Kita semakin tegas menggalakkan golongan muda meletakkan telefon bimbit, demi mengurangkan masa skrin.

Malah, pemerintah sedang mempertimbangkan langkah perlindungan mandatori bagi pengguna muda media sosial, termasuk kemungkinan menetapkan had penggunaan harian, selain menangani ciri seperti menatal secara berterusan (infinite scroll) dan ‘autoplay’ yang direka untuk membuat pengguna terus terpaku pada skrin.

Namun, apabila kita meminta mereka mendongak daripada telefon, kita juga perlu bertanya tentang kemudahan dunia nyata yang sedang dan mahu kita sediakan untuk mereka.

Persoalan ini semakin relevan apabila beberapa ruang komersial yang sekian lama wujud turut berfungsi sebagai tempat orang ramai bertemu dan berkumpul sedang berubah wajah.

Pusat beli-belah JCube, yang terletak di Jurong East, ditutup pada 2023 sebelum tapaknya dibangunkan menjadi pembangunan kediaman J’Den.

Liang Court lebih awal memberi laluan kepada pembangunan bersepadu CanningHill Piers, manakala Marina Square pula bakal ditutup pada Mac 2027 bagi pembangunan semula yang merangkumi kediaman mewah, hotel, pejabat dan ruang runcit baru.

Tidak salah membangunkan semula tanah bagi memenuhi keperluan perumahan dan sebuah bandar yang terus berubah.

Di Singapura yang kekurangan tanah, setiap ruang sememangnya perlu digunakan dengan sebaik mungkin.

Namun, apabila sesebuah ruang berubah atau hilang, kita juga perlu memikirkan fungsi sosial yang mungkin turut terhakis bersamanya.

Bagi ramai remaja, pusat beli-belah bukan sekadar tempat membeli barangan.

Ia membolehkan mereka berkumpul selepas sekolah, bersiar-siar, bersembang dan meluangkan masa bersama selama beberapa jam dalam persekitaran yang selamat, mudah diakses serta terlindung daripada cuaca.

Ia mungkin kelihatan seperti sekadar melepak. Namun, daripada interaksi yang kelihatan remeh itu sering terbinanya persahabatan.

Hakikat ini semakin penting apabila Singapura sendiri berdepan apa yang digelar sebagai friendship recession’, atau masalah kekurangan persahabatan.

Menurut Kajian Belia Nasional, 8 peratus golongan muda pada 2025 berkata mereka tidak mempunyai seorang pun teman rapat, dua kali ganda berbanding 4 peratus pada 2013.

Pakar turut menekankan perlunya lebih banyak ‘ruang ketiga’ untuk membantu golongan muda membina hubungan secara bersemuka.

‘Ruang ketiga’ merujuk kepada tempat di luar rumah – selain ruang sekolah atau tempat kerja, di mana orang ramai boleh berkumpul secara tidak formal, berinteraksi dan membina rasa kebersamaan.

Singapura sebenarnya sudah bergerak ke arah ini. Di bawah Pelan Belia SG, 12 ruang sedemikian dijadual dibuka menjelang akhir 2026.

Ini termasuk Circle @ Kelab Masyarakat Nee Soon Central, Hub With A Heart @ Serangoon dan Camping Ground, di *SCAPE.

Usaha lain juga menunjukkan ruang sedia ada boleh memainkan peranan serupa.

Ruang Belajar Mendaki, misalnya, menyediakan tempat belajar yang selesa secara percuma untuk pelajar, sekali gus memberi mereka ruang di luar rumah dan sekolah untuk menelaah pelajaran serta berinteraksi.

Masjid pula semakin memainkan peranan yang melebihi fungsi sebagai tempat ibadah, dengan sesetengahnya turut berfungsi sebagai pusat pembangunan sosial dan ruang pertemuan bagi masyarakat.

Contoh ini menunjukkan bahawa ‘ruang ketiga’ tidak semestinya memerlukan bangunan baru atau kemudahan yang gah.

Perpustakaan, masjid, pusat masyarakat, ruang belajar dan kawasan kejiranan juga boleh berfungsi sebagai tempat pertemuan jika direka dan diurus dengan tujuan itu.

Dalam pada itu, syarat yang diperlukan sebelum seseorang dibenarkan untuk menggunakannya juga penting.

Kafe juga dianggap sebagai ruang sosial, tetapi seseorang perlu membeli secawan kopi. Restoran memerlukan pesanan.

Banyak ruang komersial secara tersirat mengatakan bahawa seseorang dialu-alukan selagi mereka seorang pelanggan.

Golongan muda pula lazimnya mempunyai kemampuan kewangan yang terhad.

Sebab itu sebuah bandar yang mesra belia memerlukan ruang di mana kehadiran seseorang tidak bergantung pada kemampuan untuk berbelanja.

Ini bukan bermakna ruang komersial tidak lagi diperlukan, atau setiap pusat beli-belah lama perlu dikekalkan atas nama nostalgia.

Sebaliknya, setiap kali ruang bandar dibangunkan semula, kita wajar bertanya bukan sahaja apa yang akan dibina, malah bentuk kehidupan sosial yang mahu kita wujudkan di situ.

Dalam sebuah negara yang terkenal dengan perancangan ruang yang teliti, mungkin Singapura juga perlu menganggap peluang untuk bertemu, beriadah dan membina persahabatan sebagai sebahagian daripada infrastruktur sosial juga – dalam usaha kita menggalakkan warga kita mengurangkan masa skrin.

Pakar turut menekankan perlunya lebih banyak ‘ruang ketiga’ untuk membantu golongan muda membina hubungan secara bersemuka. ‘Ruang ketiga’ merujuk kepada tempat di luar rumah – selain ruang sekolah atau tempat kerja, di mana orang ramai boleh berkumpul secara tidak formal, berinteraksi dan membina rasa kebersamaan.
Penulis.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti