Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Ihsan, rendah hati, semangat menyumbang: nilai seorang Jauhari

Nov 06, 2022 | 05:43 AM



TAHUN ini merupakan tahun ke-24 akhbar ini menyampaikan Anugerah Jauhari kepada tokoh Melayu/Islam yang cemerlang dalam bidangnya.



Anugerah kali ini disampaikan kepada Ketua Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE)/Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Hadijah Rahmat.



Pencapaian beliau dalam arena bahasa, budaya dan sejarah memang diakui dan telah dilaporkan secara meluas.



Di samping memartabatkan bahasa Melayu di peringkat sejagat; pengorbanan, dedikasi dan sumbangannya kepada masyarakat Melayu setempat dan tanah air secara amnya, telah juga diiktiraf menerusi pelbagai anugerah di peringkat nasional.



Profil Jauhari ke-24, Profesor Hadijah, mencerminkan juga tokoh-tokoh Jauhari sebelum ini.



Masing-masing telah mencapai kecemerlangan dalam bidang mereka.



Namun, terdapat satu nilai-nilai yang menyerlahkan kehebatan seorang Jauhari itu, menjangkaui pencapaian profesional mereka.



Nilai-nilai tersebut, bagi saya, ialah sikap ihsan, sikap merendah hati dan semangat menyumbang kembali kepada bangsa dan negara.



Penerima Anugerah Jauhari 2012, Encik Suhaimi Rafdi, yang menerima anugerah tersebut semasa menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cathay Holdings, pernah berkata bahawa nilai utama bagi beliau sebagai seorang pemimpin ialah nilai ihsan.



Dalam wawancara dengan kakitangannya ketika itu, mereka memberitahu Encik Suhaimi sering membantu apabila mereka berdepan dengan masalah kekurangan kakitangan termasuk untuk mengambil tempahan di kaunter makanan dan minuman.



"Seorang pemimpin itu menetapkan hala tuju dan matlamat yang jelas. Kemudian dia sendiri yang menyingsing lengan, bekerja keras, untuk membantu pasukannya mencapai matlamat tersebut. Dia bukan hanya mengarah, meneraju dari belakang," ujar beliau, dalam wawancara apabila menerima Anugerah Jauhari sedekad yang lalu.



Sifat merendah hati adalah satu lagi nilai yang amat ketara dalam seorang Jauhari.



Daripada pengamatan saya, ia adalah kerana mereka sedar, mereka bukan berjaya dan menikmati kedudukan mereka hanya dengan hasil titik peluh mereka sendiri sahaja.



Iya, kerja keras itu penting, tapi banyak faktor yang turut memacu kejayaan seseorag.



Seperti kata penerima Anugerah Jauhari 2018, Encik Bahren Shaari, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bank of Singapore, Encik Bahren, dalam wawancara semasa beliau menerima anugerahnya itu:



"Saya bukan yang terbaik. Ramai lagi yang lebih baik daripada saya namun tidak memegang jawatan CEO.



"Kenapa saya dipilih, dan bukan mereka? Pertama ialah kerana individu-individu yang yakin dengan kebolehan saya dan bersedia memberi saya peluang, kedua ialah berkat doa ibu bapa dan terakhir kerana yang Maha Esa yang telah menentukannya."



Sikap merendah hati ini juga begitu menyerlah dalam diri penerima Anugerah Jauhari 2019, Imam, Masjid Ba'alwie, Habib Hassan Al-Attas.



Meskipun beliau seorang agamawan yang dihormati, beliau membuat setiap orang di sekelilingnya rasa begitu selesa dan tenang, tidak kira bangsa dan agama.



Semasa sidang media menjelang penyampaian anugerah tersebut, yang diadakan di Masjid Ba'alwie, Habib Hassan sendiri yang menghidangkan minuman dan makanan kepada para tetamu media dengan penuh mesra sehinggakan seorang wartawan dari akhbar berbahasa Cina, Lianhe Zaobao, yang pertama kali bertemu dengan beliau memberitahu saya selepas sesi tersebut - "Habib is an amazing man" atau "Habib seorang insan yang hebat".



Nilai yang ketiga bagi saya ialah semangat menyumbang kembali kepada anggota keluarga, masyarakat dan negara.



Semangat ini didorong keyakinan bahawa kejayaan dan pencapaian mereka kurang bermakna sekiranya mereka tidak memanfaatkannya untuk membantu kemajuan orang lain.



Profesor Hadijah contohnya, memperkenalkan biasiswa dan dermasiswa untuk anggota keluarga besarnya yang lulus peperiksaan.



Dinamakan Anugerah Akar, yang mengambil sempena singkatan nama datuknya, Abdul Karim (AK) dan neneknya Alimah Rais (AR), selain menyampaikan dermasiswa dan biasiswa, ada juga sijil bagi pelajar terbaik, kelakuan terbaik, kemajuan terbaik, dan lain-lain lagi.



Pemberian biasiswa ini - untuk keluarga besar dan juga anggota masyarakat yang memerlukan - turut diamalkan beberapa Jauhari yang lain, yang memberitahu saya secara peribadi namun enggan ia dilaporkan.



Penerima Anugerah Jauhari 2010, Encik Shafie Shamsuddin, pula pernah berkata beliau memegang kepada prinsip bahawa tangan yang memberi, lebih baik daripada tangan yang menerima.



Justeru, sebahagian besar pendapatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Carrefour Indonesia, ketika itu diperuntukkan untuk tujuan amal.



Nama-nama yang disebut hanya segelintir sahaja daripada tokoh-tokoh hebat yang telah dinobat sebagai Jauhari masyarakat.



Kesemua mereka mempunyai nilai-nilai yang serupa - yang mendorong semangat daya tahan, memperkukuh iltizam dan mengatasi cabaran bagi mencapai kecemerlangan.



Sama penting ialah, nilai-nilai tersebut juga dilihat dalam diri penerima Anugerah Jauhari Harapan - anugerah yang disampaikan kepada individu Melayu/Islam berusia 30 tahun dan ke bawah.



Ia mengiktiraf pencapaian dan potensi individu tersebut, untuk menjadi inspirasi kepada generasi muda Melayu/Islam yang lain.



Dengan individu-individu sedemikian - dari generasi lebih mapan dan generasi muda - masa depan bagi masyarakat kita tampak cerah.



Kuncinya ialah dengan membudayakan lingkaran golongan yang lebih berjaya membantu dan menyokong mereka yang kurang berjaya, sambil menyebar luaskan sikap bahawa kejayaan kita kurang bermakna jika ia tidak memberi kesan kepada orang lain.




"Kuncinya ialah dengan membudayakan lingkaran golongan yang lebih berjaya membantu dan menyokong mereka yang kurang berjaya, sambil menyebar luaskan sikap bahawa kejayaan kita kurang bermakna jika ia tidak memberi kesan kepada orang lain."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >