Topik diikuti
Pergi ke BHkuTerus lumba buat baik meski bulan mulia berlalu
Terus lumba buat baik meski bulan mulia berlalu
Perginya Ramadan dan Syawal bukan penamat, tapi peluang kekal disiplin, amal soleh
Terus lumba buat baik meski bulan mulia berlalu
Ramadan bagai baru semalam hadir di hadapan kita, namun kini, Syawal juga sudah meninggalkan kita.
Malam yang didirikan dengan solat tarawih sepanjang Ramadan sudah diganti dengan amalan berkunjungan pada Syawal.
Berpuasa menahan nafsu seperti yang diperintahkan Allah swt kemudian berganjak kepada menjamu tetamu seperti anjuran Rasulullah saw.
Namun, adakah ibadah dan amal soleh berakhir apabila dua bulan mulia ini berlalu?
Wajarkah seorang Muslim sekadar berharap tibanya Ramadan pada tahun-tahun mendatang untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah swt?
Apakah Tuhan yang disembah itu Allah swt yang kekal ada, atau Ramadan yang tiba setahun sekali sahaja?
Amalan berterusan
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
Hadis ini memberi pengajaran penting bahawa bukan banyaknya amalan yang menentukan nilai ibadah kita, tetapi keberlangsungan dan istiqamahnya.
Pada dasarnya, hadis itu mengingatkan kita nilai kesungguhan dan kecekalan yang ada pada diri kita.
Namun, jika kita amati dengan lebih mendalam, kita seharusnya bertanya: “Mengapakah Allah swt lebih menyukai amalan yang sedikit tetapi berterusan daripada amalan yang banyak?”
Neraca kesan dan usaha
Dalam ilmu pengurusan, terdapat satu prinsip yang dikenali sebagai matriks kesan dan usaha.
Prinsip itu menekankan pentingnya menumpukan perhatian kepada tugasan yang memberikan pulangan terbesar dengan menggunakan usaha yang paling minimum.
Prinsip itu berpaksi kepada naluri manusia yang inginkan terbaik.
Hadis di atas sebaliknya menunjukkan kepada kita prinsip dan naluri manusia tidak semestinya selari dengan kehendak Allah swt.
Ia mengajar kita bahawa agama sebenarnya diturunkan untuk mendidik, menundukkan dan mengawal nafsu kita.
Ya, Allah swt menjanjikan pulangan dan ganjaran berlipat kali ganda bagi setiap amalan kita.
Solat berjemaah diberi ganjaran 27 kali ganda; membaca Al-Quran diberi 10 ganjaran bagi setiap huruf; manakala bersedekah boleh mendatangkan ganjaran sehingga 7,000 kali ganda atau lebih.
Namun, Allah swt sediakan semua itu untuk membakar semangat kita agar terus berusaha, bukan untuk mengambil kesempatan.
Secara tidak langsung, ia merupakan sebahagian ujian yang harus kita hadapi.
Adakah kita sekadar beramal untuk mengejar manfaat atau kita melakukannya ikhlas untuk Tuhan alam semesta?
Berlumba lakukan kebaikan
Menerusi Surah Al-Maidah, ayat 48, Allah swt mengajar kita tentang cara menilai kebaikan melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu umat yang satu. Tetapi Dia ingin menguji kamu melalui apa yang diberikan-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan.”
Ayat di atas memberikan gambaran kepada kita bahawa di balik setiap nikmat dan kelebihan yang dikurniakan, terselindung ujian oleh Allah swt.
Oleh itu, kita akan ditanya di akhirat kelak tentang setiap nikmat yang kita perolehi.
Namun, apakah sebab kita disuruh untuk berlumba ke arah kebaikan?
Cara fikir atlet elit
Pernahkah kita tonton pertandingan sukan, lalu berasa kagum dengan kesungguhan dan kekentalan atlet dalam mengatasi lawannya?
Atau mungkin kita cuba membayangkan latihan tubi yang harus diharungi atlet tersebut untuk mencapai kemampuan tertingginya itu.
Cuba kita letakkan rangka yang sama dalam beramal soleh.
Tatkala Allah swt menyebutkan ‘berlumba-lumba’, ia bukan sekadar bererti melakukan kebaikan yang lebih daripada saudara kita.
Bahkan ia juga membawa maksud berdisiplin dalam melakukan kebaikan sehingga kita mampu untuk melakukannya sebaik mungkin bila-bila masa sahaja.
Dari sudut pandang ini, kita dapat menghayati panduan kehidupan yang ingin disampaikan kepada kita oleh Allah swt.
Perginya Ramadan dan Syawal bukan bererti amalan terhenti.
Sebaliknya, kita kembali kepada ‘mod latihan’: amalan diteruskan walaupun dengan kadar yang kurang berbanding pada Ramadan.
Kesimpulan
Allah swt mengingatkan kepada kita sifat fana’ (tidak kekal/sementara) yang merupakan fitrah kehidupan di dunia ini melalui firman-Nya dalam Surah Al-A’raf, ayat 34, yang bermaksud:
“Maka apabila tiba tempoh (ajal) mereka, tidak dapat dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak pula mereka didahulukan.”
Ayat ini mengingatkan kita supaya tidak leka dengan kesenangan dunia semata dan sentiasa mempersiapkan diri dengan amal soleh sepanjang hidup.
Realiti ini amat jelas, terutama apabila melihat kepada peristiwa semasa seperti kematian mengejut akibat kemalangan, penyakit, atau bencana alam.
Semua itu menjadi peringatan supaya kita tidak membuang masa dan menggunakan sebaik mungkin peluang beribadah dan berbuat kebaikan.
Ramadan dan Syawal hanyalah permulaan; kehidupan ini perlu dimanfaatkan sepanjang masa untuk meraih keredaan Allah swt dan bekalan akhirat.
Akhir kalam, marilah kita jadikan prinsip amal yang berterusan sebagai pegangan dan sentiasa berlumba melakukan kebaikan tanpa jemu.
Kita juga harus sentiasa sedar bahawa ajal boleh datang tanpa diduga dan dunia ini adalah sementara.
Semoga setiap langkah kehidupan kita selepas Syawal diberkati dan dirahmati Allah swt, serta mendapat ganjaran yang berlipat ganda di sisi-Nya.
Penulis ialah pendakwah bebas berkelulusan ijazah Sarjana Sains (Pengajian Asia) daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) serta ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau pernah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai Ketua Komunikasi Strategik dan Penglibatan Masyarakat di Masjid En-Naeem.
