Sebagai seorang Mukmin, setiap tindak balas kita mencerminkan kekuatan iman dan akhlak yang dijunjung.

Islam mengajar kita bahawa apabila berdepan dengan keburukan, jawapan yang paling mulia bukanlah dengan keburukan yang sama, namun dengan kebaikan yang lebih tinggi nilainya.

Al-Quran menggariskan prinsip ini dengan jelas, seperti yang dinyatakan dalam Surah Fussilat, ayat 34:

“Tidaklah sama kebaikan dan keburukan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik...”

Ayat ini mengajar bahawa tindak balas terhadap perbuatan atau kata-kata negatif bukan dengan membalas keburukan, tetapi dengan membalasnya dengan kebaikan.

Malah dalam Surah Al-Mu’minun, ayat 96, Allah swt menegaskan:

“Tolaklah kejahatan dengan sesuatu yang lebih baik...”

Kedua-dua ayat ini menjadi asas kepada akhlak seorang Muslim, khususnya apabila berdepan dengan kata-kata kesat, tuduhan, atau perbuatan yang menyinggung perasaan.

Rasulullah saw dan para nabi sebelum Baginda juga telah melalui pelbagai bentuk hinaan dan ejekan.

Namun Allah swt memerintahkan mereka supaya bersabar dan membalas dengan tindakan lebih mulia.

Balas kejahatan dengan kebaikan

Antara ujian terbesar yang dihadapi oleh para nabi adalah mereka dilontarkan dengan kata-kata yang menyakitkan.

Mereka dituduh hilang akal, gila kuasa, malah ada yang difitnah sebagai ahli sihir.

Makian dan ejekan itu datang daripada musuh yang tidak mampu meruntuhkan kebenaran kecuali melalui kata-kata penuh kebencian.

Maka daripada pengalaman itu kita belajar bersabar dan menyesuaikan diri apabila berdepan dengan ejekan dan cacian orang lain.

Teladan ini terserlah dalam sebuah hadis ketika sekumpulan Yahudi mengucapkan kepada Nabi saw:

“As-Sam ‘alaik (kematian ke atasmu).”

Nabi saw menjawab: “Dan ke atas kamu.”

Isteri Baginda, Aisha ra, yang mendengar, membalas: “Bahkan kematian ke atas kamu juga, semoga Allah melaknat dan murka ke atas kamu!”

Maka Baginda menegurnya: “Tenanglah wahai Aisha. Bersikap lemah-lembut, jauhilah kekasaran dan perkataan buruk.”

Aisha berkata: “Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan?”

Baginda menjawab: “Tidakkah engkau mendengar apa yang aku balas? Aku hanya berkata: ‘Dan ke atas kamu.’ Doaku akan dikabulkan ke atas mereka, sedangkan doa mereka tidak akan dikabulkan ke atasku.” (HR Bukhari).

Demikian akhlak Baginda yang menjadi pedoman.

Kata-kata kesat yang ditujukan kepada kita tidak seharusnya menjadi alasan untuk kita membalas dengan cacian atau melakukan perbuatan buruk terhadap pelakunya.

Rasulullah saw mengajar kita agar sentiasa menunjukkan akhlak mulia ketika berdepan dengan mereka yang menyakiti, dengan memaafkan serta menyebarkan kebaikan.

Fikir sebelum bertindak

Seorang Muslim bukan sahaja diajar untuk menahan diri, bahkan dituntut supaya berfikir panjang sebelum bertindak balas.

Sebarang tindak balas yang tidak terkawal boleh membawa kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga, malah kepada masyarakat.

Al-Quran mengingatkan kita dalam Surah al-An‘am, ayat 108:

“Dan janganlah kamu mencaci sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan mencaci Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”

Ayat ini menegaskan bahawa tindak balas yang tergesa-gesa terhadap penghinaan atau perbuatan yang menyinggung boleh membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

Setiap perkataan dan perbuatan perlu dipertimbangkan dengan teliti.

Prinsip ini juga dapat dilihat dalam kehidupan harian.

Apabila seseorang mencaci ibu bapa orang lain, besar kemungkinan orang itu akan membalas dengan mencaci ibu bapanya.

Baginda saw bersabda: “Sesungguhnya antara dosa yang paling besar ialah seseorang melaknat kededua ibu bapanya.”

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana mungkin seseorang itu melaknat kededua ibu bapanya?”

Baginda menjawab: “Beliau mencaci ayah orang lain, lalu orang itu mencaci ayahnya; dan beliau mencaci ibu orang lain, lalu orang itu mencaci ibunya.” (HR Bukhari).

Maka sebagai Muslim, kita diajar supaya berhati-hati dengan setiap tindak balas.

Jangan bertindak mengikut emosi semata-mata, sebaliknya fikirkan kesan jangka panjang.

Reaksi yang tidak terkawal boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat dan akhirnya menimbulkan kerugian kepada semua pihak.

Akhlak sebenar seorang Mukmin

Salah satu ciri ‘Ibad Al-Rahman (hamba Allah yang Maha Penyayang) yang disebut dalam Surah Al-Furqan, ayat 63, ialah:

“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di muka bumi dengan rendah diri, dan apabila orang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang menyakitkan), mereka hanya menjawab: ‘Salam’.”

Ayat ini menekankan kematangan seorang Mukmin ketika berdepan dengan kejahilan.

Mereka tidak membalas ejekan dengan ejekan, namun mengabaikan atau menyalurnya kepada yang lebih baik.

Hal yang sama ditegaskan dalam Surah Al-Qasas, ayat 55, bahawa orang beriman apabila mendengar ucapan sia-sia, mereka berpaling dan hanya berkata:

“Bagi kami amalan kami, bagi kamu amalan kamu. Salam ke atas kamu, kami tidak mengingini jalan orang jahil.”

Demikian akhlak yang menunjukkan kematangan dan kekuatan jiwa seorang Mukmin.

Mereka tidak terkesan dengan provokasi. Mereka tahu harga diri bukan diukur dengan sejauh manakah kita membalas kata-kata kesat, namun sejauh manakah kita mampu menahan diri dan mengawal maruah.

Di negara berbilang kaum seperti Singapura, sikap matang dan toleransi tinggi dalam kalangan umat Islam adalah penting bagi memelihara perpaduan dan keharmonian.

Ini selaras dengan ajaran Islam yang menekankan untuk membalas keburukan dengan kebaikan, sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Dalam menghadapi kejahilan, senjata utama umat Islam adalah kesabaran, kematangan dan kebijaksanaan.

Kita perlu sedar bahawa setiap kata-kata dan tindakan kita diperhatikan dan membawa kesan mendalam.

Apabila kita memilih untuk membalas secara berhemah dan berakhlak mulia, kita bukan sahaja berjaya mempamerkan keindahan Islam kepada orang lain, malah secara langsung menyumbang kepada keharmonian masyarakat dan menjemput keredaan Allah swt.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.