangan), mawaddah (cinta yang sebenar) dan rahmah (kasih sayang).

Firman Allah swt dalam Surah Ar-Rum, ayat 21:

“Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu berasa tenang di samping mereka, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa asas perkahwinan ialah kasih sayang dan ketenangan.

Ia hanya dapat dicapai jika suami dan isteri saling berusaha menjadi insan yang baik dalam tutur kata, perbuatan dan niat.

Ciri pasangan idaman

Begitu juga, terdapat beberapa ciri utama yang perlu ada bagi meraih pasangan yang diidamkan.

Antara ciri tersebut adalah seperti berikut:

1) Ketaatan kepada Allah swt dan Rasul saw

Kunci utama menjadi pasangan idaman adalah menjaga hubungan dengan Allah swt dan Rasul saw.

Suami dan isteri yang taat kepada perintah Allah swt dan Rasul-Nya akan berusaha memperbaiki diri dan menjauhi perkara yang boleh mencetuskan dosa. Rasulullah saw bersabda:

“Cukuplah seseorang itu dikatakan berdosa jika dia mensia-siakan tanggungjawabnya terhadap orang yang berada di bawah tanggungannya.” (HR Abu Dawud, Nasa’i dan Ahmad).

Ini bermaksud bahawa seorang suami yang tidak memenuhi tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga – seperti nafkah, kasih sayang, atau perlindungan – akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

Hal ini boleh menjadi dosa yang besar jika diabaikan. Contoh yang lain pula termasuk sabda Rasulullah saw:

“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, kemudian si isteri menolaknya, lalu suami tidur dalam keadaan marah, maka malaikat akan melaknatnya hingga pagi.” (HR Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menekankan keperluan seorang isteri supaya tidak mengabaikan kehendak suami dalam hal yang halal, kecuali terdapat alasan yang sah.

Keengganan tanpa sebab boleh mencetuskan dosa.

2) Komunikasi yang baik

Salah satu aspek penting dalam perkahwinan ialah komunikasi.

Suami dan isteri perlu belajar mendengar, memahami dan menghormati pandangan satu sama lain. Rasulullah saw bersabda:

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (HR Tirmizi).

Suami yang baik ialah yang menghormati isterinya, manakala isteri yang baik ialah yang memahami keadaan suaminya.

3) Sabar dan reda

Kehidupan rumah tangga tidak selalunya indah.

Ada kalanya ujian dan cabaran yang menguji kesabaran.

Dalam hal ini, suami dan isteri perlu saling menyokong dan reda dengan ketentuan Allah swt.

Namun, Allah swt turut memberikan panduan kepada pasangan untuk mengatasi ujian bersama, iaitu dengan berpegang pada sifat sabar dan mendirikan solat.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 45:

“Dan mintalah pertolongan pada Allah dengan sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”

Dengan kesabaran dan keredaan, segala kesukaran dapat diatasi dan hubungan rumah tangga akan menjadi lebih kukuh.

4) Jaga akhlak dan kesetiaan

Pasangan idaman ialah mereka yang menjaga akhlak, baik di dalam mahupun di luar rumah.

Suami yang tidak memandang wanita lain dan isteri yang setia menjaga maruah diri adalah contoh terbaik dalam rumah tangga. Sabda Rasulullah saw:

“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR Muslim).

Justeru, wanita yang solehah akan menjaga kehormatan diri dan keluarganya, sementara lelaki yang soleh akan memastikan kesejahteraan isterinya.

Amalan bentuk pasangan idaman

1) Muhasabah diri

Sebelum menyalahkan pasangan atas sebarang masalah, kita perlu melihat kelemahan diri sendiri.

Muhasabah diri membantu memperbaiki hubungan dan mencegah pertengkaran.

2) Doa, ibadah bersama

Salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri antara satu sama lain adalah dengan meluangkan masa berdoa dan beribadah bersama.

Solat berjemaah di rumah, membaca Al-Quran, menghadiri majlis ilmu di masjid atau berkongsi kisah teladan adalah antara amalan yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

3) Luang masa bermutu

Walaupun sibuk bekerja, suami dan isteri perlu meluangkan masa untuk satu sama lain.

Perbincangan ringan atau kegiatan bersama dapat meningkatkan rasa kasih sayang.

Cinta, rahmat Allah sebagai tonggak utama

Menjadi pasangan idaman bukanlah sesuatu yang mustahil jika kita menjadikan cinta kepada Allah swt sebagai tonggak utama.

Dalam setiap perhubungan, pasti ada ujian, namun dengan saling memahami, memaafkan, menghargai pasangan serta berusaha memperbaiki diri, suami dan isteri dapat membentuk rumah tangga yang penuh kasih sayang dan keberkatan.

Mari bersama kita berusaha menjadi pasangan yang bukan sahaja dicintai di dunia, malah diberkati di akhirat.

Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang disebut Rasulullah saw:

“Orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling baik kepada keluarganya.” (HR Tirmizi).

Semoga rumah tangga kita menjadi contoh yang baik untuk anak-anak dan masyarakat, serta mendapat keredaan Allah swt.

Penulis ialah pengurus masjid di Masjid Al-Iman serta Naib Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM). Beliau menuntut di Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kedah, Malaysia, sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir, dalam bidang syariah Islam. Beliau juga mempunyai diploma dalam bidang kaunseling dan psikologi daripada Maktab Learning Capital di Singapura.

“Menjadi pasangan idaman bukanlah sesuatu yang mustahil jika kita menjadikan cinta kepada Allah swt sebagai tunggak utama.  Dalam setiap perhubungan, pasti ada ujian, namun dengan saling memahami, memaafkan, menghargai pasangan serta berusaha memperbaiki diri, suami dan isteri dapat membentuk rumah tangga yang penuh kasih sayang dan keberkatan.”
– Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg