Isu dan trend pencorak 2019

BERIKUT secara ringkas beberapa isu dan trend sosial, teknologi, ekonomi, ekologi dan politik yang diramal meninggalkan kesan pada tahun baru 2019 dan seterusnya:

Ekonomi perlahan

Pejabat Bajet Kongres Amerika Syarikat meramalkan pertumbuhan hasil keluaran dalam negeri kasar (GDP) ekonomi terbesar di dunia itu menjadi perlahan kepada 2.4 peratus pada 2019, turun daripada 3.1 tahun lalu. Ini bermakna syarikat dijangka mengurangkan perbelanjaan dan pelaburan, sekali gus menjejas ekonomi dunia.

China - ekonomi kedua terbesar di dunia - juga dijangka menghadapi pertumbuhan lebih perlahan tahun ini kepada 6.3 peratus, daripada ramalan 6.6 peratus bagi 2018. Ini disebabkan cabaran berkaitan pembaharuan perdagangan dan struktur, dengan China berdepan tekanan kian meningkat dek perang perdagangan dengan Amerika.

Pertumbuhan global tidak bersemangat

Ekonomi global diramal tumbuh 3.1 tahun ini, dengan pertumbuhan hasil keluaran nasional kasar (GNP) menjadi perlahan dalam pasaran utama seperti Eropah dan Jepun. Walaupun tahun lalu menyaksikan pertumbuhan gaji di kebanyakan ekonomi maju, kehilangan pekerjaan dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini.

Perang perdagangan Amerika- China boleh menghilangkan 0.4 hingga 0.5 peratus pertumbuhan global pada 2019-20.

Hubungan AS-China kekal tegang

Tahun lalu menyaksikan perang perdagangan antara Amerika dan China, dengan dua negara itu mengenakan tarif ke atas satu sama lain. Presiden Trump dan Presiden Xi Jinping Disember lalu bersetuju menangguhkan tarif selanjutnya bersetuju Tarif selanjutnya hingga Mac ini, sementara menunggu rundingan seterusnya.

Dunia sedang menyaksikan dengan berdebar-debar apakah 'gencatan perdagangan' itu akan berhasil atau tarif akan menjadi dasar perdagangan jangka panjang Amerika, yang akan menjejas perdagangan, pelaburan dan pasaran kewangan di seluruh dunia.

Perbezaan antara Amerika dan China berakar dalam pergeseran geopolitik, ekonomi, keselamatan dan teknologi. Sekalipun pertikaian perdagangan ditangani pada 2019, persaingan dasar antara China dan Amerika dijangka berterusan dan negara lain akan mencari keseimbangan dalam hubungan mereka dengan dua kuasa dunia itu.

5G Teknologi Tahun Ini

Walaupun kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) mendapat perhatian, teknologi telekomunikasi telefon bergerak generasi kelima, atau 5G, mungkin menjadi teknologi terbaik 2019. Ia boleh meningkatkan kelajuan pemprosesan lebih 10 kali ganda daripada kelajuan 4G, dan mungkin membolehkan pembedahan jarak jauh dan penggunaan dron dalam penghantaran makanan oleh Uber.

5G sangat penting hingga China, Korea Selatan dan Amerika sedang berlumba untuk menjadi negara pertama memasarkannya. Walaupun belum ada syarikat pengendali rangkaian dan telefon melancarkan peranti 5G setakat ini, semua empat pembekal rangkaian terbesar Amerika - Verizon, AT & T, T-Mobile, dan Sprint - telah berjanji akan menjadikan 5G satu realiti tahun ini.

Samsung, LG dan pembuat telefon China pula telah mengumumkan pelancaran telefon bimbit dan peranti bijak lain yang mempunyai keupayaan 5G.

Syarikat media sosial tradisional sedang bergelut

Tahun ini dijangka menyaksikan kemerosotan syarikat rangkaian sosial seperti Facebook, kerana firma yang fokus pada pertumbuhan melalui media sosial dijangka mengalihkan perbelanjaan mereka ke platform baru seperti Vero, Musical.ly dan Steemit.

E-Perdagangan berkembang

E-perdagangan, atau perdagangan dalam talian, dijangka berkembang 20 peratus tahun ini. Semakin banyak jenama, termasuk jenama tradisional, sedang menimbangkan kaedah itu sebagai saluran yang mereka tidak harus abaikan.

Trend e-perdagangan 2019 ialah ke arah penghantaran lebih pantas dan pembungkusan mesra alam, menggunakan bahan kitar semula dan selamat bagi manusia dan alam sekitar. Malah, e-perdagangan langganan - menghasilkan barangan menurut kehendak pengguna dan menghantarnya secara tetap - dijangka meningkat di beberapa negara.

Ekonomi digital berkembang

Tahun lalu menyaksikan banyak perbincangan mengenai kesan model perniagaan platform digital dan istilah seperti uberisation (penggunaan platform komputer, seperti aplikasi mudah alih, bagi memudahkan transaksi antara pelanggan dan penyedia perkhidmatan, tanpa memerlukan syarikat sebagai orang tengah), mula menjadi sebahagian daripada bahasa harian. Ia sempena syarikat sewa kereta privet Uber.

Tahun ini, fenomena itu akan lebih kukuh dan diluaskan dan kepentingan syarikat digital - termasuk platform - dalam ekonomi global akan terus berkembang. Dengan pertumbuhan itu, tanggapan akan berubah - syarikat platform tidak lagi dilihat sebagai inisiatif mesra yang dilancarkan usahawan muda, sebaliknya sebagai realiti luar biasa yang dapat mengganggu dan mengetepikan syarikat tradisional dan mengubah kebiasaan dalam pasaran buruh.

Di negara maju, di mana perkhidmatan bermutu tinggi dan perlindungan sosial dan buruh sudah tersedia, fenomena ekonomi platform akan dicuragai, tetapi di banyak negara membangun, dan terutamanya di negara yang perkhidmatannya lemah dan hak buruh atau pengguna tidak terpelihari, ia akan dilihat sebagai peluang yang mempunyai kesan positif bagi kehidupan harian, sebagai sumber inspirasi bagi membina budaya keusahawanan dan sebagai formula bagi mengetepikan syarikat dan orang tengah.

Pengilang Amerika pindahkan pengeluaran ke tempat lain

Banyak pengilang Amerika semakin bimbang mengenai ketidakstabilan mata wang China, serangan siber dan kegagalan melindungi hak harta intelek di negara itu. Ditambah dengan ancaman tarif, banyak daripada mereka sedang menimbangkan pilihan tempat lain, termasuk India, Thailand dan Malaysia, bagi perniagaan mereka.

Perjanjian perdagangan baru Amerika-Mexico-Canada pula merangsang prospek syarikat Amerika memanfaatkan kos buruh yang lebih dekat dan rendah di Mexico.

Eropah kucar-kacir

Dengan pemimpin Eropah, termasuk Dr Angela Merkel bagi Jerman dan Cik Theresa May dari Britain, kehilangan sokongan serta krisis belanjawan Italy dan Brexit (Britain meninggalkan Kesatuan Eropah), teras politik Eropah semakin terurai.

Jika Brexit berlaku, ia akan mencetuskan ketidakstabilan di Eropah kerana selama ini sistem kewangan Britain merupakan pusat perdagangan yang boleh dipercayai. Britain akan paling terjejas oleh ketidaktentuan akibat Brexit, tetapi kesannya akan tersebar ke tempat-tempat lain di mana hubungan ekonomi dan manusia dengan Britain paling kuat: Jerman, Belanda, Sepanyol dan Ireland.

Harga minyak stabil

Pasaran lemah, jatuh lebih sepertiga pada suku keempat tahun lalu selepas Amerika menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran, tetapi harga minyak harus kembali normal dan lebih mantap pada 2019.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (Opec) dan pengeluar minyak besar lain yang diketuai Russia bersetuju pada awal bulan lalu mengurangkan pengeluaran minyak mentah mereka sebanyak 1.2 juta tong sehari mulai bulan ini bagi membendung kejatuhan harga minyak.

Bencana dan krisis kemanusiaan

Perubahan iklim dijangka membawa bencana daripada kenaikan paras laut hingga kemarau dan cuaca tidak menentu.

Agensi meteorologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan ada peluang 75-80 peratus peristiwa El Niño lemah berlaku pada Februari, yang bersama perubahan iklim jangka panjang boleh menggangu corak hujan dan suhu yang sudah pun tidak menentu di seluruh dunia. Ia pengganda ancaman yang boleh menjejas keselamatan makanan, memburukkan keadaan darurat sedia ada dan menyukarkan usaha bantuan kemanusiaan.

Kekacauan di Syria belum berakhir walaupun kemenangan Presiden Bashar Al-Assad semakin dianggap sebagai sesuatu yang pasti dan harus diterima. Banyak kawasan negara itu masih dikuasai pemberontak dan sedang direbut oleh pelbagai pihak, bermakna pertempuran belum tamat, mentelah Amerika telah mengumumkan ia akan mengundurkan askarnya adari Syria. Usaha menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria yang terusir terus sukar.

Pihak bertelaga di Yaman sudah mula duduk berunding akhir tahun lalu, namun perang saudara di negara itu belum tamat. Sekalipun perang dapat dihentikan, negara itu boleh dilanda konflik setempat yang tidak membawa kelegaan kepada 24 juta rakyatnya yang menurut PBB memerlukan bantuan makanan, air bersih dan tempat berlindung.

Keselamatan siber

Serangan siber, termasuk penggodaman, pencabulan dan pembocoran data dijangka berterusan tahun ini, apatah lagi sekarang data boleh membawa kepada peluang perniagaan besar dan penerobosan saintifik dan perubatan. Malah, ada pakar meramalkan perang siber peringkat rendah antara pemain berkuasa dunia - Amerika, China dan Russia.

Penggodam pula sekarang membangunkan serangan lebih canggih. Namun, pemerintah dan syarikat sekarang sedar ancaman yang mereka alami dan semakin mendapatkan cara baru bagi melindungi diri mereka. - Agensi.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:52
Syuruk
7:08
Zuhur
1:13
Asar
4:12
Maghrib
7:15
Isyak
8:24
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.