Perkahwinan bukan perjalanan yang sentiasa tenang.

Ada waktunya diisi kemesraan dan kegembiraan, namun ada juga masa yang menguji kesabaran, komunikasi dan keupayaan pasangan untuk terus memahami satu sama lain.

Seperti bunga teratai yang tetap berkembang indah meskipun tumbuh di air berlumpur, rumah tangga juga boleh berkembang melalui cabaran apabila suami isteri belajar mengurus perbezaan dengan ilmu, rahmah dan ihsan.

Inilah antara mesej utama Forum Bersamamu 2026 yang berlangsung pada 5 September di Auditorium Masjid Sultan.

Forum anjuran Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dengan kerjasama Masjid Sultan ini disokong oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan Mendaki dan Families for Life.

Forum menampilkan Kadi Ustaz Muhammad Nuzhan Abd Halim, Ustazah Dr Rohana Ithnin mewakili Asatizah Solace Care (Pergas), dan Kaunselor Kanan Cik Murni Abbas, dengan Cik Fiza O sebagai moderator.

Perkahwinan adalah perjalanan panjang

Ustazah Dr Rohana mengumpamakan perkahwinan seperti penerbangan jarak jauh.

Sepanjang perjalanan pasti ada pergolakan udara atau turbulence.

Matlamat pasangan bukan sekadar melepasi pergolakan itu, tetapi memastikan perjalanan akhirnya “mendarat” di destinasi yang diimpikan – hingga ke syurga.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Rum ayat 21 mengingatkan bahawa Allah menjadikan antara suami isteri mawaddah dan rahmah.

Mawaddah perlu diterjemahkan melalui tindakan dan pengorbanan, manakala rahmah menuntut belas ihsan, khususnya ketika pasangan melalui kelemahan atau fasa kehidupan yang mencabar.

Cinta tidak akan terus subur hanya kerana dua insan pernah saling mencintai.

Ia perlu dipupuk melalui perhatian, penghargaan dan kesediaan untuk terus memahami pasangan.

Padamkan “api” sebelum selesaikan masalah

Perkara kecil seperti suhu alat hawa dingin, pilihan minuman atau rutin harian boleh menjadi pertelingkahan besar apabila emosi tidak diurus dengan baik.

Ustazah Dr Rohana menggunakan analogi rumah yang sedang terbakar.

Ketika rumah terbakar, bukan masanya memikirkan warna cat dinding.

Api perlu dipadamkan terlebih dahulu.

Begitu juga dalam konflik. Pasangan perlu meredakan “api” emosi sebelum menyelesaikan punca pertelingkahan.

Rumah tangga bukan mahkamah untuk menentukan siapa menang atau kalah.

Seseorang mungkin “menang” hujahnya, tetapi kedua-duanya boleh kehilangan sesuatu yang lebih berharga dalam hubungan.

Daripada “awak lawan saya” kepada “kita lawan masalah”

Ustaz Nuzhan mengingatkan bahawa sebelum berumah tangga, pasangan sering merasakan mereka adalah “you and me against the world” atau anda dan saya menentang dunia.

Namun setelah beberapa tahun, tanpa disedari ia boleh berubah menjadi “you against me” atau awak menentang saya.

Cabaran sebenar ialah kembali melihat pasangan sebagai satu pasukan.

Kadangkala masalah bukanlah pasangan kita, tetapi isu yang sedang dihadapi.

Maka isu itulah yang perlu ditangani bersama.

Perkahwinan juga menuntut pengurusan jangkaan. Pasangan berubah mengikut usia dan keadaan.

Pada awal perkahwinan, cinta mungkin hadir melalui perbualan panjang dan masa bersama.

Beberapa dekad kemudian, cinta mungkin beralih kepada mengingatkan waktu makan ubat, menemani pasangan ke klinik atau menjaganya ketika sakit. Bentuknya berubah, tetapi nilai kasih sayangnya tetap sama.

“Connection before correction”

Forum turut mengetengahkan prinsip “connection before correction” atau membinahubungan sebelum melakukan pembetulan.

Sirah Rasulullah saw menunjukkan Baginda ringan tulang dan membantu ahli keluarga.

Walaupun kehidupan hari ini berbeza daripada zaman Rasulullah saw, nilainya tetap relevan – membantu, mengambil berat dan melayani keluarga dengan ihsan.

Dalam hubungan, pasangan perlu terus mengenali satu sama lain.

Bak kata pepatah Melayu, “tak kenal maka tak cinta”.

Kita kadangkala terlalu ghairah mahu membetulkan pasangan sehingga terlupa membina hubungan dengannya.

Teguran, sekalipun benar, sukar diterima apabila hubungan telah renggang.

Rumah tangga bukan sistem kira-kira

Realiti keluarga di Singapura membawa cabaran tersendiri, khususnya apabila kedua-dua suami isteri bekerja.

Ustaz Nuzhan menjelaskan bahawa Islam mempunyai kerangka yang jelas mengenai tanggungjawab suami terhadap nafkah.

Namun rumah tangga tidak boleh diurus dengan sekadar “melontarkan” hukum kepada satu sama lain.

Perkahwinan bukan sebuah syarikat yang setiap sumbangan perlu dihitung seperti saham dan dividen.

Prinsip tanggungjawab perlu berjalan bersama tasamuh, mawaddah dan rahmah.

Keadilan juga tidak semestinya bermaksud 50-50.

Ada ketika seorang memberi lebih, sementara seorang lagi memerlukan lebih banyak sokongan.

Yang penting, setiap pengorbanan dihargai.

Agama bukan alat untuk mengawal

Cik Murni, berdasarkan pengalaman lebih tiga dekad mengendalikan kes perkahwinan, menyentuh keadaan apabila konsep seperti “hak suami” atau “ketaatan isteri” digunakan secara keras sehingga menjejaskan kesejahteraan pasangan.

Ketaatan tidak boleh dipisahkan daripada ihsan.

Rumah tangga tidak seharusnya menjadi tempat seorang bahagia sedangkan seorang lagi menderita dalam diam.

Apabila pasangan tidak lagi berasa difahami, disayangi atau dihormati, hubungan semakin renggang.

Mendapatkan bantuan pihak ketiga yang neutral dan dipercayai seperti kaunselor, asatizah, pusat khidmat keluarga atau pihak berkuasa bukan tanda kegagalan, tetapi boleh menjadi langkah ke arah pemulihan.

Qawwam ialah amanah

Konsep qawwam dalam Surah Al-Nisa’ ayat 34 turut dibincangkan.

Ustazah Dr Rohana menjelaskan bahawa kedudukan suami sebagai qawwam bukan lesen untuk mengawal isteri, tetapi amanah untuk melindungi, membimbing dan menjaga kesejahteraan keluarga.

Rasulullah saw mengingatkan bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik terhadap ahli keluarga.

Antara ukuran penting akhlak seseorang ialah bagaimana dia melayani insan yang paling dekat dengannya.

Menjadi “pakaian” buat pasangan

Cik Murni turut mengingatkan firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 187 bahawa suami dan isteri adalah “pakaian” antara satu sama lain.

Pakaian melindungi, menutup dan memberikan keselesaan.

Begitulah pasangan seharusnya memberikan rasa selamat, menjaga aib dan membantu memperbaiki kekurangan tanpa memalukan.

Ucapan penghargaan, kata-kata yang baik atau sekadar senyuman juga mampu menyuburkan hubungan.

Teratai sebagai bekalan perjalanan

Sepanjang Forum Bersamamu, semakin jelas bahawa rumah tangga tidak dibina dengan cinta semata-mata.

Ia memerlukan kesediaan untuk terus belajar, memahami dan memilih untuk berjalan bersama.

Pada penghujung forum penulis mengajak para peserta membawa pulang satu perkataan –– Teratai yang memberi makna:

T – Terima pasangan seadanya;

E – Empati dalam memahami;

R – Reda dalam menghadapi ujian;

A – Amanah dalam menjaga hubungan;

T – Toleransi dalam perbezaan;

A – Ada ketika diperlukan

I – Ihsan dalam setiap tindakan.

Seperti teratai yang tetap mekar di air berlumpur, keindahan perkahwinan bukan kerana ia tidak pernah melalui kesukaran, tetapi kerana dua insan memilih untuk belajar dan bertambah matang melaluinya.

Bukan lagi “saya melawan awak”, tetapi “kita bersama menghadapi masalah.”

Mawaddah menyuburkan cinta, rahmah membantu pasangan ketika perjalanan menjadi sukar, manakala sakinah memberikan ketenangan untuk terus berjalan bersama.

Mudah-mudahan Teratai bukan sekadar akronim yang dibawa pulang daripada sebuah forum, tetapi menjadi nilai yang hidup dalam rumah tangga kita – agar mawaddah terus disuburkan, rahmah terus dirasakan dan ihsan menjadi pegangan dalam perjalanan menuju reda Allah swt dan Jannah-Nya.

Penulis ialah Naib Kadi dan Pengurus Dakwah, Masjid Sultan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti