Politik di Singapura harus kekal bersifat membina atau konstruktif, dengan tumpuan terhadap membawa manfaat dan kesan yang nyata kepada kehidupan rakyat.
Perbincangan tentang bentuk politik yang dimahukan di Singapura itu ditimbulkan sedang Parlimen membuka tirainya dalam penggal yang baru.
Parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyatakan azam untuk memastikan politik kekal konstruktif serta mengutamakan kepentingan rakyat.
Berucap di Parlimen pada 24 September, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata politik yang konstruktif berkait rapat dengan cara Singapura mengendalikan politiknya, termasuk cara ahli politik berbahas, bercanggah, dan membuat keputusan.
Ini katanya akan mempunyai kesan terhadap kepercayaan orang ramai.
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, pula telah membentangkan pendekatan partinya, yang akan memberi tumpuan memeriksa dasar dan langkah pemerintah.
PAP perlu menunjukkan ia bersedia mendengar idea alternatif, manakala Parti Pekerja (WP) pula perlu membuktikan ia boleh menawarkan alternatif yang baik.
Kenyataan Encik Wong yang mengalu-alukan kehadiran parti pembangkang di Parlimen pula mencerminkan keyakinan beliau dalam mempertahankan dasar pemerintah.
Beliau juga menggesa agar politik dikendali secara serius, dengan penuh wibawa dan kebertanggungjawaban – satu peringatan yang baik sedang Anggota Parlimen (AP) memulakan tugas dalam penggal Parlimen yang baru.
Akhirnya, tidak kira parti, setiap AP perlu bertindak demi kepentingan Singapura, dan berkhidmat kepada rakyat, tidak kira kaum dan agama.
Pengundi juga telah memberi isyarat mereka menolak politik tidak konstruktif, termasuk politik yang memecahbelahkan, dari segi kaum dan agama.
Selain itu, satu ciri penting dalam sistem politik Singapura ialah perbahasan yang baik di Parlimen, dengan hujah bernas yang meneliti dasar pemerintah.
Dalam era yang menyaksikan sidang Parlimen menjadi lebih ‘dekat’ dengan warga Singapura menerusi liputan di media sosial, AP tidak harus hanya bijak menyusun kata untuk menarik perhatian, bahkan peka tentang apa yang paling penting bagi rakyat.
Usah sia-siakan harapan pengundi, yang memberi mandat kukuh kepada PAP untuk memerintah, serta membuka laluan kepada WP memainkan peranan semak dan imbang.
Apa yang pasti, landskap politik Singapura dijangka terus berkembang, tetapi jelas warga Singapura sentiasa meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap kededua parti pemerintah dan pembangkang untuk bertindak sewajarnya.
Cabarannya adalah bagi kededua parti memenuhi jangkaan tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg