SIRI LAPORAN ANTIDADAH Kerjasama antara Berita Harian/Minggu dengan Biro Narkotik Pusat (CNB)

Ingin sedarkan anak muda agar tidak terpedaya dengan kegiatan kongsi gelap, dadah

"AKU tak minta kau banyak, aku minta kau berhenti hisap dadah, berhenti jadi gangster, tu saja permintaan aku."

Demikian kata-kata yang dikeluarkan ayah Encik Mohamad Rizal Mohamed Amin suatu ketika dahulu apabila anaknya sekali lagi ditangkap dan dimasukkan penjara.

Pun begitu, Encik Rizal masih "sayangkan kawan" dan memilih terus terjebak dalam dunia gelapnya.

"Saya pilih jalan itu sebab nak jaga air muka. Saya pentingkan diri sendiri, tak nak dengar cakap orang tua.

"Berjanji, bersumpah nak berubah tapi cuma nak sedapkan hati saja," katanya, menceritakan pengalaman pahit yang pernah dilaluinya.

Terperangkap dalam apa yang disifatkannya sendiri sebagai "dunia fantasi" dadah dan samseng sejak berusia 14 tahun, Encik Rizal, kini 34 tahun, menghabiskan zaman mudanya meringkuk di penjara.

Beliau sudah keluar masuk penjara sebanyak lima kali atas pelbagai kesalahan termasuk dadah, rompakan dan peras ugut serta pecah masuk rumah.

Namun, yang paling teruk merupakan hukuman penjara 10 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan pembunuhan yang berlaku ketika pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap yang disertainya dengan kumpulan lawan pada 2006.

Sehingga hari ini, kejadian tersebut yang merupakan pencetus kesedaran dalam dirinya terus menghantui Encik Rizal.

Dengan penuh kekesalan beliau memberitahu Berita Minggu:

"Terus terang yang saya kesal hingga hari ini dan telah saya simpan selama ini tapi malu nak cakap ialah saya betul-betul menyesal apabila dapat tahu arwahnya ketika meninggal mempunyai anak perempuan berusia dua tahun dan hari-hari dia mencari bapanya.

"Saya rasa kesal. Saya tak patut buat perkara itu sebab saya mengalami sendiri mak bapak saya kehilangan anak mereka, abang saya, ketika saya dalam penjara dahulu.

"Jadi saya selalu teringat diri arwah, macam mana (perasaan) anaknya."

Beliau juga berkongsi bahawa ketika dijatuhkan hukuman, beliau meminta maaf kepada keluarga mangsa tetapi ditolak dan tidak diterima.

"Saya tak tahu macam mana saya nak minta maaf, boleh tak mereka terima?

"Dosa saya dengan Tuhan, insya-Allah Allah ampunkan, tapi dosa saya dengan manusia, saya tak tahu mereka boleh maafkan atau tidak," ujar Encik Rizal, penuh kesal.

Kesebalannya itulah yang menjadi antara sebab beliau membuat keputusan akhirnya berhenti daripada terus-menurus hidup dalam kepincangan.

Beliau sudah puas mencuba pelbagai dadah yang mula dijamahnya ketika remaja lagi dan telah angkat kaki daripada segala kegiatan kongsi gelap.

Sudah puas melihat kawan-kawan yang "tak terkira jumlahnya" yang kehilangan nyawa akibat pengambilan dadah berlebihan serta tumpah darah dek pergaduhan antara kumpulan samseng, katanya.

"Ini semua (dadah dan samseng) dunia fantasi. Tak ada istilah 'brother', mati sama, jatuh sama, berdiri sama, tak ada.

"Apabila kita senang semua akan keliling kita tapi apabila saya jatuh, apabila saya masuk hospital, masuk penjara, hanya keluarga sahaja yang ada dengan saya," kata Encik Rizal, yang kini sudah sekitar lima tahun dibebaskan.

Kini, beliau bukan setakat bertekad meninggalkan kehidupan lamanya itu, malah mahu memastikan anak muda lain tidak menjejakkan kaki pun ke dalam dunia gelap tersebut.

"Apabila saya tengok anak-anak muda dalam dunia kongsi gelap, saya nampak diri saya. Saya tak nak mereka membazirkan zaman remaja mereka macam tu," katanya.

Oleh yang demikian, beliau tidak keberatan apabila diminta berkongsi pengalaman yang pernah dilaluinya itu dengan golongan belia.

Bahkan, Encik Rizal amat berbesar hati diberi peluang oleh pengasas STAR Asia Alliance, Encik Dazry Eusoff, menyertai pertubuhan tersebut sebagai Duta Belia tanpa menghiraukan latar belakangnya itu.

STAR Asia Alliance merupakan pertubuhan menyediakan program latihan, terjemahan pelbagai bahasa dan perkhidmatan pengurusan acara yang ditubuhkan Encik Dazry.

Selain itu, Encik Rizal juga mendapat sokongan daripada pengasas hab pemulihan ketagihan, Ministry of Recovery, Cik Noorlela Abdullah, yang memberinya kesempatan mendekati dan menasihati belia berisiko lain.

Sejauh ini, beliau sudah pun memberi ceramah dan berkongsi pengalamannya dengan anak-anak muda di Jamiyah, Jalan Kukoh dan penuntut Universiti Nasional Singapura (NUS), serta di sebuah rumah peralihan di Malaysia.

"Saya ingin menyebarkan kesedaran kepada anak-anak muda sekarang agar tidak terpedaya dengan kegiatan kongsi gelap dan dadah.

"Saya harap saya dapat capai impian saya membantu dan menyelamatkan anak-anak remaja sekarang daripada dunia fantasi ini," ujarnya.


"Apabila saya tengok anak-anak muda dalam dunia kongsi gelap, saya nampak diri saya. Saya tak nak mereka membazirkan zaman remaja mereka macam tu." "Saya ingin menyebarkan kesedaran kepada anak-anak muda sekarang agar tidak terpedaya dengan kegiatan kongsi gelap dan dadah. Saya harap saya dapat capai impian saya membantu dan menyelamatkan anak-anak remaja sekarang daripada dunia fantasi ini."
- Encik Mohamad Rizal Mohamed Amin.