Saya kerap menerima soalan daripada ibu bapa tentang apakah yang harus anak mereka persiapkan sebelum mereka melalui ujian penilaian untuk mengesan sebarang masalah pembelajaran si anak, jika ada.
Soalan seperti, ‘Ada buku yang perlu anak saya baca?’ atau ‘Perlukah dia lakukan latihan bahasa dahulu?’ sering kali saya terima.
Jawapan saya tetap sama – tidak ada buku yang dapat mempersiapkan kanak-kanak untuk ujian penilaian.
Ujian penilaian adalah proses yang dijalankan oleh pakar dalam mengumpul maklumat daripada temu bual, pemerhatian perilaku, ujian piawai, laporan dan dokumen sejarah keluarga disepadukan untuk menentukan diagnosis dan masalah pembelajaran yang anak hadapi.
Sebaliknya, ibu bapa harus memikirkan langkah yang perlu diambil sebelum menjalani sesi ujian penilaian.
Pertama, ibu bapa harus memastikan mereka memahami sebab utama mengapa mereka mengambil keputusan untuk menghantar anak mereka bagi ujian penilaian.
Ia bukanlah kerana ingin menilai kepandaian anak itu lantas menjadi penyebab untuk ibu bapa lebih menyayangi anak itu atau mencari ‘kesilapan’ anak itu dan disusuli dengan timbunan buku tambahan dan sesi tuisyen.
Kedua, ibu bapa perlu memastikan mereka bersedia menerima keputusan ujian penilaian tersebut.
Mereka perlu bersedia mendengar penjelasan daripada pakar dan bukan menafikan keputusan hanya kerana tidak dapat menerima hakikat.
Ketiga, mereka juga harus memberitahu si anak yang akan menjalani ujian penilaian tersebut.
Bagi kanak-kanak yang sudah boleh memahami, pastikan mereka mendapat penjelasan yang tepat kenapa mereka perlu menjalani ujian penilaian itu.
Ibu bapa boleh meyakinkan anak bahawa apa juga keputusan daripada ujian penilaian itu tidak akan menjejas kasih sayang yang diberi.
Ia bukanlah kayu ukur bagi menentukan sama ada mereka adalah anak yang baik atau sebaliknya.
Tekankan kepada mereka bahawa ujian penilaian adalah untuk mengetahui bagaimana guru, ibu bapa dan anggota keluarga yang lain dapat membantu mencapai potensi mereka.
Ibu bapa juga boleh menjelaskan bahawa setiap kanak-kanak ada cara belajar yang berbeza.
Maka itu, amat perlu bagi ibu bapa mengetahui apakah kekuatan dan kelemahan mereka supaya dapat memperbaiki diri dengan cara pembelajaran yang sesuai.
Terdapat pelbagai bantuan yang tersedia di sekolah untuk pelajar yang mengalami masalah pembelajaran khusus seperti disleksia, diskalkulia, masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) dan sebagainya.
Yakinkan si anak bahawa ibu bapa akan sentiasa bersama mereka melalui masa-masa mencabar ini dan mereka tidak bersendirian.
Bagi kanak-kanak yang masih kecil dan belum memahami tentang sesi ujian penilaian yang akan mereka hadiri, ibu bapa harus membuat penyediaan yang lebih menyeluruh.
Ramai kanak-kanak mempunyai keresahan perpisahan atau ‘separation issue’ daripada ibu bapa semasa ujian penilaian kerana berasa bimbang apabila berada di tempat baru.
Golongan pakar seperti ahli psikologi, ahli terapi pertuturan, ahli terapi tugasan dan ahli terapi pendidikan ingin melihat dan menjalankan ujian tertentu tanpa kehadiran ibu bapa.
Ia berlandaskan maklumat sulit berhubung bahan-bahan ujian yang digunakan serta kepentingan respons yang diberikan oleh anak tanpa tekanan dan sumbangan idea daripada ibu bapa semasa sesi ujian penilaian itu dijalankan.
Apabila anak tidak bersedia – menangis tanpa henti, tidak dapat melepaskan tangan atau pelukan ibu atau ayah dan tidak tenang – ia akan menjejas sesi ujian penilaian tersebut.
Ia mengakibatkan golongan pakar meminta agar sesi ujian penilaian ditangguhkan ke hari lain.
Jika anak ada masalah ‘berpisah’, ibu bapa boleh mengadakan beberapa sesi latihan dengan cuba membawa anak ke rumah anggota keluarga yang lain.
Mereka boleh meminta bantuan daripada saudara-mara lain tentang apakah yang ingin dilakukan.
Ibu bapa boleh cuba meninggalkan anak di rumah adik-beradik atau pak cik dan mak cik.
Mereka boleh membekalkan barang permainan atau buku kegemaran. Lakukannya beberapa kali agar anak dapat pengalaman ‘ditinggalkan’.
Memang tidak mudah dan anak mungkin menangis atau berteriak pada mulanya.
Namun, yang penting mereka rasa selamat apabila mereka ada barang yang mereka kenal.
Terdapat juga sesi ujian penilaian bersama ibu bapa.
Golongan pakar akan menanyakan soalan untuk memahami latar belakang keluarga dan anak mereka dengan terperinci.
Ibu bapa perlu memastikan agar respons yang diberikan adalah berdasarkan pemerhatian ibu bapa, perkongsian guru dan pengalaman mereka bersama si anak semasa bermain, belajar, beriadah dan sebagainya.
Saya tekankan perkara ini kerana melalui pengalaman, ada ibu bapa yang memberikan respons mereka berdasarkan apa yang ingin mereka lihat atau harapkan daripada anak.
Saya dan ahli terapi lain sering melalui cabaran apabila ibu bapa akan menyatakan yang anak mereka boleh melaksanakan sesuatu tugas seperti berkongsi mainan atau boleh menjawab soalan diberikan.
Hakikatnya, ini merupakan perkara yang mereka mahu si anak lakukan tetapi masih belum boleh lakukan.
Ibu bapa perlu mendengar dan memahami apakah yang disampaikan oleh pakar.
Apa jua keputusannya, ibu bapa harus mengambil masa untuk berbincang pilihan terbaik bagi anak supaya dapat mencapai potensi sebenar mereka.
Penulis merupakan mantan guru dan kauselor di sekolah rendah dan kini konsultan kanan pendidikan di MindChamps Allied Care. Beliau mempunyai pendidikan khusus dan pengalaman luas dalam bidang pendidikan khas. Beliau juga merupakan ahli lembaga pengarah di SGEnable.
“
Ibu bapa boleh meyakinkan anak bahawa apa juga keputusan daripada ujian penilaian itu tidak akan menjejas kasih sayang yang diberi. Ia bukanlah kayu ukur bagi menentukan sama ada mereka adalah anak yang baik atau sebaliknya. Tekankan kepada mereka bahawa ujian penilaian adalah untuk mengetahui bagaimana guru, ibu bapa dan anggota keluarga yang lain dapat membantu mencapai potensi mereka.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg