“Mengapakah Taylor Swift begitu popular?” tanya seorang anggota keluarga.
Sebagai seorang ‘Swiftie’ – istilah sayang atau ejekan yang diberikan kepada peminat bintang pop Amerika Syarikat itu, bergantung kepada siapa anda tanya – saya terusik dengan soalannya yang tidak disengajakan.
Semasa konsert, Eras Tour Taylor Swift, yang telah memecah rekod, Swift kadangkala memakai baju-T dengan perkataan berkilauan: “Siapa pula Taylor Swift? Ew.”
Ia merupakan soalan yang ramai tanya, lagi-lagi kini ‘Tay-mania’ mengambil alih Singapura semasa konsert kembara bintang pop Amerika itu di Stadium Negara sejak 2 Mac.
Kehadiran Swift di Singapura bertepatan dengan peningkatan luar biasanya dalam budaya popular. Beliau boleh dikatakan bintang paling popular di dunia sekarang.
Sejak enam bulan lalu, beliau telah memperoleh pelbagai pencapaian yang mengagumkan – menjadi yang pertama memenangi Album Terbaik dalam Anugerah Grammy buat kali keempat pada Februari, dinobatkan ‘Person Of The Year’ oleh majalah Time dan menjadi pemuzik pertama dengan konsert kembara yang meraih AS$1 bilion ($1.35 billion) dalam penjualan tiket, kededuanya pada Disember 2023.
Sifat kewanitaan feminis sinis saya tertanya-tanya: “Jika beliau seorang lelaki, adakah orang masih menyoal mengapa Swift dianggap Elvis Presley pada 2024?”
Sudah 20 tahun sejak beliau mula menceburi bidang muzik. Kejayaannya bukan secara kebetulan. Mungkin tidak dirancang selengkapnya, tetapi beliau pasti sudah membina asasnya dan kemudian terus berusaha mencapai populariti.
Mengimbas pada awal 2000-an, apabila keluarga Swift – ibu, bapa dan adik lelakinya – berpindah dari West Reading, Pennsylvania, ke ibu kota muzik rakyat atau country music Amerika, Nashville, Tennesse, supaya beliau boleh mempunyai kerjaya dalam bidang muzik.
Ibu bapanya, Andrea dan Scott, merupakan eksekutif korporat berjaya, yang telah menggunakan kepintaran perniagaan mereka untuk membantu anak perempuan mereka menjadi seorang penyanyi dan penggubah lagu.
Mereka begitu bijak sehingga selepas Swift menandatangani perjanjian rekod pertamanya pada 2005 bersama sebuah label bebas, Big Machine, dan sebelum penghujung 2012, bapanya telah membeli 3 peratus saham dalam syarikat itu.
Kededua, Scott dan Andrea, dilaporkan terlibat dalam operasi perniagaannya hingga ke hari ini.
Kisah Swift melibatkan perhubungan ‘ajaib’ bersama peminatnya.
Albumnya memaparkan muzik dan pengalaman.
Album pertama Swift yang diberi tajuk namanya sendiri dikeluarkan pada penghujung 2006, di kemuncak populariti laman media sosial, MySpace, di Amerika dan ketika Facebook baru memulakan revolusi media sosial.
Beliau sangat aktif di MySpace, sering memuat naik kandungan yang memaparkan muziknya dan realiti kehidupan yang seronok dan biasa sebagai seorang gadis remaja, membina keaslian dan kepercayaan dalam kalangan pendengarnya.
Beliau juga kerap berbicara bersama peminatnya – satu tabiat yang beliau teruskan di wadah blog mikro, Tumblr, dengan beliau pernah berkongsi resipi “biskut gula chai” selepas seorang peminat memintanya.
Kemudian, Instagram dan TikTok ditubuhkan, yang memberi peminatnya peluang mengintai sekilas kehidupannya, membawa mereka bersama dalam perjalanannya, berbicara dengan mereka dan mengucapkan terima kasih atas sokongan peminatnya.
Kini, peminat Swift mendengar muziknya, membeli barangannya dan banyak lagi.
Pada 2023, Swift bekerjasama dengan Google untuk memberi peminatnya 89 teka-teki untuk diselesaikan.
Matlamatnya? Selesaikan semua teka-teki itu sebanyak 33 juta kali secara keseluruhan dan sebuah mesej video daripada Swift akan didedahkan.
Ia akan mendedahkan semua tajuk trek lagu yang tidak diterbitkan daripada album asal, 1989, yang dirakamkan semula.
Peminat terus melungsuri Google dan menambahkan gembar-gembur keluaran album itu pada Oktober 2023.
Tiada pemasaran lanjut diperlukan. Jumlah penjualan minggu pertama bagi album yang dirakamkan semula itu melampaui jumlah penjualan album 1989 pada 2014.
Swift mengekalkan nadi muziknya dalam industri dan menggunakan segala kuasa untuk membentuknya.
Beliau tidak takut bercakap benar apabila beliau berasa ada yang salah, walaupun jika beliau akan dikritik.
Pada 2014, Swift menarik semua muziknya daripada perkhidmatan penstriman Spotify.
“Perkara bernilai harus dibayar. Pada pendapat saya, muzik tidak sepatutnya percuma,” tulis beliau dalam satu esei bagi akhbar, The Wall Street Journal, ketika itu.
Beliau kemudian kembali ke Spotify pada 2017, bukan kerana Spotify menyerah kalah, tetapi kerana gelombang industri kian berubah.
Penstriman muzik telah menjadi gelombang yang tidak boleh dihentikan dan artis turut memuat naik lagu mereka di wadah penstriman, jika tidak, mereka ketinggalan.
Pada 2017, beliau dipuji kerana bersikap tegas apabila satu tuntutan mahkamah difailkan oleh seorang lelaki bernama David Mueller, mantan deejay radio, yang menemui Swift semasa satu sesi perjumpaan sebelum konsert di Denver pada 2013.
Mueller didakwa meraba-raba Swift.
Swift segera melaporkan kepada kakitangan dan ibunya.
Mueller diberhentikan kerja dan kemudian menyaman beliau AS$3 juta kerana hilang pendapatan.
Swift mengemukakan saman balas $1 dan menang pada penghujung perbicaraan yang digembar-gemburkan.
Beliau juga telah mengalami pelbagai sekatan dan berjaya menanganinya.
Beliau tinggalkan label rakaman pertamanya, Big Machine, pada 2018 untuk perjanjian baru dengan Republic Records.
Pada 2019, rakaman ‘master’ untuk enam album pertamanya turut dijual.
Swift bingit dengan pemilik baru syarikat label itu, eksekutif muzik, Scooter Braun.
“Itu adalah senario paling teruk saya,” tulis penyanyi dan penggubah lagu itu penuh emosi dalam satu catatan blog, merujuk kepada keadaan “buli manipulatif yang beliau terima daripada Braun selama bertahun”, termasuk pertengkarannya bersama penyanyi rap Amerika, Kanye West, yang diuruskan oleh Braun.
Beliau kemudian merakamkan semula album-albumnya – satu usaha yang ramai jangka akan gagal tetapi menjadi satu kejayaan komersial yang besar.
Anehnya, kejayaan komersial itu berlaku selepas album pertama yang dirakamkan semula dikeluarkan pada 2021, tatkala dunia kembali pulih daripada sekatan pergerakan ekoran pandemik Covid-19.
Ketika itu, pendengar baru telah menemui muziknya.
Ternyata, pandemik itu menjejas ramai penyanyi.
Swift sendiri terpaksa membatalkan beberapa konsert yang dirancang bagi musim panas 2020.
Namun, beliau menggunakan masanya itu untuk menerbitkan bukan satu, malah dua album studio pada 2020.
Buat dunia yang perlu mengalihkan perhatian, dua album itu – Folklore dan Evermore – masing-masing memberi penawar dalam bentuk muzik santai yang diilhamkan oleh muzik rakyat.
Ia juga memaparkan keupayaan Swift mencipta dirinya semula daripada album ke album – atau juga dikenali sebagai era ke era.
Setiap daripada 10 ‘eranya’, daripada album pertamanya ke Midnights (2022), mempunyai bunyi dan estetik visual yang tertentu.
Setiap album ada sesuatu buat setiap individu, sama ada anda gemar konsep gelap dan romantik seperti album Reputation (2017), atau album Lover (2019) yang terasnya memaparkan kegelisahan dan kesakitan.
Namun begitu, diskografi Swift kekal ditulis dengan melodi rancak dan menarik.
Ini merupakan ciri-ciri muzik popular sehingga awal 2000-an apabila Swift menceburi industri muzik – di mana muzik hip-hop dan unsur budaya Amerika lain turut menjadi popular.
Ini mungkin menjelaskan popularitinya di serata dunia dan di Singapura, di mana kita tidak mempunyai latar belakang budaya sama yang menghubungkan kita dengan budaya bandar di Amerika.
Tidak seperti penyanyi lain, Swift telah menjauhkan diri daripada tampil terlalu seksual dalam imej atau muziknya walaupun beliau telah mula menerapkan bahasa kesat dan tema seksual baru-baru ini.
Album awalnya, khususnya, mesra keluarga dan mudah mendekati pendengar daripada pelbagai budaya dan latar belakang, tidak kira di Johor, Texas atau Perancis.
Sepertimana anggota keluarga berkongsi cinta mereka terhadap lagenda rok Britain, The Beatles, itu juga satu fenomena baru dan kian meningkat buat keluarga ‘Swiftie’.
‘Swiftie’ milenial mula menjadi ibu bapa dan gembira berkongsi muzik Swift bersama anak-anak mereka.
Ibu bapa Generasi X mula mengetahui Swift buat pertama kali menerusi anak-anak Generasi Z.
Kita juga mula melihat pengaruh budaya generasi pertama yang membesar dengannya: Generasi Z dalam usia remaja dan kini berusia 20-an tahun.
Satu tinjauan YouGov mendapati bahawa warga Singapura Generasi Z melahirkan minat terhadap Swift, dengan 42 peratus yang ditinjau mendedahkan diri mereka sebagai peminat setia atau kasual, berbanding 32 peratus milenial; manakala 17 peratus Generasi X dan 8 peratus generasi Boomer merupakan peminat setia atau kasual Swift.
Tidak seperti konsert kembara Swift pada 2018, peminat Generasi Z kini mempunyai wang untuk berbelanja.
Kebanyakan tiket yang habis dijual di konsert Eras Tour Singapore (bahagian lantai, dekat dengan pentas) berharga lebih $1,228 setiap tiket.
Memandangkan ‘era Generasi Z’ baru bermula, bintangnya akan terus bergemerlapan.
Swift sendiri mahu kekal dengan kedudukannya kini – mencipta muzik pop yang meraikan perjalanan emosi dan turun naiknya sebagai seorang wanita dan individu yang menghadapi pasang surut kehidupan.
Beliau telah mengumumkan album studio terbarunya, The Tortured Poets Department, yang dilancarkan pada 19 April ini.
Untuk mengeluarkan album baru sebelum menyelesaikan konsert kembara, Eras Tour, adalah satu langkah berani.
Sebagai peminat karyanya dan sebagai seseorang yang telah mengikuti kerjayanya selama bertahun-tahun sejak album hit pada 2008, Love Story, saya percaya beliau akan terus menumbangkan semua ramalan dan jangkaan saya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg