Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Ikhtiar kedamaian, usah terjerat dalam teologi seleweng perang Israel-Hamas

Dec 01, 2023 | 04:54 PM



Gencatan kemanusiaan dalam perang antara Israel dengan Hamas telah memberikan bantuan yang sangat diperlukan kepada orang awam yang terperangkap di tengah-tengah pertempuran.

Ia juga mengurangkan retorik lantang dan biadab yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak sejak bermulanya perang pada 7 Oktober.

Kita harus mengambil kesempatan ini dan mengalihkan perhatian untuk membawa penyelesaian secara aman. Satu pendekatan adalah untuk belajar daripada bahaya yang berlaku setakat ini.

Penggunaan Retorik Keagamaan untuk Mengapi-apikan

Penggunaan retorik agama yang tidak terkawal menimbulkan kebimbangan yang serius. Ia boleh menyebabkan perang yang sudah meletus di zon konflik meningkat, membawa kepada limpahan ketegangan agama dalam masyarakat di tempat lain.

Kemungkinannya sangat nyata kerana sejarah agama, kitab suci dan kata-kata telah digunakan oleh banyak pihak dan dalam pelbagai cara. Ini adalah ironi yang kejam memandangkan agama harus menjadi sumber positif untuk keharmonian, bukan pemangkin konflik dan perpecahan.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memetik kitab Taurat, apabila beliau melancarkan serangan darat ke atas Gaza. Lebih khusus lagi, beliau merujuk kepada perintah Tuhan kepada Raja Saul, untuk menghukum dan membunuh orang Amalek kerana penganiayaan mereka terhadap orang Yahudi.


Dengan menyamakan orang Palestin di Gaza dengan orang Amalek, beliau merancang tindak balas tentera Israel mengikut anggapan kitab dan agama. Adalah salah mencirikan orang Palestin dengan cara ini.

Begitu juga, tokoh dan institusi sederhana di dunia Islam menjadi lebih tegas dan agresif dalam mengutuk Israel atas serangan ganasnya terhadap penduduk Gaza.

Di banyak bahagian dunia Islam, retorik anti-Yahudi semakin mendapat perhatian dan rujukan kitab suci apokaliptik kini tersebar dengan pantas.

Bulan lalu, sekumpulan ulama Islam mengeluarkan fatwa yang menyifatkan konflik Israel-Hamas sebagai perang agama dan menyeru negara-negara Islam supaya mempertahankan penduduk Gaza secara ketenteraan.

Ini sangat membimbangkan. Kita tidak mampu memiliki dunia di mana masyarakat beriman memetik perintah kitab suci untuk menghapuskan satu sama lain, kerana terdapat juga banyak rujukan kepada keamanan, perdamaian dan belas kasihan dalam kitab suci.

Tafsiran secara literal terhadap teks agama bermain terus ke tangan golongan ekstremis. Malah Paus Francis berkata baru-baru ini bahawa konflik Israel-Hamas telah melampaui peperangan kepada keganasan.

Kitab Agama Menyeru untuk Perdamaian dan Rekonsiliasi

Ramai orang Islam memahami kejahatan iaitu keganasan dan sering menentangnya. Mereka boleh dikatakan paling teruk terjejas setiap kali kumpulan pengganas Islam menyerang, kerana meningkatnya Islamofobia dan semakin lemahnya hubungan dengan bukan Islam.

Pemimpin Islam juga bersusah payah menunjukkan dengan jelas bahawa tafsiran ekstremis terhadap kitab suci umat Islam adalah sesat dan salah tempat, dan mereka dengan mudah mengabaikan rujukan kepada keamanan, perdamaian dan belas kasihan.

Tafsiran kitab suci oleh Encik Netanyahu semasa melancarkan serangan ke atas Gaza juga tersasar dan tidak kena tempat. Malah, cendekiawan agama telah menonjolkan kesilapan dalam pemahaman Encik Netanyahu mengenai kisah orang Amalek, terutama dalam perbandingan tentang orang Palestin dengan Amalek. Beliau juga kelihatan tidak menyedari nilai teras kitab suci iaitu belas kasihan.

Skala krisis kemanusiaan di Gaza memerlukan renungan mendalam, belas kasihan dan sifat rahmah.

(Nabi) Ibrahim as, bapa orang Yahudi dan Muslim, terkenal dengan keramahannya yang luar biasa. Daripada menjaja naratif yang berbahaya dan ganas, kita harus mencontohi kemurahan hati dan sifat belas Nabi Ibrahim as kepada orang lain.


Sebaliknya, dengan meletusnya peperangan baru-baru ini, penyelesaian konflik kelihatan lebih jauh berbanding sebelum ini.

Walaupun serangan kejam Hamas pada 7 Oktober telah mencetuskan perang semasa, tindakan balas dendam Israel yang berterusan tanpa menghiraukan keselamatan rakyat Palestin yang tidak bersalah, telah mewujudkan persepsi yang paling buruk terhadap dirinya sendiri.

Bagi kebanyakan orang, Israel dilihat menggunakan kuasa ketenteraan unggulnya dengan bersungguh-sungguh untuk memusnahkan Gaza dan penduduk Palestin.

Melangkaui Mempertahankan Diri

Justifikasi Israel, disokong oleh beberapa sekutu Baratnya, adalah bahawa ia bertindak untuk mempertahankan diri. Bagi mereka, tindakan mempertahankan diri tidak boleh dipersalahkan. Tetapi memusnahkan hospital, kem pelarian, sekolah dan tempat ibadat, dalam apa yang kelihatan sebagai pengeboman sembarangan, melemahkan naratif ini.

Perang semasa, imej keganasan dan kemusnahan yang berlaku di Gaza, kini memberi gambaran bahawa perdamaian dengan Palestin tidak pernah benar-benar ada dalam agenda. Sebaliknya, ia mencerminkan sikap Israel yang mengambil kesempatan sehingga menimbulkan kemarahan sejagat.

Perjalanan ke arah keamanan perlu diasaskan atas kepercayaan dan keyakinan bersama. Setiap orang perlu berasa selamat di hadapan orang lain, walaupun kita berbeza dan hidup secara berbeza. Malangnya, ini adalah impian yang sukar menjadi kenyataan bagi rakyat Palestin dan Israel hari ini.

Kewujudan Bersama boleh Dijayakan

Di Singapura, kita hidup dalam keadaan yang hanya boleh diimpikan oleh orang lain, di mana kepelbagaian agama tidak melemahkan kita. Oleh itu, kita mesti berusaha lebih gigih menjadikannya realiti untuk orang lain juga, kerana ia tidak mustahil.

Rakyat Singapura, termasuk masyarakat Islam, sedih dengan peperangan yang berlaku, tetapi lebih kepada atas dasar kemanusiaan dan bukan agama. Ia membantu dalam hubungan masyarakat Islam dengan masyarakat Yahudi Singapura yang mesra dan membina. Modal sosial dan antara agama sebegini boleh membawa kita melalui terowong masa yang sukar, seperti ini, apabila konflik luar dengan mudah boleh menyebabkan salah faham dan perpecahan.







Tindakan Israel telah membuat tugas kita lebih sukar. Malah, kesan perang Israel-Hamas terhadap perpaduan sosial Singapura merupakan salah satu kebimbangan saya pada permulaannya.

Dengan semangat inilah saya menulis kepada Ketua Rabai Singapura sejurus selepas meletusnya perang. Beberapa orang Islam telah mengkritik saya kerana surat saya tidak jelas dalam mengecam serangan Israel ke atas Gaza.

Saya sepatutnya menerangkan niat saya dengan lebih jelas, iaitu kita harus memelihara hubungan antara agama yang baik walaupun peristiwa di luar sempadan kita menimbulkan ancaman yang boleh memecahbelahkan kita, dan kita harus terus berharap bahawa model hidup bersama yang aman walaupun kita berbeza budaya dan agama, boleh membantu masyarakat lain untuk mempertimbangkan semula model mereka sendiri.

Harapan saya ialah masyarakat Yahudi Singapura akan cuba meyakinkan rakyat di Israel bahawa mereka juga boleh hidup aman dengan rakyat Palestin. Malangnya, harapan ini akan pudar dan pupus sekiranya krisis berlarutan dan jumlah korban terus meningkat.

Kesimpulan

Untuk memberikan keamanan peluang yang sebenar, semua pihak mesti mengelak daripada keganasan selanjutnya yang merugikan orang awam.

Israel mesti menghentikan serangan tanpa pandang bulu ke atas Gaza dan menghormati kesucian kehidupan manusia. Jika tidak, sebarang simpati tersisa daripada serangan kejam Hamas pada 7 Oktober akan hilang. Fokus Israel sekarang adalah untuk memenangi perangnya dengan Hamas, tetapi ia mungkin kehilangan keamanannya dengan dunia Islam.

Bagi kita yang lain, terutamanya komuniti agama, kita perlu lebih bersuara untuk menyokong keamanan dan mengelakkan diri daripada terjerat dalam mana-mana teologi yang menyeleweng serta menimbulkan konflik dan keganasan.

Dalam pada kita berusaha menangani kesedihan dan kekecewaan kita, marilah kita fokus kepada cara kita boleh mewujudkan dunia yang lebih baik untuk semua.








Dr Nazirudin Mohd Nasir ialah Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Beliau juga merupakan anggota Majlis Presiden Keharmonian Agama dan Jawatankuasa Penasihat Bioetika. Artikel tulisan beliau pertama kali diterbitkan dalam RSIS Commentary. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >