Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama suami isteri kunci ‘rumahku syurgaku’

Sabar, tolak ansur dan iman bawa kebahagiaan dunia dan akhirat
Aug 31, 2025 | 5:30 AM
suami isteri, romm, bersamamu
Kerjasama, kesabaran dan iman suami isteri menjadikan rumah tangga harmoni, penuh keberkatan dan ibarat syurga kecil di dunia. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO
Penulis, Ustazah Kalthom Muhammad Isa.
Penulis, Ustazah Kalthom Muhammad Isa. - Foto fail

Setiap insan pasti mendambakan kebahagiaan abadi, sebuah kehidupan yang tenang, penuh nikmat dan bebas daripada segala kesusahan.

Bagi orang beriman, gambaran mengenai syurga yang dijanjikan Allah swt menjadi sumber harapan dan penguat jiwa dalam menghadapi ujian dunia.

Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 25, Allah swt berfirman mengenai ciri ahli syurga serta balasan yang menanti mereka atas segala amal usaha semasa hidup:

“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian daripada sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: ‘Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu’; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”

Ahli syurga diberikan pemberian yang berupa makanan bagi mengisi nafsu zahiriah serta pasangan yang menjadi idaman zahir dan batin.

Rumah idaman berupa syurga yang menyejukkan dengan laluan air sungai yang mengalir, udara segar serta pemandangan indah yang mendamaikan jiwa dan menyejukkan mata memandang.

Begitulah hidup di dunia ini yang memerlukan nikmat kehidupan zahir dan batin serta bantuan dan sokongan antara satu sama lain agar segala masalah hidup menjadi ringan apabila dapat berkongsi suka dan duka.

Manusia sering mencari rumah idaman yang mempunyai taman kecil, berbunga indah dan daunan hijau.

Ramai juga yang mengimpikan mempunyai taman air, kolam renang serta akuarium kehidupan laut yang menenangkan.

Inilah gambaran nikmat syurga duniawi yang mata kasar manusia impikan.

Untuk menjadikan hidup ini ibarat syurga dengan istilah seperti ‘rumahku syurgaku’, kita memerlukan lebih kerjasama antara pasangan suami isteri.

‘Rumahku syurgaku’ menuntut banyak pengorbanan dari sudut zahir dan batin, daripada pelbagai pihak terutama pasangan suami isteri yang sangat berbeza latar belakang, pendidikan, cita rasa, pemilihan, keperibadian, biologi, psikologi dan banyak lagi.

Dalam rumah tangga, pasangan saling diperlukan untuk saling mengenal dan memahami, namun kepuasan yang sempurna tidak akan pernah tercapai.

Manusia sentiasa berubah seiring dengan peningkatan usia dan perubahan hormon.

Peningkatan usia serta pengalaman hidup akan membentuk perbezaan dalam cara mereka memandang kehidupan – ada yang menjadi lebih matang, namun ada juga yang semakin sempit pandangan dan mudah dikuasai emosi.

Hal ini menjadikan hubungan dalam rumah tangga tidak terlepas daripada cabaran dan ujian.

Justeru, hidup berumah tangga pasti berdepan dengan pelbagai masalah dan rintangan.

Namun, pasangan yang bersedia duduk bersama, berbincang, bekerjasama dan saling bertolak ansur akan lebih mudah mengharungi gelombang kehidupan berumah tangga.

Inilah sifat orang yang bertakwa – mereka yang sedar bahawa dunia ini hanyalah medan usaha dan amal dalam menghadapi pelbagai ujian ciptaan Allah swt.

Dengan usaha, kesabaran dan tawakal, mereka bukan sahaja meraih ketenangan di dunia, malah kebahagiaan yang kekal di akhirat. Firman Allah swt dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan. Kemudian, Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”

Kerjasama antara pasangan suami isteri adalah asas utama ‘rumahku syurgaku’.

Suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab menyediakan nafkah rohani dan jasmani, manakala isteri menjaga kebajikan dirinya sendiri serta rumah tangganya.

Tiada perbezaan pangkat atau kedudukan di antara mereka kerana yang terbaik di sisi Allah swt adalah mereka yang menunaikan tanggungjawab dengan jujur, amanah dan ihsan antara satu sama lain.

Sabda Nabi saw dalam hadis terkenal yang bermaksud:

“ …Setiap kepala keluarga adalah pemimpin anggota keluarganya dan beliau diminta pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya, dan isteri pemimpin terhadap keluarga rumah suaminya dan juga anak-anaknya, dan beliau akan diminta pertanggungjawabannya terhadap mereka.”

Sayidina Umar ra pernah menasihati seorang lelaki yang mengeluh tentang isterinya:

“Bukankah isterimu telah mencuci pakaianmu, memasak makananmu dan menjaga rumahmu? Bersabarlah atas kelemahannya sebagaimana dia bersabar atas kelemahanmu.”

Tiada manusia yang sempurna.

Mengeluh atau berasa hampa dengan keadaan pasangan adalah lumrah kehidupan.

Apabila kita mendengar keluhan seseorang, bersedialah memberi perhatian, kata-kata yang baik, serta membantunya bersabar dan melihat hidup dengan tenang dan positif.

Inilah bentuk kerjasama dalam membantu insan lain menghadapi cabaran hidup.

Kerjasama dalam pasangan juga membantu menilai titik persamaan dan perbezaan, serta meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna, walaupun jalan yang ditempuh kadang sukar.

Kesusahan ini mematangkan seseorang, menjadikannya lebih bijak dan matang dalam memandang dunia.

Konsep ‘rumahku syurgaku’ bukan sekadar slogan, namun realiti yang boleh dicapai melalui usaha bersama suami isteri, keluarga dan orang terdekat, bagi mewujudkan rumah tangga harmoni, penuh pengertian, keberkatan dan kasih sayang.

Rumah yang dibina atas dasar iman, ibadah dan tanggungjawab akan menjadi syurga kecil di dunia serta membawa seisi keluarga menuju syurga akhirat.

Ambil tauladan Baginda Nabi saw sebagai suami dan ketua keluarga terbaik.

Untuk meraih syurga akhirat, iman dan amal sangat dititikberatkan kerana syurga hanya dihuni oleh mereka yang menyiapkan diri dan keluarga untuk mendapatkan reda Allah swt. Firman-Nya dalam Surah At-Tahrim, ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.”

Semoga hidup kita sentiasa disirami rahmat dan kasih sayang Allah swt, kerana hanya dengan rahmat-Nya kita mampu menjalani setiap detik kehidupan.

Penulis ialah Naib Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), kaunselor dan pendidik bebas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg