Tangani sikap marah, malas kunci rumah tangga sejahtera

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tangani sikap marah, malas kunci rumah tangga sejahtera

Perkukuh hubungan dengan kawal emosi, tingkat tanggungjawab dan amal komunikasi terbuka
Mar 11, 2026 | 3:51 PM

Tangani sikap marah, malas kunci rumah tangga sejahtera

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
rumah tangga, suami isteri, romm
Apabila marah tidak dikawal, ia boleh membawa kepada pertuturan dan tindakan yang menyakitkan hati pasangan. Lama-kelamaan, ia mencetuskan kebencian dan meretakkan hubungan. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Ustaz Muhammad Zuhaili Md Yusof

Rumah tangga adalah institusi penting dalam kehidupan manusia.

Ia bukan sekadar perkongsian antara dua individu malah medan membentuk generasi yang berakhlak mulia dan membina masyarakat yang harmoni.

Namun, terdapat pelbagai cabaran yang boleh menggugat keutuhan rumah tangga, antaranya sikap marah dan malas.

Sikap ini, jika tidak dibendung, mampu merosakkan keharmonian dan kestabilan hubungan suami isteri.

Sikap marah penyebab konflik

Sikap marah adalah emosi yang biasa dialami manusia, namun ia menjadi masalah apabila tidak dikawal.

Dalam konteks rumah tangga, kemarahan yang tidak terkawal sering menjadi punca pertelingkahan antara pasangan.

Renungkan firman Allah swt dalam Surah Ali Imran, ayat 134:

“(Iaitu) Orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Ayat ini jelas menunjukkan kepentingan menahan kemarahan dan mementingkan sikap pemaaf dalam hubungan.

Rasulullah saw pernah bersabda:

“Orang yang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, namun orang yang kuat ialah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.” (HR Bukhari dan Muslim).

Apabila marah tidak dikawal, ia boleh membawa kepada pertuturan dan tindakan yang menyakitkan hati pasangan.

Lama-kelamaan, ia mencetuskan kebencian dan meretakkan hubungan.

Sikap malas penghalang tanggungjawab

Sikap malas adalah musuh dalam diam yang boleh membawa kehancuran rumah tangga.

Ia menyebabkan seseorang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, sama ada sebagai suami, isteri, atau ibu bapa.

Sebagai contoh, seorang suami yang malas bekerja akan menjejaskan kewangan keluarga, manakala isteri yang malas mengurus rumah tangga akan menyebabkan kekusutan dalam kehidupan harian.

Rasulullah saw telah berdoa agar dilindungi daripada sikap malas:

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kemalasan, sifat pengecut, kelemahan dan kekikiran.” (HR Bukhari).

Jika sikap malas tidak diatasi, ia boleh menjadi punca ketegangan antara pasangan, kerana masing-masing akan berasa terbeban dengan tanggungjawab yang tidak ditunaikan oleh pihak lain.

Tangani sikap marah, malas

Gabungan sikap marah dan malas sering menyebabkan pasangan kehilangan rasa hormat dan kasih sayang antara satu sama lain.

Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu; bila benci, sepiring tak akan bertemu dan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Maksudnya, apabila timbul perasaan benci atau tidak suka antara suami dan isteri, mereka sukar bersatu dan bekerjasama dengan harmoni.

Walaupun kesilapan yang berlaku kelihatan kecil, ia mampu memberi kesan besar dan merosakkan sesuatu yang baik pada asalnya.

Situasi ini menggambarkan bagaimana perasaan negatif seperti marah dan malas boleh menjadi penghalang mencapai keharmonian atau kesepakatan dalam hubungan.

Sikap ini, jika berlarutan, boleh membawa kepada keretakan rumah tangga, malah lebih parah lagi, perceraian.

Untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga, sikap marah dan malas perlu ditangani secara bijak.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil:

1) Kawal kemarahan dengan zikir dan doa

Apabila marah, amalkan zikir seperti A’uzubillahi minasy-syaitanir rajim (Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk).

Selain itu, Rasulullah saw menyaran agar orang yang sedang marah mengubah posisi, seperti duduk jika berdiri, atau berbaring jika duduk.

2) Tingkat kesedaran tanggungjawab

Setiap pasangan perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam rumah tangga.

Senaraikan tugas harian dan berusaha melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

3) Tingkat motivasi dengan sasaran jelas

Tetapkan matlamat bersama dalam rumah tangga, seperti menyimpan wang untuk keperluan rumah atau masa depan anak.

Matlamat ini boleh menjadi motivasi untuk mengadakan perancangan lebih teliti dalam kehidupan dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

4) Komunikasi secara terbuka

Pasangan perlu berbincang secara terbuka tentang perasaan dan masalah yang dihadapi.

Komunikasi yang baik boleh mengurangkan salah faham dan mengelakkan pertelingkahan.

5) Amal gaya hidup sihat

Pemakanan baik dan senaman yang konsisten boleh meningkatkan tenaga dan mengurangkan rasa malas.

Selain itu, minda yang sihat juga membantu seseorang lebih tenang dan sabar.

Kesimpulan

Sikap marah dan malas adalah dua faktor utama yang boleh menggugat keutuhan rumah tangga.

Namun, dengan kesedaran, doa dan usaha, sikap ini boleh diatasi.

Perkahwinan yang berjaya memerlukan usaha daripada kedua-dua pihak untuk saling memahami, bertolak ansur dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Terapkan nilai ketenangan, kasih sayang dan rahmah dalam setiap urusan agar masalah dapat diatasi dengan hikmah, tanggungjawab dapat dipenuhi dengan tabah dan kebahagiaan dapat dikecapi dengan berkat.

Firman Allah swt dalam Surah Ar-Rum, ayat 21:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Semoga setiap pasangan sentiasa berusaha memelihara keharmonian rumah tangga, menjadikan sabar dan tanggungjawab sebagai asas kepada kebahagiaan yang berkekalan.

Penulis ialah Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Agama bagi Jabatan Pendidikan Islam dan Dakwah Masjid An-Nur. Beliau, yang juga Naib Kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM), memiliki ijazah sarjana muda dalam Syariah Islamiah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg