Kesihatan dalam Islam amat diutamakan.
Tubuh yang sihat membolehkan seorang Muslim melaksanakan kedua-dua tanggungjawab yang telah ditetapkan Ilahi, sebagai hamba dan khalifah Allah swt, dengan sebaik-baiknya.
Ia bermula dengan pemilihan makanan halal (yang dibenarkan) dan tayyib (berkhasiat dan seimbang) yang diambil dalam jumlah munasabah dalam jangka masa tertentu.
Ini membawa kepada badan dan emosi yang sihat serta insan dengan rohani yang dapat menyumbang secara positif kepada masyarakat.
Cabang ilmu berkaitan kesihatan dan penyakit dalam tradisi intelektual Islam ialah sains perubatan Islam.
Keadaan manusia yang lazim adalah sihat dengan penyakit sekali-sekala, apabila juzuk manusia tidak seimbang.
Peranan doktor atau mana-mana pengamal perubatan dalam perubatan Islam adalah memulihkan keseimbangan semua komponen jiwa manusia – kecenderungan perilaku (nafs), kognisi (‘aql), roh dan ekspresi emosi; daripada komponen utama (ihsas).
Ia membawa penyepaduan atau makhluk yang disertai dengan hati yang sihat (qalb salim).
Kesihatan rohani dan mental dalam Islam mesti difahami secara holistik, untuk mengekalkan keharmonian dan keseimbangan jiwa manusia atau pemulihannya apabila ditimpa penyakit.
Cabang ilmu khusus dalam sistem perubatan Islam itu diberi nama, ‘ilm al-nafs, atau kini dikenali juga sebagai psikologi Islam.
Memandangkan manusia makhluk yang kompleks, setiap dimensi dan hubungan rumit perlu ditangani untuk mencapai kesihatan dan penyembuhan daripada penyakit.
Rawatan konvensional bagi kesihatan mental kurang mempunyai campur tangan yang dapat menangani pelbagai dimensi, terutama hati dan rohani manusia, menjadikan hasilnya hanya bersifat sementara.
Apa yang benar-benar diperlukan ialah pendekatan kesihatan mental dan amalan klinikal dan campur tangan kukuh berasaskan epistemologi dan ontologi dalam teologi Islam dan pelbagai tradisi Islam.
Epistemologi merujuk pada teori tentang pengetahuan, terutamanya yang berkaitan dengan kajian kritis tentang kesahihan, kaedah, dan skop sesuatu pengetahuan.
Ontologi pula adalah cabang ilmu falsafah atau metafizik yang berkaitan dengan fitrah makhluk (manusia) dengan setiap bentuk pemikiran manusia dapat dikembalikan pada dasar.
Proses berikut dalam campur tangan terapeutik Islam mesti dijalankan oleh kakitangan terlatih dan berkelayakan.
Seseorang tidak boleh melakukan campur tangan itu sendiri.
1. Qalb – Hati
Kebanyakan daripada kita lebih berorientasikan kepada minda apabila kita mengenal pasti sesuatu masalah berkaitan pemikiran, kepercayaan, dan konstruk kognitif kita.
Walaupun minda diperlukan dalam proses kaunseling atau campur tangan, tiada perubahan sebenar boleh berlaku jika hati diabaikan.
Kita boleh menghabiskan banyak masa menyusun semula kognisi atau cara berfikir, tetapi jika kita tidak menangani hati, yang merupakan sumber emosi pemikiran itu, perubahan akan bersifat sementara.
Hati, sebagai pusat manusia, mesti diberikan tumpuan semasa dalam peringkat campur tangan.
2. ‘Aql – Akal/Intelek
Banyak terapi konvensional memberikan tumpuan kepada penstrukturan semula pemikiran.
Sebagai tambahan kepada apa yang kita sudah tahu, psikologi Islam terlibat dalam penyusunan semula kognisi agar selaras dengan nilai dan membawa minda kita dalam proses penyembuhan jiwa dan menyepadukan bersama ibadah dengan Allah swt.
Oleh itu, matlamatnya adalah menyusun semula konstruk kognitif agar mempercayai bahawa Allah swt mempunyai rancangan yang lebih baik dan matlamatnya adalah untuk tunduk kepada rancangan Ilahi itu.
Satu lagi strategi kognitif yang boleh membantu mengukuhkan corak pemikiran yang berubah ialah berzikir.
Menggunakan zikir pada tahap qalb adalah untuk membuka hati seseorang agar menerima rahmat Allah swt dan membawa zikir itu ke dalam batin kita.
Zikir pada peringkat ‘aql adalah untuk mengorientasikan semula pemikiran sedar kita kepada mengingati Allah swt.
3. Nafs – Kecenderungan
Perilaku
Muhasabah ialah amalan mengambil kira diri.
Walaupun ia melibatkan kesedaran daripada keseluruhan diri bersepadu (qalb, ‘aql, nafs, roh), selalunya tumpuan diberi kepada aspek khusus diri yang lebih rendah kerana ini adalah aspek yang paling perlu diusahakan dan diperbaharui.
Istilah nafs paling hampir menyerupai ego dalam psikologi Barat. Bezanya, secara sendiri, nafs tidak dianggap buruk.
Nafs dipengaruhi hawa (keinginan), fungsi diri lebih rendah dan dorongannya ke arah kepuasan diri.
Kecenderungan ini fitrah, tetapi jika dibiarkan, ia boleh membawa kita jauh daripada takwa.
4. Jasad – Badan Fizikal
Disiplin fizikal penting demi menyelaraskan badan secara menyeluruh, dan membolehkan kita meningkatkan pembangunan peribadi dan pertumbuhan psikologi.
Selain amalan sunah biasa seperti tahajud, puasa sunat, membaca Al-Quran, dan zikir, diet yang sihat juga merupakan sebahagian daripada pemulihan dan terapi.
Mengambil makanan berkhasiat, menguatkan fizikal badan bagi melawan godaan.
Begitu juga bersenam dan bersukan.
5. Roh
Orang sering mendekati agama lebih secara transaksi daripada transformasi.
Ini berpunca daripada terputusnya hubungan daripada roh – bahagian jiwa manusia dengan akses terus kepada Ilahi.
Walaupun menimba ilmu salah satu cara untuk memahami dan mendalami agama seperti yang digalakkan dalam Al-Quran dan hadis, terdapat satu lagi bentuk ilmu yang datang terus daripada Tuhan.
Ini dikenali sebagai ma‘rifah (pengetahuan tentang kebenaran rohani). Ia amat penting demi kesejahteraan psikologi kerana peranan utama yang dimainkan dalam menerima syifa (penyembuhan).
Apabila kita tidak sihat dari segi fizikal, emosi, mental ataupun rohani, kita mesti mendapatkan bantuan daripada karyawan terlatih supaya kita boleh mengembalikan keseimbangan.
Di samping itu, apabila kita sihat, kita berusaha untuk mengekalkan kesihatan kita dengan mengikuti petunjuk Allah swt dan Rasul-Nya, ditambah dengan karyawan penjagaan kesihatan.
-------------------
Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Tamadun Islam dan Isu Kontemporari dari Universiti Brunei Darussalam. Dr Mubarak memiliki ijazah Sarjana Sastera dalam Budaya Rohani Islam dan Masyarakat Kontemporari dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac). Laporan ini pertama kali diterbitkan dalam laman web, Muslim.Sg.
“
Memandangkan manusia makhluk yang kompleks, setiap dimensi dan hubungan rumit perlu ditangani untuk mencapai kesihatan dan penyembuhan daripada penyakit. Rawatan konvensional bagi kesihatan mental kurang mempunyai campur tangan yang dapat menangani pelbagai dimensi, terutama hati dan rohani manusia, menjadikan hasilnya hanya bersifat sementara.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg