TAFSIR SURAH AL-BAQARAH
Surah Al-Baqarah ayat 249 hingga 252 menceritakan kepada kita peperangan antara Raja Talut dengan tenteranya daripada kalangan Bani Israil melawan Jalut.
Ketika berhadapan dengan musuh, sebahagian daripada mereka berasa gementar kerana jumlah mereka lebih kecil daripada musuh.
Namun, sebahagian daripada mereka yang beriman memberikan peringatan bahawa kemenangan itu tidak bergantung pada jumlah tetapi pada ketabahan, kesabaran dan pergantungan pada Allah swt, kerana kemenangan itu di tangan-Nya.
Mereka berkata pada ayat ke-249: “Maka ketika dia (Talut) dan orang-orang yang beriman bersamanya melewati sungai itu, mereka berkata: “Kami tidak mempunyai kekuatan hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya.”
Namun, orang-orang yang yakin bahawa mereka akan bertemu Allah swt berkata: “Berapa banyak kelompok kecil yang mampu mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah? Dan Allah bersama orang-orang yang sabar.”
Kisah itu mengajar kita tentang kepentingan ketabahan dan berpegang teguh pada prinsip serta bergantung pada Allah swt ketika menghadapi cabaran.
Betapa banyak peristiwa di dalam sejarah yang menunjukkan orang beriman dapat mengatasi musuh mereka dan mencapai kejayaan bukan dengan jumlah tetapi dengan pertolongan Allah swt selepas mereka berpegang teguh dan bersabar dalam menempuh ujian.
Ketika Rasulullah saw dan para sahabat melawan golongan Quraisy, mereka hanya berjumlah 300 orang sedangkan musuh mereka seramai 1,000 orang.
Namun, pertolongan Allah swt diberikan kepada mereka yang bersabar dan bergantung pada Allah swt.
Ini memberi dorongan kepada kita supaya berdiri teguh ketika menghadapi rintangan hidup dan tidak berputus asa.
Jika Allah swt boleh menolong orang lain walaupun dengan jumlah yang sedikit dan kelemahan mereka, maka tidak mustahil bagi-Nya untuk membantu kita menghadapi musibah.
Oleh sebab itu, kita harus sentiasa memanjatkan doa kepada Allah swt saat kita senang, agar Dia menganugerahkan kepada kita ketabahan ketika ditimpa musibah.
Ini selari dengan doa yang diajarkan Rasulullah saw: “Allahumma inni as aluka as sabat fil Amr, wal azimatu fir rusyd.”
Yang bermaksud: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keteguhan dalam urusan (agama) dan tekad yang kuat untuk mencapai petunjuk (kebenaran).”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg