Imbangi realiti kos jaga haiwan peliharaan
Ukur kemampuan sendiri, agar elak haiwan diabai di belakang hari
Baru-baru ini, saya membawa empat daripada lima kucing peliharaan saya ke klinik doktor haiwan untuk mendapatkan suntikan vaksin tahunan, ujian darah dan beberapa pemeriksaan rutin lain.
Saya juga membeli makanan kucing khusus bagi salah seekor kucing saya yang mempunyai masalah kurang lawas buang air kecil.
Kos keseluruhan bagi lawatan ini: Sekitar $1,000.
Angka ini tentunya boleh membuat ramai yang urut dada dan terbeliak mata.
Sebabnya, kos bawa empat kucing ke klinik jauh lebih tinggi berbanding empat manusia jumpa doktor keluarga.
Bukan murah untuk pelihara kucing di Singapura.
Hakikatnya, bayaran $1,000 itu hanyalah untuk rawatan rutin.
Ia belum merangkumi prosedur pembedahan atau rawatan penyakit kronik.
Saya sendiri tahu tentang pemilik yang belanjakan antara $6,000 dengan $10,000 apabila kucingnya terpaksa ditahan untuk rawatan di klinik doktor haiwan kerana masalah kesihatan lebih serius.
Sebagai pencinta kucing, ini kos yang saya akur perlu saya ketepikan jika mahu menjadi pemilik yang bertanggungjawab.
Di tengah-tengah tekanan kos sara hidup yang meningkat, ada segelintir pihak yang mungkin bertanya sinis, apakah wajar berbelanja ribuan dolar semata-mata untuk haiwan peliharaan?
Mungkin lebih baik gunakan duit untuk derma kepada golongan memerlukan?
Atau biarkan saja kucing-kucing ini lalui kehidupan secara semula jadi, kalau sakit pun biarkan saja ikut kitaran hidup?
Bagi pencinta kucing, pilihan untuk menjaga kucing didorong rasa ihsan dan tanggungjawab bagi memastikan tiada kucing yang hidup terbiar di jalanan.
Kos penjagaan
Menurut laman portal Dollars & Sense, kos menjaga seekor kucing secara purata bernilai $2,530 bagi tahun pertama, merangkumi suntikan vaksin, pengembirian, serta pemasangan jaring keselamatan atau jeriji di rumah.
Jika kucing itu hidup sehingga usia 15 tahun, kos penjagaan asas sepanjang hayatnya boleh mencecah $32,000 – tidak termasuk rawatan kecemasan.
Tekanan kewangan ini bukan sahaja dirasai individu.
Baru-baru ini, sebuah kemudahan perlindungan haiwan, Animal Lovers League (ALL) kehilangan hak penyewaannya selepas sewa tertunggak selama lebih 50 bulan.
Sebahagian besar kos yang perlu ditanggung ialah kos perubatan haiwan di situ.
Rangka kerja baru
Dalam tempoh beberapa bulan lagi iaitu mulai 1 September 2026, landskap pemeliharaan kucing di Singapura akan berubah melalui rangka kerja baru oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) yang mewajibkan pelesenan dan mikrocip.
Antara syarat utamanya ialah mengehadkan bilangan kucing kediaman – maksimum dua kucing bagi setiap flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dan tiga ekor bagi kediaman privet.
Semua kucing juga wajib dilesen dan dipasang mikrocip sebelum 31 Ogos 2026.
Pemilik kucing tidak berlesen boleh didenda sehingga $5,000.
Ia usaha baik bagi memastikan hanya pemilik yang benar-benar bertanggungjawab dan mampu (pemasangan mikrocip perlukan belanja) layak menjaga haiwan peliharaan, selain mengelakkan isu kucing terabai kerana pemilik mempunyai terlalu banyak kucing di kediaman tetapi kurang berkemampuan.
Rangka baru ini bagaimanapun menyerlahkan jurang antara sikap ihsan dengan kemampuan.
Isu peningkatan kes pembuangan kucing (153 ekor pada 2024) menunjukkan bahawa ihsan sahaja tidak mencukupi, tanpa diiringi dengan kemampuan.
Ada pemilik yang mungkin kurang sedar mereka boleh terus menyimpan kucing melebihi had jika menyelamatkan atau memiliki kucing sebelum 1 September 2024, dan lantas membuang kucing mereka semula di jalanan.
Atau ada yang tidak mampu kos memasang mikrocip antara $50 dengan $90.
Walaupun Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA) menyediakan klinik masyarakat bagi golongan berpendapatan rendah, golongan pertengahan yang tidak layak mendapatkan sokongan sering kali tersepit di tengah-tengah.
Sehubungan ini, selain klinik doktor haiwan diharap boleh memainkan peranan lebih besar dengan memperkenalkan skim bayaran ansuran atau bekerjasama dengan badan kebajikan untuk menyokong pemilik “tegar” yang banyak membantu mengurangkan populasi kucing jalanan.
Strategi Hadapi Kos Melambung
Buat masa ini, terdapat lebih 100 klinik haiwan peliharaan di Singapura.
Walau bagaimanapun, kos penjagaan haiwan peliharaan dilaporkan meningkat antara 5 peratus dengan 10 peratus (2024–2025), jauh melampaui kadar inflasi teras negara sekitar 0.7% pada 2025.
Untuk memantau sektor ini, pembentukan Majlis Veterinar dan Rang Undang-Undang Amalan Veterinar dijangka bakal memberikan ketelusan dalam kos rawatan serta memantau salah laku profesional.
Di sudut lain, pasaran insurans haiwan peliharaan juga berkembang sebanyak 9.6 peratus pada 2025 dengan enam syarikat utama kini menawarkan produk itu.
Namun, insurans bukanlah “penyelamat” mutlak kerana premium tahunan antara $120 dengan $750 setahun, boleh dianggap tinggi jika seseorang itu mempunyai lebih daripada seekor kucing.
Perlindungan insurans juga terhad.
Kebanyakannya hanya menampung kemalangan atau pembedahan, bukan rawatan rutin (kecuali dengan bayaran tambahan atau ‘rider’).
Jika ‘rider’ ditambah, premium insurans boleh meningkat dua kali ganda setahun.
Pemilik kucing juga tetap dikenakan pembayaran bersama atau co-payment antara 20 peratus dengan 40 peratus daripada kos selepas mereka membuat pembayaran awal atau ‘deductibles’.
‘Deductibles’ ialah pembayaran yang perlu dilakukan sebelum kos selebihnya ditampung insurans.
Biasanya, pembayaran awal ini ialah antara $200 dengan $500.
Pensyarah kanan di Jabatan Kewangan di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional SIngapura (NUS), Dr Lee Yen Teik, pernah ditukil The Straits Times sebagai berkata:
“Hakikatnya, bil rawatan utama doktor haiwan bagi rawatan barah atau pembedahan rumit boleh mencapai ribuan dolar, atau lebih. Tidak seperti kesihatan kita sendiri, tiada MediSave atau subsidi pemerintah untuk haiwan peliharaan anda.”
Segala-galanya bergantung kepada poket pemilik sendiri.
Memandangkan kos perubatan veterinar terus meningkat, pemilik kucing seperti saya, perlu lebih strategik:
Perubatan Pencegahan: Kos vaksinasi dan pemeriksaan rutin sebenarnya jauh lebih murah daripada merawat kegagalan buah pinggang atau jangkitan kronik yang dikesan lewat.
Dana Kecemasan Sendiri: Jika premium insurans dirasakan tidak berbaloi kerana kekangan ‘deductibles’ dan ‘co-payment’, sesetengah pemilik memilih untuk menabung sendiri jumlah premium tersebut ke dalam akaun khas untuk kecemasan kucing.
Ketelusan Kos: Dengan adanya Majlis Veterinar dan Rang Undang-Undang Amalan Veterinar tidak lama lagi, pemilik mempunyai hak untuk meminta pecahan kos dan perancangan rawatan alternatif yang lebih mengikut bajet sebelum prosedur dilakukan.
Kesimpulan
Menjadi pemilik kucing di Singapura kini adalah satu komitmen kewangan jangka panjang yang serius.
Langkah pemerintah untuk melesenkan kucing adalah permulaan yang baik untuk akauntabiliti, namun masih ada jurang yang perlu diisi dari segi sokongan kos sistemik.
Sedang kita mahu membina masyarakat yang penyantun, keihsanan tanpa kemampuan kewangan sering berakhir dengan pengabaian.
Harapan saya adalah agar dengan adanya kawal selia baru kelak, ekosistem veterinar di Singapura akan menjadi lebih mampu milik dan telus, supaya tiada lagi pemilik terpaksa membiarkan kucing kesayangan menderita tanpa rawatan hanya kerana kurang wang dalam saku.


