Sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Thailand dengan Singapura pada September 2025 bukan sekadar acara simbolik.
Ia merupakan bukti keteguhan hubungan yang terbina sejak era pascakolonial dan diperhalusi selama enam dekad, menjadi salah satu kerjasama dua hala paling pragmatik serta kukuh dalam kalangan negara Asean.
Apabila Thailand – sebuah kerajaan bersejarah dengan akar serantau yang mendalam – menjadi antara negara pertama mengiktiraf kemerdekaan Singapura pada 1965, tindakan itu melangkaui adat diplomatik semata-mata.
Isyarat berpandangan jauh itu timbul hanya beberapa hari selepas pemisahan mendadak Singapura dari Malaysia, menandakan keyakinan terhadap masa depan yang ditentukan bukan oleh saiz wilayah atau jumlah penduduk, tetapi oleh iltizam bersama terhadap kedaulatan, pembangunan ekonomi, serta kesepaduan serantau.
Daripada asas kepercayaan awal itulah hubungan kedua-dua negara berkembang daripada interaksi rasmi menjadi perkongsian erat yang merangkumi bidang ekonomi, keselamatan, dan sosiobudaya – seterusnya menjadi enjin penting kepada aspirasi kolektif Asean di tengah-tengah arus geopolitik abad ke-21.
Kekuatan berterusan hubungan Thailand dengan Singapura terletak pada keseragaman matlamat dan kejelasan visi, sesuatu yang jarang dicapai dalam hubungan antarabangsa.
Sebagai antara pengasas bersama Asean pada 1967 – di samping Malaysia, Indonesia dan Filipina – kedua-dua negara faham walaupun suara mereka berbeza, ia mampu digabungkan bagi memperkukuh kepentingan serantau.
Thailand dengan kedudukan strategik, jumlah penduduk yang ramai dan kekuatan sektor pertanian, sementara Singapura dengan statusnya sebagai hab kewangan sejagat serta kepakaran teknologi, tidak pernah menjadi pesaing semula jadi.
Sebaliknya, mereka saling melengkapi.
Usaha saling melengkapi inilah yang menjadi teras kepada kerjasama ekonomi mereka, yang kini melangkaui perdagangan tradisional.
Penubuhan rangka kerja Hubungan Ekonomi Dipertingkatkan Singapura-Thailand (Steer) merupakan contoh jelas evolusi tersebut.
Inisiatif ini mewujudkan dialog berstruktur di peringkat tinggi bagi menghapuskan halangan perdagangan dan pelaburan secara sistematik.
Ia bukan sahaja memudahkan aliran barangan, malah yang lebih penting, mempercepat aliran modal, bakat dan kepakaran.
Pelaburan Singapura juga memainkan peranan penting dalam pembangunan Kumpulan Ekonomi Eropah (EEC) di Thailand, sebuah projek strategik yang memacu transformasi Thailand ke arah negara berpendapatan tinggi melalui industri bernilai tambah tinggi.
Sinergi ini menjadi model kerjasama ‘Selatan-Selatan’ yang berjaya, di mana sebuah negara kota maju menjadi pemangkin pembangunan industri dan teknologi kepada jiran serantau yang lebih besar, lantas mewujudkan keadaan ‘saling menguntungkan’ yang memperkukuh daya tahan ekonomi Asean secara keseluruhan.
Dalam aspek keselamatan, hubungan ini turut membawa kesan mendalam.
Kerjasama ketenteraan jangka panjang, termasuk latihan udara dan darat bersama, bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan tahap kepercayaan profesional yang tinggi antara angkatan bersenjata kedua-dua negara.
Kebolehkendalian pertahanan yang terhasil memperkukuh keupayaan serantau dalam menangani pelbagai cabaran keselamatan, daripada pertikaian wilayah tradisional hingga kepada ancaman bukan tradisional seperti lanun, jenayah rentas sempadan, dan keselamatan siber.
Dialog strategik antara Bangkok dengan Singapura sentiasa menekankan kepentingan pusat Asean (atau yang dikatakan Asean centrality) dan sistem serantau berasaskan undang-undang – satu pendirian yang semakin penting ketika persaingan kuasa besar di Indo-Pasifik kian meningkat.
Walaupun dasar luar kedua-dua negara berbeza dari segi pendekatan, keupayaan mereka bekerjasama dalam forum Asean sering menjadi kunci dalam membina kemuafakatan dan mengekalkan perkaitan blok tersebut.
Hubungan ini menunjukkan kematangan diplomasi yang mengutamakan kestabilan jangka panjang berbanding perbezaan politik jangka pendek.
Meskipun begitu, sambil menyanjung sejarah gemilang ini, ujian sebenar perkongsian Thailand dengan Singapura terletak pada kemampuan menyesuaikan diri dengan cabaran era baru termasuk gangguan digital, krisis iklim, dan ketidaktentuan geopolitik.
Dalam bidang ekonomi digital, peluang penyepaduan amat besar.
Kedua-dua negara sudah memiliki strategi nasional yang berwawasan, iaitu Thailand 4.0 dan Negara Bijak Singapura.
Namun potensi sebenar terletak pada penciptaan ekosistem digital rentas sempadan yang benar-benar lancar.
Kerjasama dalam keselamatan siber, penyelarasan piawaian perlindungan data, serta inovasi bersama dalam teknologi kewangan (fintech) dan e-dagang boleh menetapkan penanda aras baru untuk rantau ini.
Bayangkan masa depan di mana perusahaan kecil dan sederhana (SME) Thailand boleh mengakses modal teroka dan platform logistik digital Singapura dengan mudah, atau kepakaran Singapura dalam sektor digital dimanfaatkan untuk menambah baik perkhidmatan awam di wilayah Thailand.
Projek nyata seperti pusat penyelidikan bersama dalam kecerdasan buatan (AI) bagi konteks Asia Tenggara boleh memastikan rantau ini bukan sekadar pengguna teknologi sejagat, malah, pencipta inovasi serantau.
Krisis iklim pula menuntut bentuk perkongsian baru berteras kelestarian.
Asia Tenggara kini berdepan kesan langsung perubahan iklim – kenaikan paras laut yang mengancam pesisir Singapura serta perubahan cuaca yang menjejas hasil pertanian Thailand.
Di sinilah wujud sinergi semula jadi: Kepakaran Singapura dalam pembiayaan hijau, penyelidikan, dan kelestarian bandar boleh digabungkan dengan kekuatan Thailand dalam tenaga boleh diperbaharui, khususnya suria dan biojisim, serta pertanian lestari.
Pelaburan bersama dalam ladang suria berskala besar di Thailand atau penyelidikan pelbagai tanaman tahan kemarau bukan sekadar membuka peluang komersial, malah juga strategi keselamatan makanan dan tenaga.
Bahkan, sebagai destinasi pelancongan utama Asean, kedua-dua negara berkepentingan dalam mempromosikan pelancongan lestari yang memelihara warisan alam dan budaya.
Usaha bersama dalam membangunkan mekanisme pembiayaan hijau dan pasaran karbon serantau boleh menjadikan Thailand dan Singapura peneraju transformasi Asean ke arah ekonomi rendah karbon.
Cabaran geopolitik yang semakin kompleks menuntut diplomasi yang bijaksana.
Keseimbangan kuasa halus yang menandai Asia Tenggara selama beberapa dekad kini semakin teruji, dan di sinilah kebijaksanaan Thailand dan Singapura memainkan peranan penting.
Rangkaian hubungan dua hala yang kukuh antara mereka boleh berfungsi sebagai saluran penstabil, ruang yang dipercayai untuk dialog terbuka dan tindakan selaras dalam Asean.
Kedua-dua negara perlu terus memperkukuh komitmen terhadap peraturan serantau yang terbuka, terangkum, dan berasaskan peraturan, serta menolak naratif kesetiaan sepenuhnya.
Sejarah panjang mereka dalam Asean memberikan asas kukuh untuk berinteraksi secara membina dengan kuasa besar, dengan menegaskan bahawa kerjasama, bukan paksaan, adalah jalan menuju keamanan dan kemakmuran berpanjangan.
Tempoh 60 tahun pertama hubungan Thailand dengan Singapura telah dibina atas kepercayaan, saling menghormati, dan pragmatisme.
Selama 60 tahun seterusnya akan ditentukan oleh sejauh manakah kedua-dua negara mampu menterjemahkan warisan kepercayaan itu ke dalam penyelesaian inovatif terhadap cabaran baru.
Sambutan ulang tahun ke-60 ini bukan noktah akhir, tetapi permulaan baru yang menandakan satu detik bagi menegaskan kembali semangat isyarat hubungan dua hala pertama kedua-dua negara pada 1965.
Ia juga komitmen untuk membina perkongsian yang bukan sahaja mampu bertahan ujian masa, bahkan juga menjadi kuasa dinamik yang membentuk masa depan yang lebih selamat, lestari, dan makmur untuk rakyat kedua-dua negara serta seluruh Asia Tenggara.
Penulis ialah Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa Kanan dengan Solaris Strategis Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg