Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Kejayaan pelajar Aljunied dalam program IB mengagumkan kerana cabarannya besar

Usaha Muis, pihak berkepentingan lain dalam bangunkan asatizah masa depan penting
Jan 16, 2022 | 05:30 AM



PELAJAR Madrasah Aljunied Al-Islamiah yang menduduki peperiksaan Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) tahun lalu sekali lagi mencapai keputusan memberangsangkan, dengan pelajar terbaiknya mendapat keputusan sempurna 45 mata.



Kesemua 16 pelajar itu juga menerima Diploma Dwibahasa - diberi kepada pelajar yang berjaya mendapat gred 3 atau lebih tinggi dalam dua bahasa.



Separuh daripada mereka juga memperoleh keputusan melebihi 40 mata, sekali gus menjadikan keputusan purata yang dicapai madrasah itu 39.69 mata.



Ini lebih tinggi berbanding keputusan global purata 32.39 mata, dan juga berbanding mata purata yang dicatat madrasah itu tahun lalu, iaitu 34.8 mata.



Tahun lalu, kumpulan pertama 25 pelajar Madrasah Aljunied yang menduduki peperiksaan IBDP semuanya lulus dengan murid terbaik mendapat 42 mata.



Dalam satu pos di Facebooknya minggu lalu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, turut berbangga akan keputusan cemerlang itu dan berharap para pelajar itu akan menjadi pemimpin agama masa depan untuk masyarakat Singapura.



Tokoh agama Singapura, Ustaz Pasuni Maulan, juga berasa bangga atas kejayaan para pelajar Madrasah Aljunied dalam peperiksaan IBDP mereka.



"Alhamdulillah, kejayaan para pelajar itu adalah hasil ketekunan mereka dan sokongan ibu bapa serta dedikasi tenaga pengajar di madrasah serta bantuan Muis.



"Ia telah memberi peluang lebih luas kepada para pemegang Diploma IBDP untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.



"Dalam mengejar aspirasi mereka, diharapkan mereka tidak setakat memenuhi impian peribadi, tetapi menyematkan di dalam hati mereka visi Madrasah Aljunied, iaitu 'Membentuk Cendikiawan dan Pemimpin Global'," kata Ustaz Pasuni, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Aljunied.



Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, turut berkongsi sukacitanya ke atas kejayaan para pelajar Madrasah Aljunied itu.



"Dengan terciptanya satu lagi sejarah oleh madrasah tersebut, ia membuka mata masyarakat bahawa pelajar madrasah juga mampu bersaing dalam memperoleh keputusan cemerlang dalam pendidikan, bukan subjek ukhrawi sahaja, malah subjek akademik," katanya.



Sebagai seorang bekas guru yang mempunyai pengalaman mengajar lebih 10 tahun, saya akur akan cabaran IBDP dan amat kagum akan kejayaan yang dicapai pelajar Madrasah Aljunied itu.



Kejayaan itu bukanlah satu pencapaian mudah, terutama sekali kerana secara keseluruhan, mereka harus mempelajari 15 subjek dan menduduki kesemua peperiksaan bagi mata pelajaran tersebut, yang turut mengandungi dua kurikulum, iaitu kurikulum ukhrawi dan IBDP.



Mereka juga harus mengimbangi masa mereka antara pelajaran dan kehidupan harian mereka.



Bagi pelajar di sekolah sekular, ramai sering berasa tekanan yang meningkat kerana kurikulum IBDP yang lebih luas memerlukan kecekapan menguruskan masa, banyak kajian penuh bermatlamat dan siasatan serta pembelajaran secara berdikari.



Mereka harus konsisten kerana perlu memenuhi banyak tarikh akhir dalam kerja sekolah IBDP.



Untuk mendapatkan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan IBDP, pelajar memerlukan pemikiran kritis dan mendalam, mahir dalam mengaplikasikan konsep dan mendapatkan penyelesaian.



Kajian dan siasatan serta beberapa jenis penilaian, seperti rakaman lisan, adalah aspek utama dalam program dua tahun itu dan ia membentuk kira-kira 20 hingga 40 peratus daripada keseluruhan skor subjek.



Peperiksaan IBDP menyumbang 70 hingga 80 peratus daripada jumlah markah bagi setiap mata pelajaran dan pelajar program IBDP harus mengambil enam subjek yang merentasi pelbagai bidang.



Oleh itu, sekolah yang menawarkan program IBDP di Singapura sering adalah sekolah yang mempunyai lebih prestasi, seperti St Joseph's Institution (SJI) dan Sekolah Anglo-Chinese (Independent)(ACS(I)), di mana pelajar yang diberi pilihan mengikuti IBDP mempunyai asas akademik kukuh supaya mereka boleh menghadapi ketegasan program IBDP.



Justeru, kejayaan pelajar Madrasah Aljunied lebih mengagumkan kerana mereka bukan cemerlang sahaja dan merupakan antara pelajar terbaik di dunia dalam peperiksaan IBDP, bahkan berjaya mengimbangi lebih kurang 10 subjek dalam kurikulum ukhrawi untuk peperiksaan Diploma Pengajian Islam Aliyah (Tinggi).



Peperiksaan untuk mendapatkan diploma itu bermula dua bulan selepas tamat peperiksaan bagi program IB.



Kejayaan pelajar Madrasah Aljunied itu menunjukkan mereka mempunyai daya tahan dan keupayaan tinggi untuk berjaya dalam kurikulum sekular dan ukhrawi.



Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), penerapan IBDP - yang dimulakan Madrasah Aljunied pada 2019 - bertujuan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk menjadi pelajar aktif dan berkesan dalam abad ke-21.



Bahkan, kejayaan para pelajar itu juga menunjukkan betapa pentingnya madrasah dan asatizah menyediakan asas kukuh bagi pelajar mereka supaya mereka bersedia mencapai kejayaan.



Sokongan baik daripada Madrasah Aljunied, yang juga satu daripada tiga madrasah di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS), pengajaran berkesan oleh asatizah serta pemilihan subjek betul juga memainkan peranan penting dalam kejayaan para pelajar itu.



JMS diperkenal pada 2008 untuk membantu madrasah sepenuh masa tempatan memperbaiki sistem dan keupayaan di samping membangunkan golongan asatizah dan cendekiawan Islam.



Kini 14 guru madrasah itu terlatih untuk mengendalikan program IB.



Antara subjek yang ditawarkan di bawah program itu ialah Bahasa Melayu A, Bahasa Arab B, Bahasa Inggeris B, Politik Global, Sistem dan Masyarakat Sekitaran, Kimia, dan Pengajian Matematik.



Subjek-subjek itu dipilih kerana ia melengkapkan subjek pengajian Islam yang ditawarkan di madrasah tersebut.



Ini memberikan kesedaran yang jelas dilihat dalam inisiatif serta program-program yang dilaksana Muis dan pihak berkepentingan lain dalam usaha membangunkan asatizah masa depan.



Oleh itu, peningkatan pelaburan dalam mewujudkan infrastruktur serta ekosistem yang mampu membentuk 'intelligentsia' asatizah tempatan yang memahami keperluan masyarakat serta dapat memberi bimbingan relevan adalah penting.



Semoga pelajar madrasah terus membawa kejayaan dan memainkan peranan aktif untuk memimpin masyarakat Islam Singapura.




“Dengan terciptanya satu lagi sejarah oleh madrasah tersebut, ia membuka mata masyarakat bahawa pelajar madrasah juga mampu bersaing dalam memperoleh keputusan cemerlang dalam pendidikan, bukan subjek ukhrawi sahaja, malah subjek akademik.” 
- Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan.



“Alhamdulillah, kejayaan para pelajar itu adalah hasil ketekunan mereka dan sokongan ibu bapa serta dedikasi tenaga pengajar di madrasah serta bantuan Muis.”
- Ustaz Pasuni Maulan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >