ITE besar potensinya, ijazah ada tujuannya

Ong Ye Kung mengenai pendidikan untuk kemajuan kerjaya

SEMASA mengambil bahagian dalam satu cabaran mesra menguji kemahiran membuat minuman moktail, Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) Ong Ye Kung dikalahkan oleh seorang pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Itu bukan pertama kali seorang pelajar ITE berjaya 'mengatasi' seorang menteri, bahkan dalam beberapa cabaran lain sebelum itu, Encik Ong turut ditewaskan oleh pelajar ITE yang terlatih dalam kemahiran masing-masing.

"Saya mahu mencabar pelajar yang terlatih dalam bidang masing-masing. Saya mahu tunjukkan bahawa mereka boleh mengatasi saya dengan mudah.

"Saya mahu tunjukkan kepada mereka jika mereka gemar sesuatu bidang dan jika mereka diberi latihan dalam bidang itu mereka berupaya melakukan tugas yang lebih baik.

"Tidak kira latar belakang anda, kelayakan anda, jika anda gemar sesuatu dan berlatih dengan gigih anda boleh melakukannya," kata Menteri berusia 47 tahun itu ketika ditanya mengapa beliau mengadakan cabaran mesra menguji kemahiran dengan pelajar ITE itu.

Respons beliau, dalam wawancara eksklusif dengan Berita Minggu baru-baru ini, sekali gus menggariskan hala tuju pemerintah dalam pendidikan watan - menawarkan lebih banyak laluan pendidikan bagi rakyat mempelajari sesuatu yang mereka gemari, di samping memastikan kemahiran yang diraih itu relevan bagi ekonomi masa kini dan masa depan.

Sejak dilantik Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran), beliau bersama pasukannya mempergiat usaha mendekati pelajar di institusi pendidikan tinggi, mendengar keprihatinan mereka serta memberi bimbingan dan motivasi kepada golongan itu.

Sebagai persiapan bagi wawancara ini, wartawan juga diundang memerhatikan interaksi beliau bersama pelajar ITE dalam rangka satu kunjungan ke ITE Kolej Barat di Chua Chu Kang.

Di acara tersebut beliau jelas kelihatan selesa mendorong, membimbing dan memberi motivasi kepada pelajar tersebut dengan menggunakan contoh yang mudah difahami seperti menggunakan analogi daripada filem Star Wars, yang turut mencuit hati pelajar.

Ditanya tentang keprihatinan pelajar khususnya yang mahu memasuki alam kerjaya, Encik Ong akur ramai pelajar bimbang akan ekonomi dunia yang tidak menentu, yang boleh menjejas peluang mereka mencari pekerjaan.

Namun beliau mengesyorkan bahawa setiap negara mempunyai daya tarikannya yang unik.

"Alibaba (firma gergasi beli-belah online) mempunyai rancangan besar di Malaysia.

"Mereka menubuhkan sebuah hab pengedaran besar di sana kerana ada kawasan tanah yang besar di sana, sesuatu yang kita mungkin tidak dapat tawarkan.

"Namun khidmat awangan global Alibaba dijalankan di Singapura. Alibaba juga melabur 83 peratus dalam firma beli-belah online Lazada.

"Lazada, sebuah firma tempatan dianggap sebagai wadah pertumbuhan Alibaba di rantau ini.

"Oleh itu tidak kira Malaysia, Indonesia, Singapura atau Vietnam, kita masing-masing menarik pelaburan yang berbeza. Dan jika kita bekerja bersama-sama kita akan menjadi lebih kuat," kata beliau.

Bahkan, tahun ini Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) diramal dapat menarik antara $8 bilion dengan $10 bilion pelaburan aset tetap, yang akan menyediakan antara 19,000 dengan 21,000 pekerjaan baru.

Encik Ong juga yakin akan tarikan pelajar ITE kepada majikan.

Memberikan contoh beliau berkata hampir 90 peratus pelajar ITE berjaya mendapatkan pekerjaan dalam masa enam bulan selepas tamat pengajian di ITE.

"Data terkini daya kerja pelajar ITE amat memberangsangkan, hampir 90 peratus lulusan ITE berjaya mendapatkan pekerjaan dalam masa enam bulan selepas tamat pengajian," katanya.

Buat kali pertama, purata gaji permulaan bagi lulusan ITE (yang telah menjalani perkhidmatan negara) juga mencecah $2,000 sebulan.

"Hipotesis kuat menunjukkan majikan menghargai kemahiran," kata beliau.

Setiap tahun hampir 15 peratus lulusan ITE yang memasuki politeknik muncul dalam kuartil teratas dalam kalangan graduan politeknik berdasarkan GPA.

Encik Ong turut menukil pelajar contoh ITE, Cik Zahirah Zainol, 19 tahun, yang telah mempamerkan keupayaan cemerlang dalam bidang hospitaliti.

Sepanjang wawancara beliau kelihatan yakin dan selesa menukil perangkaan dan fakta yang segalanya ada 'dalam tangannya'.

Biar beliau yakin dengan daya kerja golongan pelajar, Encik Ong melahirkan kebimbangan bagi golongan yang lebih berusia - ramai menghadapi risiko kemahiran mereka menjadi lapuk.

"Betapa baik sistem pendidikan kita, selepas beberapa dekad bekerja, bahkan tidak sampai beberapa dekad, kita dapati kita terpaksa mempertingkat kemahiran kita - kemahiran lapuk akan menjadi ancaman utama bagi kita," ujar beliau.

Justeru kunci menangani ancaman itu adalah mempertajam dan mendalami kemahiran menerusi usaha pembelajaran berterusan.

Bagi membantu warga, gerakan nasional SkillsFuture menawarkan ribuan kursus bersubsidi demi menggalak peningkatan kemahiran.

Warga Singapura berusia 25 tahun dan ke atas juga diberi kredit SkillsFuture bernilai $500 bagi mempermudah mereka menyertai kursus yang diiktiraf.

Institusi seperti ITE, politeknik dan universiti sedang membangunkan program pembelajaran sepanjang hayat.

"Salah satu tunggak misi institusi kita kini ialah menggalak pembelajaran sepanjang hayat.

"Dalam beberapa tahun mendatang kita boleh lihat pertumbuhan pesat dalam bidang ini," katanya.

Encik Ong juga mendedahkan dalam usaha peribadinya belajar sepanjang hayat beliau kini sedang mempelajari bahasa Melayu.

Namun beliau akur perjalanan pembelajarannya bukan mudah memandangkan beliau sering sibuk dengan tugas harian.

Semasa wawancara, beliau juga ditanya tentang adanya persepsi bahawa nilai ijazah sudah merosot memandangkan terdapat lebih banyak peluang bagi pelajar mendapatkan ijazah.

Memberikan respons beliau berkata perangkaan menunjukkan sekitar 90 peratus pemegang ijazah berjaya dapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

"Justeru saya tidak sifatkan bahawa ijazah tidak lagi membawa faedah.

"Cara Singapura melakukannya, ijazah masih berfaedah. Itulah sebabnya ramai mahukan ijazah."

Beliau menjelaskan Singapura mempunyai sistem pendidikan universiti yang dibiayai pemerintah.

"Dalam sistem (pendidikan universiti) yang dibiayai pemerintah, kami bangunkan kursus yang relevan kepada ekonomi.

"Apa yang baik bagi kita adalah sistem pendidikan kita saling melengkapi ekonomi kita.

"Pendidikan menyediakan tenaga kerja dan bakat, yang seterusnya menumbuhkan dan mempelbagaikan ekonomi kita, kita mempunyai lebih banyak pilihan dan dengan itu kita berupaya menawarkan pilihan yang lebih luas bagi pelajar kita.

"Kini ekonomi yang semakin pelbagai, menawarkan pelbagai laluan kerjaya begitu juga sistem pendidikan kita," ujar Encik Ong.


Mengenai ITE

"Data terkini tentang daya kerja pelajar ITE amat memberangsangkan hampir 90 peratus lulusan ITE berjaya mendapatkan pekerjaan dalam masa enam bulan selepas tamat pengajian. Purata gaji permulaan bagi lulusan ITE juga mencecah $2,000 sebulan. Hipotesis kuat menunjukkan majikan menghargai kemahiran (lulusan ITE)."

Mengenai nilai ijazah

"Data kami menunjukkan 90 peratus pemegang ijazah berjaya dapat pekerjaan selepas tamat pengajian justeru saya tidak sifatkan bahawa ijazah tidak lagi membawa faedah... Dalam sistem (pendidikan universiti) yang dibiayai pemerintah, kami bangunkan kursus yang relevan kepada ekonomi. Apa yang baik bagi kita adalah sistem pendidikan kita saling melengkapi ekonomi kita."
- Encik Ong Ye Kung,
Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran)


BIODATA

ENCIK ONG YE KUNG

Usia: 47 tahun

Keluarga: Sudah berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan

Pendidikan: Ijazah Kepujian Kelas Pertama, London School of Economics and Political Science (UK) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan Institute of Management Development, Lausanne, Switzerland

September 2015: Dipilih Anggota Parlimen GRC Sembawang dalam pilihan raya umum

Oktober 2015: Dilantik Pemangku Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) merangkap Menteri Negara Kanan Pertahanan

November 2016: Dilantik Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) merangkap Menteri Kedua Pertahanan

Sebelum memasuki politik:

  • Pengarah Strategi Kumpulan Keppel Corporat

Pernah memegang pelbagai jawatan pemerintah seperti:

  • Ketua Eksekutif Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA),
  • Setiausaha Sulit Utama (PPS) kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong
  • Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Lee

Mengenali Ong Ye Kung

ENCIK Ong Ye Kung menyertai politik setelah beliau disertakan dalam Pilihan Raya Umum 2015 dalam pasukan GRC Sembawang.

Sebelum itu percubaannya menyertai politik tidak berhasil apabila pasukannya tewas dalam Pilihan Raya 2011 bagi GRC Aljunied.

Pada Oktober 2015 Encik Ong dilantik Pemangku Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) merangkap Menteri Negara Kanan Pertahanan dan sekitar setahun kemudian beliau dilantik menteri penuh.

Diminta mengulas tentang politik, Encik Ong, yang dikenal pasti Perdana Menteri Lee Hsien Loong sebagai antara barisan pemimpin generasi keempat, menyifatkan kerjayanya dalam politik sebagai pengalaman yang "amat menarik".

"Setiap hari anda berpeluang berbual dengan seseorang yang baru.

"Sama dengan kehidupan, ada perkara yang anda suka dan ada juga perkara yang anda tidak suka, tetapi anda terus melakukannya kerana didorong oleh apa yang anda suka.

"Bagi saya berkhidmat kepada awam, berupaya memikirkan tentang dasar, tentang Singapura dan menjadikan perkara lebih baik bagi manfaat lebih ramai penduduk, itulah yang mendorong saya meneruskannya," ujar ayah dua anak remaja itu.

Mengenai soal kepimpinan, Encik Ong juga diminta mengulas tentang percakapan yang menyebut beliau sebagai perdana menteri akan datang.

Sebaik mendengar soalan itu beliau dengan pantas bertanya: "Siapa yang cakap?"

Namun tidak lama kemudian dengan nada serius beliau berkata:

"Sekarang bukan masa bagi kami memilih pemimpin kami yang seterusnya tetapi kami di peringkat bekerjasama.

Beliau menerangkan:

"Politik parti kami berbeza daripada politik parti lain yang mempunyai puak-puak yang bersaing dan setiap puak mempunyai pemimpin dengan keinginan peribadi masing-masing.

"Sebaliknya bagi kami, terdapat keinginan kolektif supaya Singapura terus maju.

"Itulah etosnya dan pada masa kami dibawa masuk, kami dapat rasakannya, kami lihat itulah cara pemimpin mapan kami melaksanakannya.

"Ini telah dipupuk dalam semua (pemimpin) generasi keempat dan di masa akan datang dalam generasi kelima, keenam dan ketujuh."

Beliau menambah buat masa ini adalah tahap di mana pemimpin generasi keempat saling mengenali satu sama lain.

"Apabila prosesnya tiba di sesuatu tahap kelak saya rasa seorang pemimpin akan muncul.

"Saya akan menyokong sesiapa beliau," ujar Encik Ong.

Biarpun sibuk dengan tugas di Kementerian Pendidikan dan Pertahanan serta tugas sebagai Anggota Parlimen GRC Sembawang, Encik Ong bertekad meluangkan masa sekurang-kurang seminggu sekali mempelajari bahasa Melayu.

Ia sebahagian daripada usaha peribadinya dalam pembelajaran sepanjang hayat.

Berkongsi cabarannya mempelajari bahasa Melayu Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) itu berkata: "Sejak semakin berusia, saya terkial-kial sedikit, keupayaan menyerap pengetahuan agak lebih perlahan.

"Saya mulakan beberapa tahun lalu tetapi tidak konsisten namun kerana tahu MOE mempunyai ramai guru Melayu, saya mencari seorang cikgu dan mula belajar semula.

"Namun usaha mencari jadual agak sukar justeru saya cuba lakukannya seminggu sekali, tetapi akhirnya sering kali saya hanya dapat lakukan dua minggu sekali."

Beliau berkata antara cabarannya ialah menambah kosa kata.

"Oleh kerana anda semakin tua, keupayaan anda mengingati kosa kata semakin berkurangan," ujar beliau.

Wawancara sejam itu tidak kesemuanya tertumpu kepada topik serius.

Encik Ong juga sempat berkongsi minatnya pada pasukan bola sepak Manchester United, yang beliau minati sejak usia sembilan tahun.

"Bukan wang yang membuat peminat datang kepada anda tetapi keinginan dan semangat mahu menang," kata beliau mengenai apa yang membuat Manchester United sebuah pasukan yang hebat.


ADA IJAZAH TETAPI SUKAR DAPAT PEKERJAAN?

Ikuti bahagian kedua wawancara eksklusif bersama Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) Ong Ye Kung. Esok di Berita Harian.


Saksikan sedutan wawancara eksklusif Berita Minggu bersama Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) Ong Ye Kung. Lungsuri beritaharian.sg atau kunjungi Facebook Berita Harian SG