Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isetan Tampines ditutup Nov

Jurucakap: Keputusan dibuat selepas pertimbangan teliti keadaan niaga di S’pura, demi keuntungan masa depan
May 8, 2025 | 8:16 AM
Singapore, Singapura, Isetan Tampines, closure, tutup
Gedung Isetan Tampines merancang mengadakan jualan perabis sebelum penutupan kedai pada November 2025, dengan butiran lanjut akan diumumkan. - Foto ST

Pengendali gedung serbaneka Isetan Singapore akan menutup cawangannya di Tampines Mall pada November 2025, umum jurucakapnya pada 6 Mei.

Ketika dihubungi akhbar The Straits Times (ST), jurucakap itu berkata keputusan itu dibuat kerana pajakannya akan berakhir.

Gedung serbaneka itu telah menjadi penyewa utama di Tampines Mall sejak pusat beli-belah itu dibuka pada 1996.

“Kami telah memutuskan untuk menutup gedung ini setelah mengambil kira dengan teliti keadaan setempat dan keuntungan masa depan, (bagi) membolehkan kami menyelaraskan objektif perniagaan dengan lebih baik,” katanya.

Seorang perunding kewangan, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Chua, berkata:

“Saya terasa nostalgia yang menggamit memori apabila mengetahui Isetan di Tampines Mall akan ditutup – ia pernah dan mungkin masih merupakan ruang ikonik di Tampines Mall.”

Seperti pelanggan lain yang ditemui ST, beliau enggan memberikan nama penuhnya.

“Walaupun saya tidak kerap membeli-belah di sana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia adalah tempat yang sering dikunjungi pada zaman muda saya.

“Mengetahui ia akan ditutup membuatkan saya terasa betapa satu perubahan era berlaku dengan begitu cepat,” kata Encik Chua, 31 tahun, yang pernah membeli wangian lilin dari gedung itu.

Beliau kini lebih kerap membeli-belah secara dalam talian.

Gedung serbaneka itu adalah tempat yang sangat dikenali sehingga beliau memberitahu rakan-rakannya inilah tempat pertemuan kalau ke Tampines Mall.

Cik Eng, 57 tahun, seorang suri rumah pula, berkata Isetan Tampines menyimpan banyak kenangan baginya.

“Di situlah saya membeli mainan anak-anak saya, pakaian dan juga cadar. Ia sudah lama wujud... Saya sedih kerana ia akan ditutup,” katanya.

Sementara itu, Cik Yon, suri rumah berusia 60-an tahun, pula berkata beliau suka membeli barangan dapur seperti kuali, periuk masak dan mangkuk dari Isetan Tampines.

“Saya masih tidak tahu di mana untuk membeli barang-barang ini pada masa hadapan,” katanya, sebaik mendengar penutupan gedung itu.

Pada kemuncak perniagaan jenama Isetan sekitar 2013, ia mempunyai enam gedung runcit di Singapura – Isetan Scotts, Isetan Wisma Atria, Isetan Katong, Isetan Serangoon Central, Isetan Tampines dan Isetan Westgate.

Kali terakhir gedung itu menutup cawangan ialah pada 2022 dengan penutupan Isetan Katong di Parkway Parade.

Berikutan penutupan gedung di Tampines, dua lagi cawangan – Isetan Scotts dan Isetan Serangoon Central – akan meneruskan operasi.

“Isetan kekal komited terhadap landskap runcit Singapura dan akan terus menyesuaikan perniagaan kami untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami pada tahun-tahun akan datang,” tambah jurucakap itu.

Isetan Singapore telah ditubuhkan pada 1970 untuk mengendalikan perniagaan gedung serbaneka Isetan Mitsukoshi Jepun di sini.

Pada Ogos 2024, Isetan Mitsukoshi, yang kekal sebagai pemilik bersama entiti Singapura, tamat proses pengambilalihan baki 47.27 peratus di Isetan Singapore, yang tidak dimilikinya, dengan memperolehi nilai sekitar $140 juta.

Isetan Singapore pula telah menggantung dagangan sahamnya di Bursa Singapura pada Ogos 2024, dan ia dinyahsenarai pada September 2024.

Ia kini merupakan anak syarikat milik penuh Isetan Mitsukoshi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg