Baru-baru ini, saya dan rakan-rakan mencuba nasib di TikTok ‘Live’ sekadar untuk bersuka ria dan berkenalan dengan rakan baru dalam talian.

Namun, keterujaan itu bertukar menjadi rasa tidak selesa apabila sesetengah penonton mula melampaui batas menilai penampilan fizikal kami, malah melemparkan komen berunsur gangguan seksual.

Sebagai seorang wartawan media sosial, situasi sebegini sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing.

Apabila mengendalikan siaran secara langsung atas tugas rasmi bagi menyampaikan berita atau liputan khas, komen-komen aneh dan tidak wajar tetap akan singgah di ruangan sembang.

Ada yang menganggap ia sekadar risiko pekerjaan atau harga yang perlu dibayar apabila berdepan dengan khalayak ramai.

Namun, timbul persoalan: Sampai bila kita harus membiasakan gangguan sebegini atas nama risiko?

Rasa tidak selesa ini rupa-rupanya bukanlah pengalaman peribadi saya atau rakan dalam bidang yang sama sahaja, sebaliknya ia mencerminkan penyakit sosial yang semakin membarah di ruang digital.

Lihat sahaja kes yang menimpa syarikat agensi pelancongan AK Tours and Travels.

Satu sesi siaran langsung yang bertujuan mempromosikan pakej umrah bertukar menjadi medan gangguan seksual terhadap kakitangan wanitanya.

Pengarah Urusannya, Ustaz Muhammad Aiman Abdul Khalid, mengambil keputusan tegas menghentikan sementara semua sesi ‘live’.

Langkah ini wajar dipuji kerana beliau meletakkan maruah dan kesejahteraan emosi pekerja di atas keuntungan perniagaan.

Namun, timbul persoalan tentang sejauh mana peranan agensi perlindungan seperti Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) dalam isu ini.

Penubuhan OSC tahun ini (2026) sememangnya satu langkah ke hadapan yang amat dialu-alukan dalam usaha memelihara keselamatan alam maya kita.

Namun, sebagai sebuah entiti baharu, masih terdapat ruang untuk ia terus berkembang dan diperkemaskan pada masa hadapan.

Dalam kes AK Tours and Travels, apabila laporan dibuat, OSC memaklumkan bahawa tindakan tidak dapat diambil kerana sesi siaran langsung tersebut telah tamat dan kandungannya tidak lagi tersedia dalam talian.

Dasar ini mendedahkan jurang yang nyata dalam ekosistem keselamatan digital semasa.

Kandungan siaran langsung bersifat sementara, tetapi kesan trauma dan gangguan mental kepada mangsa pula adalah kekal.

Jika platform media sosial dan agensi penguat kuasa hanya bergantung kepada kandungan kekal untuk mengambil tindakan, pelakon tegar gangguan dalam ‘live stream’ mungkin terus terlepas.

Di sinilah OSC mempunyai potensi besar untuk terus berkembang, terutamanya dengan mewujudkan mekanisme laporan secara ‘real-time’ atau rekod automatik bagi menyekat akaun pemangsa dengan lebih berkesan.

Isu dalam talian ini bukan sekadar bab gangguan seksual, malah menyentuh tentang kemerosotan adab serta kepupusan empati manusia.

Ketiadaan adab ini terserlah dalam satu kejadian di Ang Mo Kio Avenue 6 baru-baru ini, di mana seorang lelaki berusia 57 tahun yang mengalami krisis kesihatan mental berdiri di birai tingkat 12 sebuah blok HDB.

Ketika Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan polis bertungkus lumus menyelamatkannya, sesetengah ahli masyarakat memulakan siaran langsung TikTok dan menonton detik cemas itu sebagai bentuk hiburan.

Lebih menyedihkan, ruangan komen dipenuhi dengan desakan melampau seperti “terjun”, “dia sengaja buang masa”, dan gelak tawa tanpa sedikit pun rasa kemanusiaan.

Apakah penderitaan dan detik tergelap dalam kehidupan seseorang kini hanya dianggap sebagai bahan untuk mendapatkan ‘views’, ‘likes’ dan hiburan murahan?

Realitinya, ruang digital adalah cerminan adab kita di dunia sebenar.

Sementara menunggu undang-undang diperkemaskan, langkah pertama bermula daripada kawalan kendiri.

Bagi sesiapa yang gemar melakukan siaran langsung sama ada untuk peribadi mahupun kerjaya, melantik rakan terdekat yang dipercayai sebagai moderator adalah satu keperluan penting bagi menyekat atau senyapkan akaun toksik.

Paling utama, kita perlu mengembalikan adab dan rasa empati dengan sentiasa mengingati bahawa di sebalik setiap akaun atau sudut layar telefon, ada manusia yang mempunyai perasaan, maruah, dan ahli keluarga.

Internet dan media sosial adalah alat yang hebat, tetapi tanpa adab dan kepekaan sosial, ia dengan mudah menjadi senjata yang merosakkan jiwa dan masyarakat.

Sebelum menaip sebarang komen atau menekan butang ‘live’, tanyakan pada diri sendiri: Apakah ini mencerminkan keperibadian dan nilai kemanusiaan saya yang sebenar?

“

“Paling utama, kita perlu mengembalikan adab dan rasa empati dengan sentiasa mengingati bahawa di sebalik setiap akaun atau sudut layar telefon, ada manusia yang mempunyai perasaan, maruah, dan ahli keluarga. Internet dan media sosial adalah alat yang hebat, tetapi tanpa adab dan kepekaan sosial, ia dengan mudah menjadi senjata yang merosakkan jiwa dan masyarakat.”
Penulis.