Langkah cegah jangkitan Covid-19 selari budaya Melayu, ajaran agama, Berita Wacana - BeritaHarian.sg
Subuh
5:43
Syuruk
7:01
Zuhur
1:07
Asar
4:19
Maghrib
7:11
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Wacana3

PANDANGAN

Langkah cegah jangkitan Covid-19 selari budaya Melayu, ajaran agama

Apr 19, 2020 | 05:30 AM

Pemerintah telah mengeluarkan arahan dan panduan berkaitan cara menangani penularan pandemik koronavirus Covid-19. Apakah sebahagian panduan dan arahan itu? Apakah ia benar-benar janggal daripada perspektif amalan budaya orang Melayu dan nilai Islam?


SEDANG koronavirus Covid-19 terus menular di serata dunia, termasuk Singapura, pihak penguasa kesihatan di negara masing-masing mengeluarkan pelbagai arahan dan panduan sebagai langkah mengawal penularan itu.

Semua langkah itu - walaupun ada orang berasa kurang selesa disebabkannya dan ia tidak sama dengan amalan harian sebelum Covid-19 - sememangnya perlu.

Di Singapura, Kementerian Kesihatan (MOH) secara tekal mengeluarkan arahan/panduan itu sebagai peringatan kepada warga akan pentingnya langkah itu.

Antara arahan/panduan yang sering disiarkan ialah:

LINDUNGI WARGA EMAS

- Warga emas dilaporkan paling berisiko mempunyai komplikasi kesihatan jika dijangkiti Covid-19.

Di Singapura, rata-rata mangsa yang meninggal dunia adalah golongan warga emas dengan mangsa berusia antara 64 tahun dengan 90 tahun.

Di peringkat sejagat, seperti di Italy dan Sepanyol, lebih ramai pesakit yang meninggal dunia merupakan warga emas.

Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, menegaskan orang ramai perlu lebih berhati-hati semasa berinteraksi dengan warga emas, dengan mereka yang kurang sihat dinasihati menjauhi warga emas.

Antara panduan lain termasuk warga emas harus duduk di rumah seberapa boleh, dan elakkan pergi ke pasar.

Jika perlu membeli barangan keperluan, sebaiknya minta anggota keluarga lebih muda membelikannya.

Ini peluang besar buat golongan muda menabur bakti, sejajar dengan budaya Melayu dan nilai Islam.

Berbakti kepada warga emas, baik ibu bapa sendiri mahupun jiran tetangga, merupakan amalan yang amat digalak.

Malah, berkhidmat kepada ibu bapa satu kewajipan dalam agama.

Jika anak muda tahu ada jiran warga emas yang memerlukan bantuan ini, mereka boleh menemui jiran itu, bertanya khabar, dan menawarkan bantuan membelikan barang keperluannya.

Selain bantuan membeli barangan, langkah bertanya khabar merupakan amalan merapatkan silaturahim yang digalak dalam Islam.

Dalam masa sukar pandemik Covid-19, sikap mengambil tahu keadaan warga emas amatlah baik dan sejajar dengan galakan pemerintah agar warga sentiasa saling 'dekat di hati' walau 'jauh di mata'.

AMAL JARAK SELAMAT

- Amalan ini sering diuar-uarkan sebagai antara langkah perlindungan asas tetapi penting dalam mencegah jangkitan Covid-19.

Langkah 'jauh di mata' ini akan mencegah virus itu berpindah dari seorang manusia ke seorang lagi - satu tindakan mudah namun amat berkesan untuk melawan penularan virus itu.

Akhbar ini pernah melaporkan mengenai majlis yang dihadiri ramai orang yang akhirnya menjadi 'acara penularan besar' yang menjejas bukan hadirin acara itu sahaja, bahkan anggota keluarga mereka yang turut dijangkiti Covid-19.

Oleh itu, perlu amalkan jarak selamat - jarak lebih satu meter antara satu sama lain, tiada bersentuhan, tiada bersalaman.

Cara bersalaman juga sudah ada perubahan dengan lebih ramai orang mengamalkan SalamMufti - tidak berjabat tangan, dan sekadar meletak tangan kanan di dada kiri.

Juga tiada persoalan lagi mengenai bersalam antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram.

Malah, jarak selamat satu meter ini juga membantu mengurangkan risiko 'berlanggar' mereka yang bukan mahram, dan dapatlah kita menjaga wuduk dengan lebih selamat.

DUDUK DI RUMAH

- Orang ramai turut digalak duduk di rumah sebagai satu amalan tanggungjawab sosial bersama.

Ini khususnya buat mereka yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), apalagi yang dikenakan Perintah Kuarantin (QO) - kededuanya bagi tempoh 14 hari.

Ini demi mengurangkan risiko penularan Covid-19 daripada dua golongan tersebut.

Buat mereka yang tidak dikenakan sebarang arahan, amalan duduk di rumah juga amat digalak untuk mengurangkan risiko mereka terkena jangkitan.

Malah, langkah itu juga dapat membolehkan warga meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga di rumah, sekali gus merapatkan hubungan sesama anggota keluarga.

Mungkin sebelum pendemik ini, ramai keluarga hanya dapat berkumpul satu atau dua hari sahaja semasa hujung minggu.

Namun kini lebih banyak masa boleh diluangkan bersama.

Duduk di rumah juga boleh membolehkan seseorang meluangkan lebih banyak masa untuk membaca dan melakukan ibadah.

Ini termasuk membaca buku fiksyen dan bukan fiksyen; membaca buku agama yang dapat menambah ilmu agar tidak terpesong dengan ajaran sesat dan ekstrem; membaca dan menelaah kitab suci Al-Quran, umumnya demi menjadi Muslim dan warga lebih baik.

Kesemua ini akan membawa kesan baik bukan kepada individu itu sahaja, bahkan keluarganya dan negara.

Akhir kata, arahan dan panduan yang diberikan pihak berkuasa akan hanya berkesan sekiranya semua warga bekerjasama dan bersatu hati untuk mengamalkannya dalam usaha memerangi penularan Covid-19.

Yakinlah, Singapura akan dapat mengharungi krisis ini dengan jaya.

  • Penulis ialah wartawan kanan Berita Harian/Berita Minggu.

Ini peluang besar buat golongan muda menabur bakti, sejajar dengan budaya Melayu dan nilai Islam. Berbakti kepada warga emas, baik ibu bapa sendiri mahupun jiran tetangga, merupakan amalan yang amat digalak. Malah, berkhidmat kepada ibu bapa satu kewajipan dalam agama. Jika anak muda tahu ada jiran warga emas yang memerlukan bantuan ini, mereka boleh menemui jiran itu, bertanya khabar, dan menawarkan bantuan membelikan barang keperluannya.
- Penulis, mengenai langkah anti-Covid-19 yang menggalak orang lebih muda membantu membelikan barang keperluan warga emas.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map