Dalam Islam, mengembara dan melancong bukan sekadar berjalan-jalan, malah sebuah pengembaraan hati.
Al-Quran mengajar kita melihat dunia dengan pandangan lebih mendalam, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 190:
“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.”
Setiap perjalanan boleh menjadi pengalaman rohani yang menghidupkan hati; ketika kita menyaksikan gunung-ganang yang teguh, bintang yang menghiasi malam dan perubahan musim yang tidak pernah berhenti – semuanya menjadi bahasa alam yang menjadi saksi kepada kebesaran Allah swt.
Al-Quran turut mengajak kita menelusuri bumi melalui firman-Nya dalam Surah Al-‘Ankabut, ayat 20:
“Katakanlah: Berjalanlah kamu di muka bumi, lalu perhatikanlah bagaimana Allah memulakan penciptaan.”
Dengan mengembara, kita berpeluang menyaksikan sendiri keindahan bumi ciptaan Allah swt serta memahami bagaimana setiap bangsa dan kaum memiliki bahasa dan budaya unik dan berbeza antara satu sama lain.
Kepelbagaian ciptaan itu menjadi pengajaran rohani yang mengajar kita untuk sentiasa memuji Pencipta di setiap destinasi.
Oleh itu, mengembara dan melancong bukan sekadar kegiatan hiburan; ia juga menjadi peringatan agar kita merenung, bersyukur dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Mengembara dan melancong juga menjadi jambatan untuk memahami sejarah. Firman Allah swt dalam Surah Ar-Rum, ayat 9:
“Tidakkah mereka berjalan di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka?”
Ketika kita berdiri di hadapan runtuhan kota lama, makam raja atau muzium yang sarat dengan sejarah, kita diberikan peluang melihat peredaran masa dan bagaimana ketamadunan berubah.
Kita juga akan menyedari kemegahan dunia bersifat sementara – kuasa, pangkat dan kekayaan yang pernah dimiliki generasi terdahulu akhirnya lenyap bersama mereka.
Mereka yang dahulu berkuasa kehilangan pengaruh, manakala mereka yang pernah terpinggir ada kalanya diberi peluang untuk bangkit.
Demikian sunatullah (hukum yang Allah swt tetapkan dalam mengatur keadaan ciptaan-Nya) yang berlaku di dunia, dengan sejarah terbentang seperti kitab yang tidak pernah tertinggal satu halaman pun – semuanya berlaku menurut ketetapan-Nya.
Tidak kira sehebat mana pencapaian kita di dunia, semua akhirnya menjadi sejarah.
Kesedaran itu mengajar kita untuk lebih rendah hati dan sedar tiada apa pun di dunia ini kekal.
Melalui pengembaraan, kita juga dapat menumbuhkan rasa syukur dan kesedaran yang benar-benar kekal hanyalah amal dan keikhlasan kita, yang kelak menjadi bekalan di hari tiada lagi kekuasaan atau kemegahan dunia.
Allah swt mengingatkan bumi dijadikan luas dan mudah diterokai melalui firman-Nya dalam Surah Al-Mulk, ayat 15:
“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah daripada rezeki-Nya. Dan kepada-Nyalah kamu akan dibangkitkan.”
Seorang pengembara melihat rezeki dalam bentuk makanan yang sebelumnya tidak dikenali, tempat berteduh yang menenangkan, serta pertemuan dengan manusia daripada pelbagai bangsa dan budaya yang membuka pintu hikmah.
Sungai yang menghidupkan lembah, ladang yang memberi makan kota dan kepelbagaian flora serta fauna menzahirkan keluasan rahmat Allah swt yang memenuhi keperluan tubuh, akal dan jiwa.
Pelancongan bukan sahaja meluaskan pandangan, malah melatih mata hati melihat pelajaran tersirat dan mengenali diri dengan lebih jujur.
Ulama Islam Sunni, Sheikh Ibn ‘Uthaymin, menjelaskan perkataan safar dan musafir dalam bahasa Arab bermaksud mendedahkan dan menyingkap akhlak seseorang.
Ramai orang hanya benar-benar dikenali melalui perjalanan bersamanya.
Pada zaman dahulu, seorang kadi daripada kalangan tabiin akan menyoal sesiapa yang memuji orang lain:
“Adakah kamu pernah bermusafir bersamanya? Pernahkah kamu bermuamalat dengannya?”
Jika jawapannya tidak, beliau menegaskan: “Sebenarnya, kamu belum benar-benar mengenalinya.”
Justeru, benar perjalanan menyingkap akhlak manusia.
Ramai yang kita temui setiap hari, namun tidak benar-benar kita kenali.
Hanya ketika bermusafir bersama, barulah terserlah sikap dan adabnya, lebih-lebih lagi pada zaman dahulu ketika perjalanan memakan masa yang panjang.
Perjalanan moden yang singkat dan selesa kadangkala tidak cukup untuk memperlihatkan akhlak seseorang.
Rasulullah saw juga mengajarkan perjalanan menuntut ilmu adalah ibadah. Sabda Baginda saw:
“Sesiapa yang menempuh jalan mencari ilmu, Allah mudahkan baginya jalan menuju syurga.” (HR Muslim).
Oleh itu, tidak hairanlah ramai ulama terdahulu mengembara merentasi padang pasir, gunung dan lautan demi menuntut ilmu; perjalanan mereka bukan sekadar fizikal, namun perjalanan ibadah dan pengorbanan.
Hari ini, perjalanan untuk menambah ilmu – sama ada dalam memahami budaya, bahasa atau sains alam – tetap boleh menjadi ibadah jika diniatkan untuk mengangkat kejahilan diri sendiri dan dilakukan kerana Allah.
Di setiap perpustakaan yang kita singgah, di setiap masjid yang kita kunjungi dan dalam setiap budaya yang kita alami, terselit tanda kebijaksanaan Tuhan yang memperkukuhkan iman dan menambah keinsafan.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Hadid, ayat 4: “Dan Dia bersama kamu di mana-mana sahaja kamu berada.”
Kita seharusnya sentiasa menghadirkan kesedaran ini dalam setiap perjalanan agar ia menjadi lebih bermakna dan menenangkan jiwa.
Oleh itu, digalakkan memulakan perjalanan dengan doa musafir.
Ketika melihat gunung atau mendakinya, lafazkan Subhanallah; ketika menikmati pemandangan, ucapkan Alhamdulillah; dan saat hati tersentuh oleh keindahan alam, lafazkan Allahuakbar.
Dengan amalan ini, setiap detik pelancongan dipenuhi pahala, meskipun kita sedang berseronok dan bergembira.
Imam Syafii pernah menulis mengembara membawa lima pengajaran: Melegakan kesempitan, membuka pintu rezeki, menambah ilmu, memperhalusi akhlak dan mendatangkan sahabat yang mulia.
Maka cubalah menjadikan setiap perjalanan atau pelancongan sarat dengan salah satu hikmah itu, agar setiap kembara yang dilakukan menjadi lebih bermakna dan sekali gus mendekatkan diri kepada Allah swt.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg