Dua laporan akhbar menarik perhatian saya minggu lalu.
Satu laporan adalah mengenai pengumuman penutupan gedung Isetan di cawangannya di Tampines Mall menjelang November 2025 setelah beroperasi hampir 30 tahun.
Laporan kedua pula menceritakan kejayaan seorang ‘TikToker’ tempatan yang berjaya meraih hasil jualan yang biasanya diraih selama tiga hari hanya dalam tiga jam dengan menjual produk penjagaan kulit secara langsung di platform tersebut.
Semasa bersembang dengan beberapa rakan baru-baru ini, beliau mengongsi bahawa beliau mendapat kebanyakan barang keperluan anak lelakinya semasa sesi jualan langsung di media sosial.
Pakaian kanak-kanak yang biasanya dijual pada harga $15 hingga $20 di kedai fizikal, boleh dibeli dengan harga serendah $5 hingga $8 semasa jualan langsung di TikTok.
Perbezaan harga ini menunjukkan penjimatan besar bagi ibu bapa yang ingin membeli barangan untuk anak-anak mereka dalam jumlah yang banyak.
Perubahan itu mencerminkan peralihan ketara dalam gaya hidup pembelian pengguna di Singapura.
Menurut data Jabatan Statistik Singapura (DOS), jualan runcit turun sebanyak 2.9 peratus pada Disember 2024 berbanding tahun sebelumnya, dengan penurunan yang lebih ketara dalam kategori tertentu seperti peralatan komputer dan telekomunikasi serta pakaian dan kasut.
Sebaliknya, jualan dalam talian semakin meningkat, dengan peratusan jualan dalam talian meningkat dari 13.4 peratus pada Disember 2024 kepada 14.7 peratus pada November 2024 .
Fenomena ini menunjukkan pengguna semakin cenderung untuk membeli-belah dalam talian.
Sejak beberapa tahun lalu lalu, perubahan itu menyebabkan banyak gedung fizikal ditutup.
Gedung serbaneka Robinsons menutup cawangannya di The Heeren pada 2020 dan akhirnya menamatkan operasi runcitnya di Singapura pada 2021.
Jenama fesyen, Topshop, menutup semua cawangannya di Singapura pada 2020 selepas pemiliknya, Arcadia Group, jatuh muflis.
Rangkaian kedai sukan, Sportslink, pula menutup beberapa cawangannya pada 2020 akibat penurunan jualan dan persaingan sengit dari peruncit dalam talian.
Selain kos sewa yang tinggi, kebangkitan platform media sosial menyebabkan banyak syarikat runcit menutup terus kedai fizikal mereka dan beralih kepada penjualan dalam talian.
Kini, satu lagi kaedah menjual produk yang semakin meningkat ialah fenomena live selling.
Live selling merujuk kepada kegiatan jualan secara langsung melalui penstriman video di platform media sosial seperti TikTok, Facebook, atau Instagram.
Dalam sesi ini, penjual mempromosikan produk secara langsung, berinteraksi dengan penonton, menjawab soalan, dan mempengaruhi keputusan pembelian secara langsung.
Fenomena ini telah berkembang pesat di Singapura, mencerminkan perubahan dalam gaya hidup pengguna yang semakin cenderung kepada pembelian dalam talian dan pengalaman membeli-belah yang lebih interaktif.
Menurut platform data Statista, hasil daripada dagangan elektronik sosial (social commerce) – merangkumi live selling – dijangka melebihi AS$1 trillion ($1.3 trilion) menjelang 2028, meningkat daripada lebih AS$570 bilion pada 2023.
Di Singapura sahaja, hasil daripada social commerce dianggarkan melebihi AS$560 juta pada 2024.
Fenomena jualan langsung melalui TikTok dan Instagram semakin mendapat tempat dalam kalangan penjual Melayu Singapura.
Platform-platform ini membolehkan mereka menjual pelbagai produk, daripada pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju Melayu, tudung, barangan rumah dan produk kecantikan, secara langsung kepada pelanggan.
Melalui live selling, pengguna boleh bertanya terus kepada penjual dan melihat demonstrasi produk secara nyata.
Mereka juga membuat keputusan lebih cepat berdasarkan maklum balas pembeli lain dalam siaran.
Ini menjadikan pengalaman membeli lebih menyeronokkan dan telus, berbanding hanya melihat gambar statik di laman web.
Namun, ia juga mewujudkan risiko pembelian tergopoh-gapah atau impulse buying tanpa memikir sama ada ia perlu atau tidak.
Di Singapura, pembelian impulsif dalam talian semakin menjadi kebiasaan di kalangan pengguna.
Menurut kajian oleh wadah pengiklanan digital Criteo, 80 peratus pengguna di Singapura mengakui membuat pembelian impulsif dalam talian, dengan lebih separuh daripada mereka menyalahkan pilihan membeli-belah yang tersedia di peranti mudah alih sebagai punca utama.
Trend membeli-belah yang menjadi satu kegiatan sosial bersama keluarga dan rakan kian berubah menjadi kegiatan yang boleh dilakukan ‘seorang diri’ di rumah.
Begitulah betapa teknologi telah mengubah banyak struktur runcit di sini.
Perubahan ini memberi banyak kelebihan bagi individu yang ingin meneroka perniagaan runcit dengan kos rendah.
Malah, ia membolehkan suri rumah atau ibu tunggal menceburi bidang penjualan ini di keselesaan rumah mereka sambil menjaga anak mereka.
Pengguna boleh menyokong perniagaan kecil tempatan dengan lebih mudah sambil menikmati tawaran istimewa.
Bagi peniaga yang mempunyai kedai fizikal, landskap perubahan ini tidak boleh dipandang remeh.
Gaya hidup pembelian akan berubah lagi dan mereka perlu mengukuhkan kehadiran dalam talian.
Bukan itu sahaja, mereka mungkin perlu berinteraksi dengan pelanggan melalui penjualan langsung menggunakan platform seperti TikTok dan Instagram untuk membina komuniti dan meningkatkan kesedaran jenama.
Dengan mengambil langkah ini, diharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dalam gaya hidup pengguna dan memastikan perniagaan mereka di masa hadapan terus maju tanpa dimamah perubahan pesat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg