Tangani keganasan rumah tangga berlandas syarak
Bina keluarga harmoni melalui nilai kasih sayang, pupuk rasa hormat
Keganasan rumah tangga adalah isu sosial yang melangkaui budaya, agama dan sempadan.
Islam, yang sering disalah tafsir dalam hal ini, sebaliknya menekankan belas kasihan, keadilan dan kesucian ikatan kekeluargaan.
Menangani keganasan rumah tangga dalam kerangka Islam menuntut pemahaman mendalam tentang prinsip ini dan penerapannya yang praktikal.
Keluarga dalam Islam
Islam menganggap keluarga sebagai tunjang masyarakat – menggalak keharmonian, saling menghormati dan penjagaan antara anggotanya.
Al-Quran dan sunah menekankan kebaikan dan kasih sayang dalam hubungan kekeluargaan.
Sebagai contoh, Allah swt berfirman dalam Surah Ar-Rum, ayat 21:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan hidup daripada jenismu sendiri supaya kamu berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Sayidatina Aisyah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Jika Allah taala berkehendak kebaikan bagi sebuah keluarga, maka Dia akan memberikan kelembutan kepada mereka.” (HR Ahmad).
Usrah, yang berasal daripada perkataan Arab untuk ‘keluarga’, bermaksud perisai perlindungan, yang melambangkan perpaduan, keakraban dan perlindungan individu yang berpadu untuk suatu tujuan.
Konsep keluarga dalam Islam berpaksikan akad nikah, suatu amanah (tanggungjawab) untuk lelaki dan wanita dalam membina keluarga yang aman untuk anak-anak.
Tangani salah faham
Media Barat sering mengaitkan umat Islam dengan keganasan.
Mereka sering melihat wanita Islam sebagai golongan yang ditundukkan oleh lelaki dan dipaksa mematuhi syariah.
Malangnya, pandangan itu sering diperkuat oleh Muslim sendiri yang menyalahtafsirkan ajaran Rasulullah saw, memetik ayat-ayat suci tanpa konteks yang tepat.
Islam mengutuk segala bentuk kekejaman dan penderaan.
Antara prinsip utama syariah adalah sabda Rasulullah saw:
“Tidak boleh berlaku kemudaratan dan tidak boleh pula membalas kemudaratan dengan kemudaratan.”
Menurut Ibnul Qayyim, syariah “secara keseluruhannya adalah keadilan, belas kasihan, manfaat dan kebijaksanaan. Segala perkara yang meninggalkan keadilan untuk kezaliman, belas kasihan untuk kekejaman, manfaat untuk kerosakan dan kebijaksanaan untuk kebodohan bukanlah sebahagian daripada syariah walaupun ia diperkenalkan melalui tafsiran”.
Salah faham yang sering berlaku ialah kebenaran untuk memukul anak pada usia 10 tahun. Sebenarnya, Rasulullah saw bersabda:
“Janganlah mengangkat tongkat terhadap keluarga kamu”, dan juga “Barang siapa yang tidak menunjukkan belas kasihan kepada yang muda, atau tidak mengakui hak orang yang lebih tua, bukanlah daripada kalangan kami.”
Disiplin dalam Islam adalah ta’dibi – satu amalan asuhan tekal yang dipupuk dengan sikap tenang dan positif, dan bukannya ta’qibi – hukuman yang menyakitkan atau menimbulkan ketakutan.
Kanak-kanak hendaklah dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan penjagaan sepanjang tahun-tahun awal mereka, dengan cerita dan teladan untuk menyemai kehormatan dan akhlak melalui targhib (dorongan dan nasihat), serta tarhib (amaran dan berhati-hati).
Pilih pasangan yang tepat
Wanita Islam dinasihatkan agar tidak mengahwini lelaki yang berakhlak buruk atau miskin.
Sewaktu Fathima binti Qays ra mempertimbangkan perkahwinan, Rasulullah saw menasihatinya untuk tidak menikahi lelaki yang miskin atau lelaki yang kasar terhadap wanita.
Keganasan sering tercetus apabila Surah An-Nisa’, ayat 34, disalah tafsir.
Ayat tentang pukulan sering disalahgunakan untuk mendera dan menzalimi kaum wanita.
Walhal, Rasulullah saw sendiri tidak pernah memukul wanita, pembantu, atau haiwan, dan Baginda tidak pernah memukul kecuali untuk mempertahankan diri semasa berperang.
Bahkan, Rasulullah saw kerap menasihati para sahabat, “Jangan memukul hamba-hamba perempuan Allah” dan “Jangan memukul mereka dan jangan mencela mereka”.
Dalam Surah An-Nisa’, ayat 128, wanita yang bimbang dianiaya atau ditinggalkan oleh suami mereka dinasihatkan agar mencari penyelesaian yang adil.
Pelbagai riwayat menekankan bagaimana Rasulullah saw berusaha melindungi kebajikan isteri al-Waleed bin Uqbah dan Thabit bin Qays dengan membebaskan mereka daripada penderaan.
Rasulullah saw bersabda: “Lelaki yang mulia melayan wanita dengan penghormatan, dan hanya orang yang hina melayan wanita dengan buruk.”
Ulama syariah secara tegas menyatakan hukuman terhadap suami yang menghina, meninggalkan, atau mencederakan isteri secara fizikal.
Keganasan keluarga di Singapura
Singapura menyaksikan lonjakan kes keganasan rumah tangga, meningkat 15 peratus, daripada 1,741 kes pada 2022 kepada 2,008 kes pada 2023.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mentakrifkan keganasan rumah tangga sebagai “corak tingkah laku ganas, mengancam, mencederakan atau mengawal dalam keluarga, rumah tangga, hubungan intim semasa atau terdahulu, yang menyebabkan kecederaan dan/atau ketakutan terhadap keselamatan dan kesejahteraan individu yang terlibat”.
Tindakan ini tidak mengenal mangsa, boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, jantina, bangsa, orientasi seksual mahupun latar belakang sosioekonomi.
Keganasan keluarga, menurut Seksyen 64 Piagam Wanita, adalah tindakan sengaja atau cuba menyebabkan anggota keluarga berasa takut akan dicederakan atau menderita melalui:
– Kemudaratan fizikal
– Serangan seksual, termasuk rogol perkahwinan, ancaman membunuh atau mencederakan
– Tingkah laku yang menakutkan, seperti memecahkan barangan di rumah
– Merendahkan atau menghina seseorang, seperti mencaci maki, menghina, menggunakan kata-kata kesat
– Pengurungan yang salah
– Gangguan berterusan, seperti mengintip atau menjejaki lokasi dan kegiatan peribadi
Kesan keganasan keluarga
Penyelidikan menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengalami tekanan berpanjangan akibat pengalaman kanak-kanak yang buruk atau adverse childhood experiences (ACE) berisiko mengalami pelbagai cabaran kesihatan dan psikologi.
Ini boleh menjejas perkembangan otak kanak-kanak, sistem imun dan sistem tindak balas tekanan secara negatif yang mengubah perhatian, membuat keputusan dan keupayaan pembelajaran kanak-kanak.
Apabila dewasa kelak, golongan ini mungkin sering menghadapi kesukaran mengawal emosi, membentuk hubungan yang stabil dan menjaga diri dengan baik.
ACE meningkatkan risiko individu terhadap isu seperti:
– Cabaran tingkah laku: Tidak aktif, merokok, ketagihan alkohol, penggunaan dadah, tidak hadir sekolah atau kerja.
– Masalah kesihatan fizikal dan mental: Obesiti teruk, kencing manis, kemurungan, percubaan membunuh diri, jangkitan seksual, penyakit jantung, barah, angin ahmar, penyakit gangguan pernafasan kronik (COPD), kelemahan atau patah tulang.
Cegah kemudaratan
Islam mewajibkan pemeliharaan dan perlindungan Dharuriyatil-Khams (Keperluan Asas) ke atas setiap individu dewasa yang cerdas (berakal). Keperluan itu ialah:
1) Hifzud Deen: Memelihara kehidupan beragama
2) Hifzun Nafs: Memelihara nyawa, tubuh badan dan jiwa
3) Hifzul ‘Aql: memelihara kecerdasan akal fikiran
4) Hifzun Nasl: Memelihara keturunan
5) Hifzul Maal: Memelihara ekonomi
Apabila individu berada dalam keadaan terdedah, pihak berkuasa dan pemimpin masyarakat mesti bertindak untuk melindungi mangsa dan mencegah kemudaratan selanjutnya.
Mereka yang melakukan keganasan harus dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka.
Penekanan Islam terhadap keadilan memastikan kelakuan zalim tidak dibiarkan atau diabaikan.
Matlamatnya bukan sahaja untuk menangani kemudaratan segera malah untuk memupuk penyembuhan dan pemulihan jangka panjang.
Kaunseling berdasarkan prinsip Islam boleh membantu keluarga membina semula kepercayaan dan keharmonian.
Dapatkan bantuan
Perkara yang perlu dilakukan jika seseorang mengalami atau menyaksikan keganasan keluarga termasuk:
1) Hubungi Talian Bantuan Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH)
Jika anda atau seseorang yang anda kenali menghadapi penderaan kanak-kanak, penderaan rumah tangga, penderaan warga emas, atau perkara berkaitan keganasan keluarga, hubungi NAVH di talian 1800-777-0000.
2) Dapatkan bantuan polis
– Jika nyawa atau keselamatan anda terancam, segera hubungi polis di talian 999 atau kunjungi Pos Polis Kejiranan terdekat untuk mendapatkan bantuan.
– Polis boleh memberikan anda surat rujukan untuk rawatan perubatan atau pemeriksaan di hospital.
3) Dapatkan rawatan atau pemeriksaan perubatan jika cedera
– Anda harus mendapatkan rawatan perubatan di hospital atau klinik terdekat.
– Walaupun anda tidak mahu mengambil tindakan terhadap pendera, anda dinasihatkan mengunjung doktor untuk mendapatkan rawatan kecederaan serta merakamnya sebagai bukti penderaan.
4) Pergi ke tempat perlindungan sementara jika bimbang akan keselamatan sendiri atau anggota keluarga
– Jika anda perlu meninggalkan rumah segera kerana keganasan keluarga dan tiada tempat untuk pergi, ketahuilah terdapat tempat perlindungan krisis di mana anda boleh tinggal buat sementara waktu.
– Anda boleh menghubungi Pusat Khidmat Keluarga (FSC) atau polis jika anda ingin pergi ke pusat perlindungan krisis. Hubungi ComCare di 1800-222-0000 untuk dihubungkan ke FSC terdekat.
– Anda juga boleh mencari perlindungan dengan saudara-mara atau rakan yang anda percayai.
5) Mohon Perintah Perlindungan/Perintah Dipercepatkan di Mahkamah Keadilan Keluarga
– Ketahui lebih lanjut cara memohon Perintah Perlindungan di https://bh.sg/MSF
– Langgani laman web ‘Break The Silence’ untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang keganasan keluarga dan mendapatkan bantuan.
Kesimpulan
Keganasan keluarga adalah bertentangan dengan nilai teras Islam.
Dengan menerapkan prinsip belas kasihan dan keadilan, masyarakat Islam boleh memimpin usaha menangani masalah masyarakat.
Mari bersama membina keluarga berlandaskan kasih sayang dan rasa hormat, mencerminkan semangat Islam yang sebenar.
Penulis ialah kaunselor klinikal dan ahli Persatuan Psikologi Islam Antarabangsa. Beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang psikologi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).

