Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

KESIHATAN & PERUBATAN

'Kurang dengar'? Tiada masalah, malah boleh ke menara gading

Hasil intervensi awal bantu kejayaan gadis dengan keadaan pendengaran bilateral kongenital
Jun 21, 2021 | 05:30 AM



BELIAU tidak membiarkan masalah pendengaran yang dialami sejak kecil menghambat dirinya.



Begitulah yang dikongsikan oleh gadis berusia 21 tahun, Cik Siti Faza Nadhirah Putri Mohamed Azharashid.



Pada umur dua setengah tahun, Cik Faza didiagnosis menghadapi masalah pendengaran bilateral kongenital.



Beliau kemudian menerima terapi di Thomson Medical setelah turut didiagnosis dengan gangguan bahasa yang ringan.



Cik Faza menjalani hidup seperti remaja lain walau dengan cabaran tersendiri.



Walaupun perlu berusaha lebih, kini kegigihannya berserta sokongan ibu bapa telah membawanya ke universiti di samping mengecapi kecemerlangan dalam bidang tarian balet dan gimnastik.



Semua ini hasil intervensi awal yang membantu beliau menghadapi keadaannya.



Ibunya, Cik Haslinda Putri Harun, menceritakan bagaimana beliau dan suami mula mengesan anak sulungnya mungkin mengalami masalah pendengaran:



"Faza berumur dua setengah tahun. Seorang gadis kecil yang banyak cakap dan sihat.



"Kemudian ada suatu masa dia akan bangun dan menghidupkan televisyen atau muzik dengan kuat. Atau dia akan mendekatkan wajah kami kepadanya ketika kami berbicara seolah-olah mahu mengesahkan bahawa kami bercakap dengannya.



"Beberapa perkataan juga tidak diucapkan dengan jelas bagi usianya yang kami anggap sebagai celoteh kanak-kanak yang comel.



"Tetapi pada suatu malam, kami memadamkan lampu bilik tidurnya dan mengucapkan selamat malam kepadanya. Dia tidak menjawab. Kami tahu ketika itu dia mungkin menghadapi masalah pendengaran."



Oleh sebab mereka telah mengesan masalah pendengarannya sejak awal, maka tiada masalah mereka berkomunikasi kerana sejurus selepas itu Cik Faza mula memakai alat pendengaran pada usia tiga tahun.



"Tetapi yang menyedihkan hati seorang ibu ialah apabila melihat anak kecilnya memakai alat yang tidak selesa di telinganya sepanjang hari.



"Dia menyebutnya sebagai 'komputer telinga' dan pada usia muda dia sudah diajar bertanggungjawab menjaganya walaupun dia membencinya kerana ia membuatnya 'berbeza' daripada rakan-rakannya," sambung Cik Haslinda.



Cik Faza mengakui cabaran terbesarnya adalah menyedari beliau berbeza daripada orang lain.



Pun begitu, beliau dibesarkan dengan sangat 'normal', pada dasarnya beliau melakukan semua yang boleh dan akan dilakukan oleh anak 'normal' termasuklah melakukan gimnastik yang kompetitif dan menari sejak berusia tiga tahun dan bersekolah di sekolah 'biasa'.



"Namun begitu, walaupun kedengaran klise, ini bermakna saya harus selalu melakukan empat kali ganda usaha yang dilakukan orang normal... Saya mesti membaca teks tiga hingga empat kali sebelum saya memahami sepenuhnya maksudnya. Kadang-kadang ia sangat mengecewakan dan masih berlaku hingga hari ini," kongsi Cik Faza yang kini sedang mengikuti kursus ijazah dalam jurusan sains kesihatan di New Zealand setelah berada di sana selama enam tahun semenjak peringkat sekolah menengah lagi.



Cik Faza bukan sahaja perlu menghadapi masalah pendengaran malah gangguan bahasa yang ringan yang didiagnosis ketika umurnya 12 tahun apabila ibu bapanya menyedari keputusan akademiknya tidak sepadan dengan usahanya ketika belajar untuk ujian dan peperiksaan.



Beliau yang ketika itu sudahpun menerima terapi pertuturan dan bahasa dan terapi pendengaran-verbal (AVT - biasanya diberikan kepada anak-anak dengan masalah pendengaran untuk mengajar mereka bagaimana mengembangkan bahasa lisan melalui mendengar), berjumpa Cik Frances Yeo, Ketua Pakar Psikologi & Pengarah Program Pembelajaran Khusus Kanak-Kanak dan Kaunseling Thomson.



Cik Yeo berkata:



"Walaupun dia telah mengembangkan kemahiran bahasa dan komunikasi yang berfungsi dengan bantuan intervensi awal pertuturan dan bahasa dan AVT, dia masih menunjukkan kesulitan bahasa ringan seperti kesukaran memahami teks yang mempunyai konsep dan kandungan linguistik yang lebih tinggi (misalnya, metafora, bahasa kiasan) dan mengaturkan pemikiran menjadi bentuk tulisan bagi menghasilkan karangan yang ringkas dan tepat."



Cik Yeo turut menerangkan, dengan diagnosis dan laporan psikologi, mereka dapat memohon kelonggaran seperti waktu tambahan untuk peperiksaan PSLE memandangkan Cik Faza mengambil masa lebih lama dalam memproses pemikirannya dan kemudian mencatat jawapannya.



Diagnosis daripada Cik Yeo, pada Cik Haslinda, mungkin merupakan perkara terbaik yang berlaku pada anaknya itu.



Akhirnya, mereka dapat memberikan nama bagi 'penderitaan' beliau. Ujarnya:



"Kami tahu beliau berbeza, tetapi kami tidak tahu apa itu. Mesej saya kepada ibu bapa yang lain, sangat penting membuat intervensi pada awal kehidupan agar anak-anak yang mempunyai cabaran dalam pembelajaran dapat berjaya."



Cik Faza bersyukur setelah didiagnosis Cik Yeo, beliau meneruskan terapi bagi membantu mengesan kelemahan dan kekuatannya.



"Sebelum terapi, saya rasa saya tidak dapat mengatasi (masalah saya) dengan baik. Saya benar-benar menghadapi kesukaran dalam bahasa Inggeris bagi teks yang komprehensif atau tidak dikenali.



"Ibu mesti duduk di sebelah saya dan menghuraikan sedikit demi sedikit... Saya tidak pernah faham kenapa saya tidak dapat memahaminya tetapi syukurlah dengan bantuan Cik Yeo, kami berjaya menghasilkan strategi untuk membantu saya memahami bahasa yang lebih tinggi dengan lebih baik," tambahnya dengan rasa syukur.



Antara strategi Cik Haslinda ialah mempergunakan kekuatan Cik Faza daripada ingatan fotografik. Jadi, untuk lulus dalam esei atau karangan, Cik Faza menghafal esei-esei yang lazimnya keluar dalam peperiksaan. Ternyata strategi ini dapat membantunya hingga kini.



Dan demi menempatkan Cik Faza dalam suasana akademik yang lebih mesra keadaannya, Cik Haslinda membuat kajian dan akhirnya memilih Kolej St Margaret's di New Zealand kerana institusi ini mempunyai pengalaman mengendalikan pelajar yang mempunyai masalah pendengaran serta telah menawarkan Cik Faza biasiswa separa agar menjadi pelajar mereka kerana mereka kagum akan pencapaian Cik Faza.



Ketika itu, beliau merupakan pelajar pertama dengan masalah pendengaran yang mengambil pengkhususan dalam bidang tarian di Sekolah Seni Singapura (SOTA) dan telah bertanding pada peringkat serantau dalam gimnastik.



Dan ini bukanlah perkara lazim yang dikecapi remaja yang mempunyai masalah pendengaran.



Setelah berpindah ke New Zealand, Cik Faza mempunyai keyakinan baru untuk menghadapi masalahnya lebih-lebih lagi apabila bertemu seorang guru bahasa Inggeris, Cik Robertson, yang penyabar dan membantunya mencapai potensi terbaiknya dengan mengajarnya cara menulis dan membuat catatan karangan yang sempurna.



"Saya tidak mengatakan perjalanan saya berjalan lancar, sebenarnya jauh daripada itu.



"Namun, saya melihat pentingnya intervensi awal oleh pakar profesional yang prihatin, ini menjadikan keseluruhan proses menjadi lebih senang," katanya yang mendapati beliau tidak boleh menyerah walaupun perjalanan akademiknya berliku kerana setiap orang ada kelemahan dan kekuatan masing-masing.



Thomson Medical baru sahaja melancarkan pusat pembelajaran khusus Thomson Medical untuk kanak-kanak - Pembelajaran Khusus Kanak-Kanak Thomson Kids.



Ia akan menjadi pusat kesukaran belajar pertama di Singapura oleh kumpulan perubatan swasta yang mapan dengan pengalaman lebih daripada 40 tahun dalam keperluan penjagaan kesihatan kanak-kanak, dengan perhatian pada penyediaan penyelesaian untuk gangguan perkembangan saraf seperti autisme, disleksia, ADHD dan kelewatan bahasa yang mempengaruhi kebolehan kanak-kanak membaca, menulis dan belajar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >