Ramadan bermakna: Transformasi jiwa langkaui lapar dan dahaga
Ramadan bermakna: Transformasi jiwa langkaui lapar dan dahaga
Maksimumkan manfaat Ramadan melalui tiga sudut utama – persediaan mental, mutu ibadah dan impak sosial
Baru-baru ini, Masjid Khadijah menganjurkan Seminar Ramadan bertajuk, Ramadan yang Bermakna dan Berkesan.
Seminar yang dihadiri sekitar 100 orang itu bertujuan membimbing kita menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna, melangkaui tahun sebelumnya, dan meninggalkan kesan mendalam setelah bulan mulia ini berlalu.
Pada 19 Februari, umat Islam Singapura menyambut ketibaan Ramadan dan mula berpuasa.
Bulan suci ini sering kali disambut dengan penuh kesyukuran, namun turut diiringi azam yang sama setiap tahun: “Tahun ini, aku mahu menjadi lebih baik.”
Persoalannya, bagaimana “lebih baik” ini diangkat daripada sekadar menahan lapar dan dahaga, kepada satu transformasi jiwa yang hakiki?
Untuk mencapai Ramadan yang sungguh bermakna dan berkesan, kita perlu beralih tumpuan daripada rutin ritual semata-mata kepada penghayatan spiritual.
Artikel ini akan merungkai strategi untuk memaksimumkan Ramadan melalui tiga sudut utama: Persediaan mental, mutu ibadah dan impak sosial.
Kualiti Melebihi Kuantiti
Dalam mengejar manfaat Ramadan, kita sering terperangkap dalam perlumbaan angka.
Berapa juzuk Al-Quran yang ingin dikhatamkan? Berapa rakaat tarawih yang perlu disempurnakan?
Walaupun angka penting sebagai penanda disiplin, Ramadan yang “berkesan” lebih menekankan kepada kualiti, atau ‘ihsan’.
Sebagai contoh, mengkhatamkan Al-Quran adalah sunah mulia.
Namun, membaca satu halaman dengan pemahaman mendalam (tadabur) lebih berkesan untuk mengubah diri, berbanding menghabiskan 30 juzuk tanpa menghayati maknanya.
Untuk menjadikan pembacaan Al-Quran lebih bermakna, kita boleh memperuntuk 10 minit selepas setiap solat fardu untuk membaca terjemahan dan tafsir ringkas.
Dengan ini, kita menghidupkan tradisi tadabur, bukan sekadar mengejar penyelesaian khatam sahaja.
Begitu juga dalam melaksanakan solat tarawih.
Solat 20 rakaat tarawih yang dilakukan secara tergesa-gesa mungkin tidak memberikan impak yang sama dengan lapan rakaat yang ditunaikan dengan penuh ketenangan (tum’aninah).
Untuk Ramadan yang lebih bermakna, beri tumpuan pada kehadiran hati yang sejati.
Hayati setiap sujud sebagai ruang terdekat seorang hamba dengan Penciptanya.
Puasa Jasmani dan Rohani
Imam Al-Ghazzali menjelaskan, puasa awam hanya menahan diri daripada makan, minum, dan hubungan jenis.
Namun, puasa yang benar-benar bernilai adalah apabila pancaindera dan hati turut sama berpuasa.
Ini bermakna, selain menahan lapar dan dahaga, seseorang yang berpuasa wajib menjaga diri daripada sifat tercela seperti berbohong, mencaci, mengumpat dan lain-lain.
Inilah yang dinamakan puasa orang khusus.
Di era digital, cabaran terbesar puasa bukanlah lagi godaan makanan di bazar, tetapi godaan ‘jari’ di media sosial – mengumpat, mengeji atau menyebar fitnah secara digital mampu menghanguskan pahala puasa dalam sekelip mata.
Oleh itu, lakukanlah ‘detoks digital’ dengan mengurangkan masa melayari kandungan yang sia-sia.
Gantikan waktu tersebut dengan zikir, ibadah, dan membaca Al-Quran.
Ramadan adalah madrasah untuk membersihkan jiwa.
Gunakan masa ini untuk meluaskan maaf, serta membuang segala perasaan hasad dan dengki daripada hati.
Keberkesanan Ramadan dapat diukur sejauh manakah hati kita menjadi lebih lembut dan tenang selepas berakhirnya bulan mulia itu.
Produktiviti dan Pengurusan Masa
Ramadan sering disalah anggap sebagai bulan untuk berehat atau bulan yang meletihkan sehingga mengurangkan daya pengeluaran kerja.
Hakikatnya, sejarah Islam membuktikan banyak kemenangan besar tercetus di bulan Ramadan, termasuk perang pertama dalam Islam, iaitu Perang Badar.
Muslim tidak seharusnya menjadikan puasa sebagai alasan untuk tidak aktif dan cekap.
Selain matlamat kerohanian, puasa juga bertujuan melatih jasmani dan akal kita.
Pemakanan yang betul turut memainkan peranan penting.
Contohnya, ketika sahur, sebaiknya kita mengambil makanan yang melepaskan tenaga secara perlahan (kompleks karbohidrat) seperti kurma, barli dan gandum.
Dan ketika berbuka, memadailah dengan kurma dan air suam serta makanan sihat, dan elakkan makan sehingga terlalu kenyang.
Tidur sebentar (power nap) sekadar 15 hingga 20 minit sebelum atau sesudah waktu zuhur mampu menyegarkan semula sistem saraf untuk baki hari tersebut.
Waktu di awal pagi juga janganlah disia-siakan.
Gunakan waktu selepas subuh untuk kerja yang memerlukan tumpuan tinggi kerana pada waktu itu minda masih segar dan perut belum terlalu lapar.
Bulan Ihsan dan Kepedulian
Ramadan yang berkesan tidak hanya bersifat individu (hablumminallah), tetapi juga bersifat sosial (hablumminannas).
Rasa lapar yang kita alami sewajarnya membangkitkan empati terhadap mereka yang kurang bernasib baik.
Setiap Muslim yang berpuasa digalakkan memanfaatkan bulan mulia ini dengan memperbanyakkan sedekah dan zakat.
Ingatlah, tangan yang memberi lebih mulia daripada yang menerima.
Pahala bersedekah di bulan Ramadan digandakan berkali-kali. Cubalah amalkan bersedekah setiap hari ke tabung masjid, meskipun hanya dengan $1.
Kekuatan terletak pada istiqamah (ketekalan atau terus-menerus).
Antara amalan yang paling besar ganjarannya di bulan Ramadan ialah memberi makan kepada orang yang berpuasa.
Amalan menjamu orang berbuka (iftar saa-imin) ini sangat dituntut dalam Islam.
Ia bukan sekadar kebajikan biasa, malah membawa ganjaran kerohanian dan kemasyarakatan yang amat besar. Ini adalah kelebihan yang paling utama.
Rasulullah saw bersabda sesiapa yang memberi makan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala seperti pahala orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.
Amalan bersedekah, terutama dalam bentuk makanan kepada mereka yang memerlukan, menjadi asbab kepada keampunan dosa.
Selain itu, memberi makan tidak akan mengurangkan harta, sebaliknya ia menjemput keberkatan dalam rezeki kita.
Jadikan waktu berbuka dan bersahur sebagai medan mengeratkan silaturahim.
Jauhkan telefon bimbit dari meja makan. Berbuallah dengan ibu bapa, pasangan, dan anak-anak.
Keberkatan Ramadan turut mengalir melalui kegembiraan yang kita bawa ke dalam rumah tangga.
Kebesaran Hari-Hari Terakhir Ramadan
Kemuncak Ramadan adalah pada penghujungnya.
Malangnya, ramai yang ‘pancit’ atau hilang tumpuan apabila mendekati Aidilfitri kerana sibuk dengan persiapan kebendaan seperti baju Raya dan kuih-muih.
Anggaplah Ramadan seperti perlumbaan maraton.
Pelari yang bijak akan menyimpan tenaga untuk melakukan pecutan di garisan penamat.
Di akhir Ramadan, Rasulullah saw menggalakkan kita agar lebih beribadah dan mencari lailatulqadar.
Carilah malam lailatulqadar dengan meningkatkan amal ibadah secara intensif.
Jika tidak mampu beriktikaf di masjid sepanjang malam, pastikan kita tidak meninggalkan solat berjemaah dan bangun sebahagian malam untuk bermunajat.
Keberkesanan Ramadan yang sebenar bukan dilihat pada 1 Syawal, tetapi pada bulan-bulan seterusnya.
Adakah solat kita masih terjaga? Adakah lisan kita masih terpelihara?
Ulama menyatakan antara tanda amalan seseorang diterima adalah apabila dia diberikan taufik untuk melakukan kebaikan selepas itu.
Ramadan hanyalah ‘kem latihan’ (boot camp).
Matlamat sebenarnya adalah menjadi hamba Allah swt yang bertakwa sepanjang tahun.
Apabila Ramadan berakhir, sambutlah Aidilfitri dengan cara yang diajarkan Rasulullah saw iaitu menghidupkan malam Hari Raya dengan banyak takbir, syukur dan juga doa.
Malam Hari Raya bukan setakat masa untuk bergembira.
Ia adalah masa perbanyakkan doa dan takbir dan menzahirkan kesyukuran kepada Allah swt.
Kesimpulan
Ramadan yang lebih baik, bermakna dan berkesan memerlukan perancangan teliti dan niat yang tulus.
Ia bukan tentang melakukan segalanya dengan sempurna, tetapi tentang melakukan penambahbaikan yang berterusan dari tahun-tahun sebelumnya.
Apabila kita mula menitikberatkan mutu dalam setiap sujud; menjaga lisan dalam setiap interaksi dan menghulurkan tangan dalam setiap peluang; saat itulah Ramadan kita berubah daripada sekadar ritual tahunan kepada transformasi jiwa yang hakiki.
Semoga Ramadan kali ini menjadi yang terbaik dalam sejarah hidup kita, dan menjadi asbab untuk kita meraih reda-Nya di dunia dan akhirat.
Ustaz Dr Mohamed Ali ialah Pengerusi Masjid Khadijah.

