Topik diikuti
Pergi ke BHkuTahun baru Hijrah panduan ke arah keseimbangan akal, jiwa
Tahun baru Hijrah panduan ke arah keseimbangan akal, jiwa
Manusia diuji agar kekal istiqamah dalam nilai, akhlak supaya jadi versi terbaik diri
Tahun baru Hijrah panduan ke arah keseimbangan akal, jiwa
Kita hidup dalam zaman yang sentiasa menuntut pembaharuan dan peningkatan.
Apa yang kita miliki sering perlu dinaik taraf kepada versi terkini, daripada peranti digital dan kenderaan peribadi hinggalah rumah yang kita diami.
Kemunculan kecerdasan buatan (AI) pula semakin mempercepat kecenderungan ini, dengan mengubah cara kita menghasilkan, mempersembahkan dan menambah baik hasil kerja, sama ada di sekolah mahupun di tempat kerja.
Akibat terlalu terdedah kepada penekanan terhadap kepentingan menaik taraf pelbagai keperluan fizikal yang kita miliki, kita sering terlepas pandang hakikat akal dan jiwa merupakan aset paling berharga dalam diri manusia.
Hakikatnya, di situlah terletaknya penilaian Allah swt terhadap seseorang.
Daripada akal dan jiwa jugalah lahirnya niat serta dorongan yang membentuk setiap keputusan yang kita ambil, termasuk keinginan menaik taraf keperluan fizikal yang kita miliki.
Maka mutakhir ini, kita menyaksikan satu krisis yang semakin ketara dalam kehidupan manusia – kecanggihan kebendaan yang diiringi kemiskinan jiwa dan ketumpulan akal.
Peristiwa hijrah Rasulullah saw bersama para sahabat dari Makkah ke Madinah hampir 1,448 tahun lalu membuka ruang untuk kita menelusuri beberapa pengajaran yang kekal relevan dalam usaha mengimbangi keperluan kebendaan dengan pembangunan akal dan jiwa. Antara pengajaran tersebut ialah:
1) Bina kecekalan diri dengan berlapang dada serta bersikap membina ketika berdepan ujian.
2) Pilih teman yang benar dan membawa manfaat.
3) Utamakan pembentukan nilai murni, serta keupayaan menilai meskipun berdepan pelbagai tuntutan dan perubahan zaman.
Cekal apabila diuji
Hijrah Rasulullah saw dan para sahabat berlaku selepas 13 tahun mengharungi penyeksaan dalam pelbagai bentuk, termasuk:
1) Terputusnya sokongan ekonomi di peringkat individu.
2) Pemulauan besar-besaran oleh anggota keluarga dan masyarakat.
3) Penyeksaan fizikal yang bermula dengan golongan hamba dan kurang berpengaruh.
4) Penindasan yang berleluasa termasuk pembunuhan, sebagaimana yang terjadi kepada Sumayyah binti Khayyat dan Yasir bin Amir.
Rasulullah saw sendiri mengalami penyeksaan yang bukan sahaja mengasak tubuh Baginda, malah menguji emosi dan kekuatan mental Baginda.
Bayangkan, sejurus setelah Nabi saw kehilangan Sayidatina Khadijah dan Abu Talib, yang merupakan tulang belakang dakwah Baginda di Makkah, Baginda dihujani cemuhan, caci maki dan batu bata oleh penduduk Taif.
Sungguhpun begitu, di dalam munajat Baginda saw kepada Allah, Baginda bertegas:
“Kepada siapa Engkau (Ya Allah) serahkan aku ini? Adakah kepada orang yang jauh yang mencari kesempatan untuk menyerangku? Atau kepada musuh yang Engkau serahkan urusanku padanya? Asalkan engkau tidak memurkaiku, maka aku tidak akan mempedulikan (apa yang Engkau lakukan terhadapku), akan tetapi (di sebalik segala kesulitan yang sedang dan bakal aku hadapi) kesejahteraan daripada-Mu adalah lebih luas untukku.”
Justeru, kita perlu melatih diri untuk tidak cepat ‘melatah’ apabila melalui sesuatu keadaan yang tidak bersesuaian dengan kehendak kita.
Tiada yang dinamakan kebetulan di dalam kehidupan ini kerana Allah Maha Bijaksana dalam mengatur perjalanan hidup setiap hamba-Nya.
Maka jika kita berjaya bertenang dan cuba merungkai apakah hikmah yang ingin Allah swt terapkan pada jiwa kita di sebalik sesuatu kesulitan yang ditimpa, kita akan mendapati keputusan kita untuk bersabar akan menghasilkan versi terbaik diri kita.
Bahkan, kesabaran itu bukan sahaja memperbaiki diri sendiri, malah melahirkan kata-kata dan tindakan yang memberi manfaat kepada orang di sekeliling kita.
Bayangkan jika Rasulullah saw memilih untuk terus bersedih dan bermuram selepas mendapati bukan sahaja dakwah Baginda ditolak, malah penduduk kota Makkah turut berkomplot untuk membunuhnya, sedangkan Baginda sendiri merupakan anak watan Makkah.
Tentu sekali keadaan itu akan membuka ruang kepada anggapan bahawa membiarkan diri tenggelam dalam kesulitan adalah satu ‘jalan keluar’.
Para sahabat juga mungkin akan menjadikan reaksi negatif sebagai norma yang diwarisi generasi seterusnya.
Sebaliknya, Rasulullah saw mendidik para sahabat untuk memahami cara memperuntuk masa dalam berdepan setiap ujian, antaranya:
1) Masa yang terbatas untuk memberi reaksi semula jadi ketika diuji – seperti berdukacita, bersedih atau marah yang terkawal.
2) Masa yang lebih panjang untuk merenung dan memikirkan hikmah yang ingin Allah swt tanamkan dalam jiwa kita.
3) Masa yang berbaki untuk diisi dengan usaha berterusan untuk bangkit dengan tindak balas positif dan membina, tanpa membiarkan diri terus terperangkap dalam kemelut yang dihadapi.
Maka, peristiwa hijrah seolah-olah meletakkan asas kepada para sahabat dan generasi Islam seterusnya hingga ke hari ini untuk mengiktiraf sisi kemanusiaan kita dalam berdepan ujian.
Namun pada masa sama, ia tidak membenarkan kita hanyut sehingga menutup ruang untuk berlapang dada dan kekal optimis dalam setiap dugaan yang mendatang.
Rasulullah saw dan para sahabat terus diuji selepas peristiwa hijrah, antaranya kekalahan di medan Uhud dan terhalangnya mereka daripada menunaikan umrah di Hudaibiyah.
Namun, setiap ujian tersebut tidak mematahkan langkah, sebaliknya diiringi dengan hikmah yang menganjak umat Islam ke hadapan.
Pilih teman yang benar, bawa manfaat
1) Sayidina Abu Bakar As-Siddiq
Dalam proses penghijrahan Baginda, Rasulullah saw telah memilih dua individu untuk mengiringi perjalanan tersebut, iaitu Sayidina Abu Bakar As-Siddiq dan Abdullah bin Uraiqit.
Kita semua maklum akan kedudukan Sayidina Abu Bakar As-Siddiq dalam lembaran sejarah Islam.
Beliau merupakan antara yang terawal memeluk Islam, dan menurut sebahagian ulama, gelaran As-Siddiq itu terpahat padanya kerana keteguhan keyakinannya terhadap peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah saw, ketika masyarakat Musyrikin Makkah menabur keraguan terhadap kesahihannya.
Kita hidup dalam zaman yang menyaksikan sebahagian besar manusia terikat dengan obsesi mengumpul teman di alam maya melalui aplikasi seperti Instagram dan Facebook.
Menariknya, sebahagian besar ‘teman’ ini tidak kita kenali melainkan sekadar interaksi ringkas seperti tanda suka pada perkongsian kita.
Bahkan, tidak menjadi halangan untuk sesetengah orang meluahkan segala rasa dan gejolak jiwa kepada ‘teman’ yang hanya hadir dalam bentuk paparan maya semata-mata.
Kecenderungan ini akhirnya menyebabkan kita terlepas pandang akan teman sebenar yang hadir dalam kehidupan kita – mereka yang wujud secara fizikal, menyokong melalui sentuhan, kata-kata dan pendengaran yang tulus, serta memberi kesan lebih mendalam dalam memperkasa dan meneguhkan jiwa.
Sering kali kita juga memandang ringan sokongan yang Allah swt anugerahkan dalam bentuk pasangan hidup, ibu bapa dan sahabat handai yang sebenar-benar hadir dalam hidup kita.
Tidak dinafikan teman secara fizikal juga datang bersama kekurangannya yang tersendiri.
Namun begitu, risiko yang timbul daripada perkongsian maklumat dan perasaan dengan teman di alam maya sering kali jauh lebih besar, berbanding risiko yang wujud dalam persahabatan dengan individu yang nyata.
Berapa banyak masalah peribadi yang dikongsi di alam maya akhirnya memburukkan lagi keadaan yang sedang dihadapi?
Dalam hal ini, pengajaran daripada hijrah Rasulullah saw mengingatkan kita tentang nilai sebenar sebuah hubungan dan kepentingan memilih sahabat dalam mencapai matlamat kehidupan yang lebih baik di dunia ini.
Tentu sekali proses menghargai dan memilih sahabat dalam perjalanan hidup ini perlu berlandaskan pegangan agama dan akhlak sebagai kriteria utama yang tidak boleh diabaikan.
Allah swt berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 119:
“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang yang benar.”
2) Abdullah bin Uraiqit
Abdullah bin Uraiqit telah dipilih Rasulullah saw sebagai pemandu jalan dalam peristiwa hijrah Baginda kerana kepakarannya dalam mengenal pasti laluan yang dapat dimanfaatkan untuk mengelak pengawasan dan kepungan kaum Musyrikin Makkah.
Dalam keadaan amat genting, dengan pihak yang memusuhi Rasulullah saw dan para sahabat adalah golongan yang menentang ajaran Islam itu sendiri, Baginda memilih seorang yang bukan Islam sebagai pembimbing perjalanan.
Walaupun dalam kalangan Muhajirin terdapat sahabat yang arif tentang selok-belok kota Makkah, keputusan Baginda saw memilih Abdullah bin Uraiqit meletakkan beberapa dasar penting:
1) Islam mengalu-alukan kepakaran yang membawa kepada kebaikan, sama ada dalam memperbaiki hubungan manusia dengan Allah swt mahupun hubungan sesama manusia.
2) Islam tidak menolak sebarang bentuk kepakaran selagi ia tidak membawa kemudaratan kepada ajaran Islam dan kemaslahatan sejagat.
Dalam menanggapi perkembangan mutakhir seperti AI, umat Islam perlu bersikap seimbang dengan dua pendekatan ini:
1) Tidak tergesa-gesa menolak sesuatu ciptaan atau kepakaran, kerana mungkin terdapat manfaat yang boleh dimanfaatkan untuk agama dan kemaslahatan umum.
2) Tidak juga menerima sesuatu secara membuta tuli tanpa menilai kesan dan implikasinya terhadap agama serta kesejahteraan manusia.
Maka di sini terserlah keindahan di sebalik pemilihan Sayidina Abu Bakar As-Siddiq dan Abdullah bin Uraiqit.
Pemilihan Sayidina Abu Bakar ra menekankan kepentingan memilih sahabat berdasarkan nilai terpuji, manakala pemilihan Abdullah bin Uraiqit menunjukkan keharusan memanfaatkan kepakaran yang dapat memperkukuh nilai tersebut, selagi ia tidak mencemarkan prinsipnya.
Utamakan pembentukan nilai murni meski berdepan perubahan zaman
Dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah saw, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq dan Abdullah bin Uraiqit, sempat singgah di sebuah kawasan bernama Wadi Qudaid untuk berehat serta mendapatkan makanan sebelum meneruskan perjalanan.
Baginda saw kemudian singgah ke rumah sepasang suami isteri yang dikenali sebagai Abu Ma’bad dan Ummu Ma’bad.
Dalam waktu yang singkat itu, Ummu Ma’bad mampu menggambarkan Rasulullah saw kepada suaminya yang ketika itu tiada di rumah, dengan begitu terperinci – baik dari segi perawakan mahupun perwatakan Baginda yang penuh kewibawaan dan akhlak yang mulia.
Walaupun Abu Ma’bad hanya mendengar penjelasan daripada isterinya tanpa melihat sendiri Rasulullah saw, beliau turut menyatakan:
“Aku ingin menyertainya dan aku pasti akan melakukannya jika aku menemukan jalan!”
Walaupun Baginda saw berdepan dengan suasana yang penuh tekanan, iaitu dalam keadaan diburu dan menahan lapar, hal itu tidak sedikit pun menjadi alasan untuk Baginda mengorbankan nilai dan kemuliaan akhlaknya.
Bahkan, dalam keadaan menerima layanan dan pemberian daripada Ummu Ma’bad, Baginda saw tetap tidak lupa untuk menyisihkan susu yang diperah agar diberikan kepada Abu Ma’bad.
Dalam zaman yang begitu menitikberatkan pencapaian kebendaan sebagai kayu ukur kejayaan, sehingga sifat mementingkan diri semakin berleluasa, amat penting untuk kita sentiasa memastikan akhlak tidak menjadi korban dalam proses mengejar kejayaan.
Tanpa disedari, seseorang boleh berubah menjadi individu yang rakus dan hanya memikirkan diri sendiri.
Betapa ramai orang yang tidak lagi berasa teruja untuk bersama kita walaupun telah lama mengenali kita, hanya kerana kita kurang memberi perhatian terhadap usaha memperbaiki perwatakan dan akhlak diri.
Lebih menyedihkan, berapa ramai pula yang menjauh hati hanya kerana tingkah laku kita yang kurang menyenangkan, meskipun mereka baru seketika mengenali kita?
Kesimpulan
Umat terdahulu yang telah Allah swt binasakan merupakan kaum yang terkenal dengan kecanggihan pencapaian kebendaan serta kecerdikan akal fikiran mereka.
Namun, ternyata kemajuan dan kecerdikan tersebut tidak menjamin ketenangan jiwa, sebaliknya melahirkan hati dan minda gersang serta kontang daripada nilai ketuhanan.
Seiring kita melangkah ke tahun baru Hijrah, dalam zaman yang sering membicarakan bagaimana penemuan demi penemuan baharu seperti AI dapat diselaraskan dengan kehidupan harian, jangan kita terlepas pandang yang lebih penting untuk dipertahankan dan diperjuangkan sebagai asas kehidupan, biarpun sehebat mana pun kecanggihan yang mendatang, ialah:
1) Akal kurniaan Allah swt yang sentiasa digunakan untuk bertafakur serta meningkatkan hubungan dengan-Nya.
2) Jiwa yang sentiasa mengalirkan akhlak terpuji dalam memastikan hubungan sesama manusia dan seluruh ciptaan Allah swt terus terpelihara dan dimuliakan.
Penulis ialah guru sejarah di sebuah institusi pendidikan tempatan. Beliau merupakan lulusan bidang Sejarah dengan ijazah kepujian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) dan diiktiraf Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
“
“Seiring kita melangkah ke tahun baru Hijrah, dalam zaman yang sering membicarakan bagaimana penemuan demi penemuan baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dapat diselaraskan dengan kehidupan harian, jangan kita terlepas pandang yang lebih penting untuk dipertahankan dan diperjuangkan sebagai asas kehidupan, biarpun sehebat mana pun kecanggihan yang mendatang, ialah: 1) Akal kurniaan Allah swt yang sentiasa digunakan untuk bertafakur serta meningkatkan hubungan dengan-Nya. 2) Jiwa yang sentiasa mengalirkan akhlak terpuji dalam memastikan hubungan sesama manusia dan seluruh ciptaan Allah swt terus terpelihara dan dimuliakan.”