Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Wacana

SINAR SYAWAL: MENGIKTIRAF PENGORBANAN PEKERJA BARISAN DEPAN KITA

Jururawat sibuk di wad, laksana tanggungjawab pada 1 Syawal

May 24, 2020 | 05:30 AM

Masyarakat Islam Singapura menyambut Syawal dalam keadaan yang cukup berbeza dan luar biasa tahun ini, dengan masyarakat tidak dapat saling berkunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat-handai seperti tahun-tahun lalu. Pengorbanan ini juga merupakan sumbangan masyarakat kepada usaha memerangi Covid-19 di peringkat nasional, satu usaha yang disertai pegawai di barisan hadapan sejak Januari. Sempena 1 Syawal yang jatuh pada hari ini, Berita Minggu memberi penghormatan kepada kumpulan ini yang terus berjuang dan gigih berbakti dalam apa jua keadaan menghadapi krisis ini.


SEDANG masyarakat Melayu/Islam duduk di rumah sambil menikmati ketupat rendang di pagi Hari Raya bersama keluarga, jururawat kanan di Jabatan Kecemasan Hospital Besar Sengkang, Encik Muhammad Afiq Punangin, sebaliknya sedang sibuk bertugas demi memastikan pesakit di bawah pemantauannya dalam keadaan baik dan tidak kritikal.

Pengorbanan beliau bukan sesuatu yang disesali bujang berusia 27 tahun ini. Malah tahun ini juga bukan kali pertama beliau perlu bekerja pada Hari Raya pertama.

Encik Afiq menyifatkan pengorbanan itu sebagai satu 'panggilan' untuk berkhidmat membantu mereka yang sakit serta memastikan segala keperluan mereka dapat dipenuhi, melebihi daripada keperluannya sendiri.

Beliau masih teringat lagi tahun lalu, iaitu pada Syawal pertama beliau terpaksa mengkhabarkan kepada keluarga pesakit bahawa bapa mereka telah meninggal dunia.

"Memang agak sukar sedang masyarakat lain sibuk memuat naik gambar-gambar gembira Hari Raya pertama, sebuah keluarga dalam kepiluan, kesedihan atas pemergian anggota keluarga mereka," ujarnya.

Menyampaikan berita menyedihkan itu juga merupakan sesuatu yang amat berat baginya sekarang apabila perlu memberitahu pesakit bahawa mereka didapati positif Covid-19.

Sebagai jururawat kanan di Jabatan Kecemasan, selain menangani kes kritikal di bahagian pernafasan (resuscitation), beliau juga kerap kali ditugaskan ke kawasan pengasingan, menjaga pesakit yang positif Covid-19.

Kebanyakan pesakit itu merupakan para pekerja asing yang berada dalam keadaan stabil.

Sedang pesakit berada di jabatan kecemasan sambil menantikan wad, Encik Afiq perlu memantau tanda vital mereka seperti tekanan darah, kadar denyutan jantung serta paras oksigen dalam badan mereka.

Menurutnya, cabaran terbesar yang perlu dihadapi ialah ketidaktentuan tentang apa yang akan berlaku setiap hari.

"Ada kalanya bilangan pesakit yang tiba di hospital tidak begitu ramai tetapi ada pula masanya, jumlah pesakit yang datang terlalu ramai. Kita juga perlu bekerjasama dengan banyak jabatan lain seperti keselamatan, unit pengurusan katil, jururadiografi untuk memastikan pesakit dapat dipindahkan ke wad dengan segera," ujarnya.

Menyentuh tentang gesaan beberapa anggota masyarakat yang 'berdegil' tetap ingin berjumpa anggota keluarga terutama warga senja semasa Hari Raya ini, Encik Afiq menasihati mereka agar lebih bertanggungjawab dan sebaliknya duduknya di rumah.

"Sebelum ini, cara menunjukkan rasa kasih dan sayang serta menghormati yang tua, ialah dengan mengunjungi mereka. Tetapi tahun ini, untuk menunjukkan kasih sayang itu, saya gesa masyarakat agar tinggal di rumah dan kekal sihat," katanya.

Menurutnya, sebagai pekerja jagaan kesihatan, setiap hari mereka rasa bimbang akan membawa pulang virus ke rumah dan kemungkinan menjangkiti anggota keluarga yang duduk serumah.

"Saya bekerja dalam sekitaran berisiko tinggi dan pastinya tidak akan mengambil risiko demi memastikan semua kekal sihat. Tetapi saya akan terus bekerja agar anda (masyarakat) boleh duduk di rumah," katanya lagi.