Lebih 24,000 kucing peliharaan telah mendapatkan lesen dan dipasang mikrocip, sejak peraturan baru pemilikan kucing berkuat kuasa pada September 2024.
Daripada jumlah tersebut, 97 peratus daripadanya telah dikembiri.
Sekitar 24,000 pemilik kucing juga telah menyelesaikan kursus pemilikan haiwan peliharaan dalam talian, yang diwajibkan bagi pemohon lesen pemeliharaan kucing pertama kali.
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, memberi kemas kini itu semasa acara memasang mikrocip pada kucing di Sekolah Menengah Bukit Merah pada 8 Februari.
Encik Tan berkata bahawa keperluan pelesenan dan pemasangan mikrocip pada kucing peliharaan di bawah Rangka Kerja Pengurusan Kucing baru itu, telah mencapai “kemajuan yang sangat baik”.
Beliau menambah, salah satu tumpuan untuk 2025 adalah memberikan lebih banyak sokongan bagi pemilik menghantar kucing mereka untuk dimikrocip, lapor The Straits Times.
Semasa prosedur itu, mikrocip akan dimasukkan di bawah kulit haiwan, untuk penjejakan jika berlaku wabak penyakit.
Mengulas perkara itu, Encik Tan berkata:
“Tahun lepas (2024), kami telah menganjurkan 11 sesi untuk menyediakan perkhidmatan mikrocip percuma bagi kucing peliharaan. Kami telah memasang mikrocip pada lebih daripada 2,800 kucing.
“Dan tahun ini, kami telah menganjurkan 30 sesi lagi berikutan permintaan yang tinggi.”
Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) yang menyelaras rangka kerja baru itu mengumumkan bahawa kempen mikrocip akan diadakan di sekolah, kelab masyarakat, klinik veterinar, dan acara haiwan peliharaan di seluruh Singapura bagi memudahkan akses bagi pemilik kucing.
Di bawah rangka kerja baru itu, setiap flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hanya dibenarkan untuk memelihara dua kucing, dan setiap kediaman privet dibenarkan memelihara tiga kucing.
Semua kucing peliharaan juga perlu mendapatkan lesen, dan dipasang mikrocip sebelum 31 Ogos 2026.
Lesen akan ditawarkan secara percuma sewaktu tempoh peralihan itu. Ia kemudian akan berharga $15 bagi lesen tempoh setahun bagi setiap ekor kucing yang sudah dikembiri dan $90 setahun, bagi kucing tidak dikembiri.
AVS berkata pada Mei 2024 bahawa pemilik yang memelihara lebih banyak kucing dari jumlah yang dibenarkan boleh terus membelanya, jika ia didaftarkan dalam tempoh peralihan dua tahun itu.
Pemilik yang tidak memenuhi peraturan itu sebelum 1 September 2026 akan dikenakan denda sehingga $5,000.
Encik Tan berkata mereka telah mempergiat usaha untuk menyediakan pengembirian percuma bagi kucing di dalam isi rumah berpendapatan rendah.
“Kami melancarkan skim pengembirian kucing peliharaan tahun lepas untuk menyokong isi rumah berpendapatan rendah dalam usaha memasang mikrocip dan mengembiri kucing mereka.
“Kami telah menerima kira-kira 1,000 permohonan, dan 200 daripadanya telah diselesaikan,” katanya.
Skim AVS menawarkan pengembirian dan pemasangan mikrocip percuma untuk kucing peliharaan bagi mengelakkan pembiakan yang tidak diingini, terutamanya bagi isi rumah yang tidak mampu menanggung kos pengembirian.
Presiden Persatuan Kesejahteraan Kucing (CWS), Cik Thenuga Vijakumar, memuji kemajuan yang dicapai dalam pelesenan dan pemasangan mikrocip itu.
Namun, beliau menyerlahkan cabaran yang dihadapi oleh pemilik kucing daripada golongan berpendapatan rendah atau yang memiliki banyak kucing.
Ini kerana mereka mungkin menghadapi kesulitan dari segi pengangkutan, menjadikan mereka sukar untuk memanfaatkan perkhidmatan percuma tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg