Pentingnya komunikasi dalam perkahwinan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pentingnya komunikasi dalam perkahwinan

Komunikasi baik atau tepat akan wujudkan sakinah, mawaddah dan rahmat dalam rumah tangga
Jan 16, 2026 | 5:30 AM

Pentingnya komunikasi dalam perkahwinan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Untuk mengekalkan hubungan bahagia, pasangan suami isteri perlu meluahkan apa jua yang menimbulkan rasa kurang senang di hati mereka dengan mengadakan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian.
Untuk mengekalkan hubungan bahagia, pasangan suami isteri perlu meluahkan apa jua yang menimbulkan rasa kurang senang di hati mereka dengan mengadakan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian. - Foto PIXABAY

Setiap pasangan tanpa mengira usia mengimpikan perkahwinan yang bahagia dan berkekalan di saat termeterainya akad nikah di antara mereka.

Namun begitu, sebagai manusia tiada sesiapa yang terkecuali daripada melakukan kesilapan sama ada ia disengajakan atau tidak.

Salah satu punca kesilapan yang boleh berlaku adalah dari segi pertuturan.

Bak kata pepatah Arab:

“Perkataan itu dapat menembus apa yang tidak dapat ditembus oleh jarum”.

Daripada pepatah itu, kita dapat menilai betapa pentingnya kita menjaga pertuturan kerana ia akan memberi kesan mendalam kepada orang yang mendengarnya.

Kalau baik pertuturan itu, maka baiklah penerimaannya.

Sebaliknya, jika pertuturan itu kurang baik, ia akan memberi kesan mendalam dan boleh merosakkan hubungan.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padanya.

Sebagai pasangan suami isteri, kita juga tidak terkecuali akan menempuh masalah ini.

Antara faktor utama timbulnya masalah adalah ekoran tindakan menilai tanpa penjelasan.

Di zaman teknologi serba moden, penggunaan media sosial adalah rangkaian utama dalam komunikasi.

Pasangan lebih gemar berkomunikasi antara satu sama lain melalui aplikasi media sosial berbanding pertuturan secara semuka.

Cara ini tidak digalakan bagi mengelakkan berlakunya salah faham.

Sebagai contoh isteri bertanya pendapat suami berkaitan sesuatu perkara, kemudian suami menjawab dengan frasa yang tidak berapa jelas, seperti, “suka hati awak”.

Isteri memikirkan jawapan suami dari sudut negatif seperti suami tidak mahu melayannya atau suami sedang marah dengannya.

Sebaliknya, suami pula menyifatkan jawapan itu sebagai memberi peluang kepada isteri untuk membuat keputusan apa yang terbaik untuk isterinya.

Pihak suami tidak memikirkan unsur negatif seperti apa yang difikirkan oleh pihak isteri.

Disebabkan penilaian yang berbeza itu, salah faham boleh timbul di antara mereka.

Faktor lain ialah berkomunikasi pada waktu yang kurang sesuai dan sebagainya.

Sebagai contoh, suami isteri mengajak pasangan masing-masing untuk berbincang sebaik sahaja mereka pulang dari bekerja atau isteri sedang sibuk mengurus anak-anak.

Sebagai manusia adalah menjadi kebiasaan kita, ketika kita penat atau sibuk, keadaan itu akan membuat perasaan kita tidak stabil.

Ia mudah tercetus kemarahan yang boleh mengakibatkan pertengkaran di antara mereka.

Maka adalah tidak mustahil dalam keadaan itu, suami akan terlafaz talak tanpa sengaja.

Faktor seterusnya, ada juga pasangan yang lebih gemar memendam perasaan daripada berbincang.

Ini kerana mereka berpendapat, apa jua yang terjadi adalah ujian buat mereka dan mereka perlu bersabar dalam menghadapinya.

Konsep sabar yang mereka gunakan itu adalah kurang tepat.

Sebagai manusia yang tidak bersifat maksum, pasti suatu hari nanti, mereka tidak akan dapat mampu mengawal kesabaran ekoran perasaan yang terpendam sekian lama.

Di saat itulah, kesannya mungkin akan menjadi lebih parah.

Berdasarkan faktor di atas, kita dapat melihat betapa komunikasi yang baik itu penting dalam mewujudkan rumah tangga bahagia.

Pasangan juga perlu mengelakkan diri daripada suka berburuk sangka tanpa meminta penjelasan dalam sesuatu perkara.

Namun, pasangan harus memastikan waktu yang tepat untuk mereka mendapatkan penjelasan atau berbincang agar tiada persengketaan berlaku.

Pepatah Arab ada menyebut:

“Tiap-tiap tempat ada kata-katanya yang tepat dan pada setiap kata ada tempatnya yang tepat.”

Di samping itu, konsep sabar yang mereka perlu gunakan adalah ketika salah seorang daripada mereka sedang marah, seorang lagi perlu bersabar dan berdiam bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin teruk.

Mereka boleh meneruskan perbincangan apabila kedua-duanya dalam keadaan tenang.

Dalam keadaan tenang, pasangan boleh meluahkan apa jua yang terbuku di dalam hati masing-masing kerana dalam keadaan itu pasangan lebih rasional dalam membuat keputusan.

Daripada Anas ra, ia berkata:

“Telah bersabda Rasulullah saw: “Diam itu satu kebijaksanaan, tetapi sedikit orang yang membuatnya”. – Hadis riwayat Al-Baihaqi.

Diam tidak bererti kita kalah, bahkan kita telah menang dalam mengawal hawa nafsu kita daripada bisikan syaitan.

Untuk mengekalkan hubungan bahagia, pasangan suami isteri perlu meluahkan apa jua yang menimbulkan rasa kurang senang di hati mereka dengan mengadakan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian.

Suami isteri yang menerima teguran pula, tidak harus berfikir pasangan sengaja ingin mencari silap atau kelemahan mereka.

Mereka juga perlu memastikan perbincangan itu diadakan pada waktu yang sesuai seperti kedua-dua pihak berada dalam keadaan tenang dan santai agar perbincangan akan membawa huraian yang baik, insya-Allah.

Kesimpulan daripada perbincangan di atas: Komunikasi yang baik atau tepat akan mewujudkan sakinah, mawaddah dan rahmat dalam rumah tangga mereka.

Komunikasi perlu dimulakan dari awal perkahwinan agar mereka dapat menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Daripada Saidatina ‘Aisyah ra bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik kepada keluargaku.” – Hadis riwayat At-Tirmidzi.

Penulis ialah penceramah bebas, naib kadi, hakam dan kaunselor yang memiliki Sarjana Kaunseling, dari Universiti Flinders, Australia. Penulis juga mempunyai Sarjana Muda dengan Kepujian Syariah Islamiah, dari Kolej Universiti Insaniah, Malaysia dan merupakan Anggota Jawatankuasa Lembaga Pentadbir Masjid Abdul Gafoor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg