Topik diikuti
Pergi ke BHkuZuriat amanah dunia, saham akhirat
Habib Ali Zaenal Abidin tekan kepentingan bentuk anak beriman melalui teladan ibu bapa, didikan akhlak dan sirah Nabi
Zuriat merupakan antara anugerah terbesar yang dikurniakan Allah swt kepada manusia.
Kehadiran anak bukan sekadar penyambung keturunan, bahkan menjadi amanah besar yang membawa tanggungjawab dunia dan akhirat.
Dalam Islam, zuriat bukan dilihat sebagai beban, tetapi sebagai sumber kebahagiaan, penerus perjuangan agama serta saham akhirat buat ibu bapa.
Hakikat ini dapat dilihat melalui kisah para nabi yang sentiasa memohon dikurniakan zuriat walaupun sibuk berdakwah dan menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Ini berbeza dengan sebahagian masyarakat hari ini yang berasa takut atau ragu-ragu untuk memiliki anak kerana memikirkan soal kewangan, tekanan hidup atau komitmen yang besar.
Nabi Zakaria as, misalnya, walaupun telah lanjut usia melebihi 90 tahun, tetap berdoa agar dikurniakan zuriat.
Baginda bukan meminta anak kerana kepentingan dunia semata, tetapi kerana mengharapkan adanya pewaris yang dapat meneruskan perjuangan dakwah dan menjaga agama Allah swt.
Begitu juga Nabi Ibrahim as yang sentiasa berdoa agar dikurniakan keturunan yang soleh.
Kepentingan zuriat dalam Islam
Zuriat juga memainkan peranan penting selepas kewafatan ibu bapa. Rasulullah saw bersabda:
“Apabila anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (HR Muslim).
Hadis ini menunjukkan anak yang soleh menjadi antara amalan yang berterusan manfaatnya di alam barzakh.
Doa, amal kebaikan dan didikan yang diteruskan oleh anak akan terus mengalirkan pahala kepada ibu bapanya.
Demikian antara perkara yang dikongsi pendakwah dari Indonesia, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid, berdasarkan kitab, 40 Hadis Nabi saw Dalam Mendidik Anak-Anak, dalam sebuah majlis ilmu yang berlangsung pada 10 Mei lalu di dewan serba guna Masjid Sultan.
Hadis yang dikupas banyak menyentuh tentang kepentingan membimbing anak dengan asas iman dan menjadikan ibu bapa sebagai teladan terbaik.
Menurut Habib Ali Zaenal Abidin, hubungan ibu bapa dan anak sangat penting dalam membentuk kekuatan iman sesebuah keluarga.
Sekiranya ibu bapa memiliki iman yang kuat, mereka mampu membimbing anak yang lemah imannya menjadi lebih baik.
Malah di akhirat kelak, ibu bapa yang memiliki darjat iman yang lebih tinggi berpotensi membantu mengangkat darjat anak yang imannya lebih rendah.
Kepentingan iman, ibu bapa sebagai teladan
Didikan iman tidak boleh hanya bergantung kepada kata-kata, tetapi perlu diterjemahkan melalui contoh dan suasana kehidupan harian.
Daripada Sayidina Jundub bin Abdillah ra, beliau berkata:
“Kami berada bersama Nabi saw ketika kami masih remaja yang hampir mencapai usia baligh. Lalu kami mempelajari iman sebelum kami mempelajari Al-Quran. Kemudian kami mempelajari Al-Quran, maka bertambahlah iman kami dengannya.”
Habib Ali Zaenal Abidin menjelaskan iman dalam hadis tersebut merujuk kepada perasaan sentiasa berasakan kehadiran Allah swt sebagai Tuhan serta tempat bergantung dan bersandar dalam setiap keadaan.
Atas sebab itu, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik kepada anak.
Didikan tidak memadai sekadar arahan atau nasihat.
Sebagai contoh, ibu bapa tidak boleh hanya bertanya sama ada anak sudah menunaikan solat atau belum, tetapi perlu berusaha mengajak mereka solat berjemaah bersama agar anak belajar melalui perbuatan.
Dalam sebuah hadis lain daripada Ibn Abbas ra, Rasulullah saw bersabda:
“Wahai budak lelaki, sesungguhnya aku akan mengajar engkau beberapa perkataan. Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjaga engkau. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapan engkau.”
Hadis ini menunjukkan pentingnya menanam hubungan dengan Allah swt sejak kecil agar anak membesar dengan keyakinan Allah swt sentiasa memelihara dan membimbing mereka.
Selain itu, anak yang berbakti kepada ibu bapa juga lahir daripada suasana rumah tangga yang baik.
Hubungan antara suami dengan isteri memberi kesan besar kepada pembentukan akhlak anak.
Ibu bapa perlu saling menghormati dan menjaga tutur kata di hadapan anak.
Elak membuka keburukan pasangan kepada anak kerana mereka bijak menilai dan menyerap apa yang dilihat setiap hari.
Habib Ali Zaenal Abidin menekankan tiada hadiah yang lebih baik diberikan oleh ibu bapa kepada anak selain akhlak yang baik.
Justeru, pendidikan akhlak perlu menjadi asas utama dalam pembentukan keluarga Muslim.
Kepentingan sirah Nabi
Dalam mendidik anak, ibu bapa juga disaran memperkenalkan sirah Rasulullah saw kepada mereka sejak kecil.
Allah swt berfirman dalam Surah At-Tahrim, ayat 6:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka.”
Menurut Sayidina Ali karramallahu wajhah, maksud ayat tersebut ialah mengajarkan ilmu dan adab kepada anggota keluarga.
Rasulullah saw turut bersabda:
“Didiklah anak kamu dengan tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, mencintai anggota keluarganya dan membaca Al-Quran.” (HR Ahmad, Abu Dawud, Al-Hakim).
Mencintai Nabi saw perlu bermula daripada ibu bapa sendiri.
Apabila ibu bapa mempunyai kecintaan kepada Rasulullah saw, suasana itu akan turut dirasai oleh anak.
Habib Ali Zaenal Abidin menjelaskan cinta kepada Nabi saw mampu melembutkan hati dan menjauhkan seseorang daripada sifat keras hati.
Para tabiin juga pernah mengatakan mereka mempelajari sirah Rasulullah saw, sebagaimana mereka mempelajari surah-surah Al-Quran.
Sirah Nabi bukan sekadar kisah sejarah, tetapi merangkumi keluarga Baginda, para sahabat, kotanya di Madinah dan segala yang berkaitan dengan kehidupan Rasulullah saw.
Lindung anak daripada pengaruh buruk
Dalam usaha melindungi anak daripada pengaruh buruk, ibu bapa perlu mencipta suasana rumah yang baik dan memantau dengan siapa anak bergaul.
Pengaruh rakan sebaya memberi kesan besar kepada pembentukan peribadi mereka.
Sayidina Ali pernah berpesan agar anak-anak dididik mengikut zaman mereka dan bukan zaman ibu bapa kerana mereka hidup dalam suasana yang berbeza.
Rasulullah saw juga bersabda:
“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu minyak wangi tersebut, atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula akan membakar bajumu dan kamu mendapat bau yang busuk.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini mengingatkan persekitaran dan sahabat memainkan peranan besar dalam membentuk peribadi anak.
Didik anak istimewa
Dalam masa sama, Habib Ali Zaenal Abidin, turut menyentuh tentang cabaran membesarkan anak istimewa.
Menurut beliau, setiap ibu bapa pasti diuji, cuma bentuk ujiannya berbeza.
Meski diuji, setiap ibu bapa perlu memiliki sikap reda dan yakin Allah swt tidak membebani seseorang melebihi kemampuannya.
Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
Menurut Habib Ali Zaenal Abidin, dugaan yang diberikan Allah swt sebenarnya boleh menjadi nikmat dalam kehidupan seorang Mukmin dalam empat keadaan berikut:
1) Apabila ujian tidak menjejas iman
Jika seseorang diuji tetapi imannya tetap terpelihara dan tidak jauh daripada Allah swt, maka ujian tersebut merupakan satu nikmat.
2) Apabila ada orang lain yang diuji lebih berat
Menyedari masih ada insan lain yang menghadapi ujian lebih besar dapat menimbulkan rasa syukur dan melihat dugaan yang dihadapi sebagai satu nikmat.
3) Apabila mampu bersabar dan reda
Keupayaan untuk menerima ujian dengan hati yang sabar dan reda juga merupakan nikmat yang dikurniakan Allah swt.
4) Apabila memperoleh pahala daripada ujian
Setiap kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi dugaan akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah swt, dan itu sendiri adalah satu nikmat.
Justeru, mendidik dan membesarkan anak bukan sekadar memenuhi tuntutan kehidupan dunia, malah, merupakan amanah besar yang memerlukan ilmu, kesabaran, kasih sayang dan teladan yang baik.
Anak yang dibesarkan dengan iman dan akhlak mulia bukan sahaja menjadi penyejuk hati ibu bapa di dunia, bahkan menjadi penyambung pahala hingga ke akhirat kelak.
