Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah menghantar lebih tujuh tan bekalan bantuan kemanusiaan ke Thailand bagi membantu meringankan penderitaan mangsa yang terjejas akibat cuaca buruk dan banjir yang melanda bandar Hat Yai di wilayah Songkhla.
Menurut Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kiriman Facebook pada 3 Disember, bantuan yang dikendalikan oleh Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC) itu telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai pada hari sama.
Bekalan yang merangkumi makanan, air, ubat-ubatan dan keperluan kebersihan dihantar menerusi pesawat pengangkut C-130 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
Mindef berkata usaha tersebut “menggariskan hubungan pertahanan dua hala yang erat dan lama terjalin antara Singapura dan Thailand.”
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, dalam kiriman Facebook pada hari yang sama, berkata beliau berharap bantuan tersebut dapat memberikan sedikit sebanyak keselesaan dan sokongan kepada mereka yang terjejas di Hat Yai.
“Terima kasih kepada RHCC Changi atas penyelarasan yang lancar, dan kepada RSAF atas pengerahan segera mereka dalam tempoh yang singkat,” kata Encik Chan, yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam.
Pengarah RHCC Changi, Kolonel Lew Tze Soon hadir untuk menyerahkan secara rasmi bekalan bantuan kemanusiaan itu kepada Jeneral Besar Komando Pembangunan Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Saravut Janpum.
Sementara itu, dalam kiriman Facebook pada 2 Disember, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong menyatakan rasa sedih terhadap berita banjir teruk yang menjejas masyarakat di Asia Tenggara.
Hampir 900 orang di rantau tersebut terkorban akibat hujan lebat yang memudaratkan, manakala 350 lagi meninggal dunia di Sri Lanka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa di Thailand dan Malaysia kerana membantu rakyat Singapura yang terkandas di Hat Yai yang dilanda banjir untuk pulang dengan selamat.
Setakat ini, lebih 800 rakyat Singapura telah kembali dari Hat Yai di wilayah Songkhla, kawasan selatan Thailand yang paling teruk terjejas akibat banjir.
Bencana itu turut menyebabkan temasya Sukan SEA 2025, yang pada asalnya dijadual berlangsung di Songkhla, dipindahkan ke Bangkok.
Ini berikutan kebimbangan terhadap keadaan bahaya di lokasi pertandingan serta risiko penularan penyakit di daerah yang dilanda banjir besar terburuk dalam beberapa tahun itu.
Pada 1 Disember, Palang Merah Singapura (SRC) berkata ia telah memperuntukkan $250,000 untuk menyokong lima persatuan palang merah dan bulan sabit dari rantau ini yang terjejas akibat cuaca buruk.
Persatuan palang merah serta bulan sabit dari Thailand, Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Sri Lanka, masing-masing akan menerima $50,000 untuk menyokong usaha bantuan dan pemulihan segera.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg