Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lusuh sendi dan tulang lumrah bagi warga emas

Nov 8, 2021 | 5:30 AM
BERI PENJELASAN: Dr Leo menjelaskan kepada pesakit mengenai isu lutut.- Foto DR SEAN LEO
BERI PENJELASAN: Dr Leo menjelaskan kepada pesakit mengenai isu lutut.- Foto DR SEAN LEO -

Osteoartritis adalah sesuatu yang biasa menjejas orang tua. Ia adalah penipisan lapisan sendi dan tulang dan biasanya berlaku dalam usia pertengahan tahun dan selanjutnya. Ini menyebabkan kesakitan dan kekejangan terutamanya pada sendi pinggul, lutut dan ibu jari. Secara turun temurun, osteoartritis dikaitkan dengan penipisan dan lusuh pada sendi akibat kerja berat yang dilakukan bertahun lamanya. Osteoartritis yang melibatkan lutut lebih cenderung bermula secara tersembunyi dan terus terbentuk bertahun secara perlahan, sehingga mengakibatkan kesakitan yang berterusan dan bengkak sendi lutut. Walaupun keadaan ini tidak mengancam nyawa, ia menjejas kualiti kehidupan ramai orang dengan menjejas kegiatan harian mereka. Walaupun osteoartritis mungkin tidak dapat dicegah sepenuhnya, terdapat beberapa langkah mudah yang dapat melambatkan perkembangannya.

BERJUMPA DOKTOR PADA PERINGKAT AWAL UNTUK MENDAPATKAN DIAGNOSIS YANG TEPAT

Satu sikap yang biasa dikesan dalam kalangan penduduk warga emas ialah mengelak berjumpa doktor melainkan amat perlu. Oleh itu, walaupun selepas mengalami kecederaan lutut seperti jatuh atau terseliuh, ramai orang tidak mahu mendapatkan rawatan perubatan selagi mereka masih mampu berjalan (atau berjalan tempang).

Keadaan ini mungkin memudaratkan kerana mungkin terdapat beberapa struktur dalaman yang rosak. Dengan membiarkannya tanpa rawatan, penipisan dan lusuh pada lutut boleh beransur teruk dengan pantas.

Hari ini, terdapat pemeriksaan radiologi seperti MRI (pengimejan resonans magnetik) yang boleh mendiagnosis kecederaan pada lutut dengan tepat. Ini adalah pemeriksaan yang tidak menyakitkan dan tidak invasif yang boleh mengesan kecederaan yang berterusan dengan cepat dan tepat, dan membolehkan rawatan segera. Individu juga boleh dididik mengenai aktiviti yang harus mereka elakkan untuk mencegah gangguan atau kemudaratan.

MENGEKALKAN BERAT BADAN DAN BMI (INDEKS JISIM TUBUH) YANG SIHAT

Berat badan yang sihat penting dalam mengekalkan kesihatan sendi. Berat badan berlebihan menambah tekanan mekanikal kepada sendi.

Saintis mendapati bahawa peningkatan kandungan lemak dalam badan juga meningkatkan bahan kimia yang beredar (dipanggil pengantara keradangan) yang menyebabkan sendi seluruh badan menjadi radang, mempercepatkan kemudaratannya.

Oleh itu, mengekalkan BMI yang sihat akan mengurangkan risiko tekanan dan keradangan sendi.

UBAHSUAI SENAMAN SEJAJAR KEADAAN FIZIKAL

Kekuatan dan fungsi otot penting dalam pergerakan sendi kerana otot memberikan kestabilan pada sendi lutut dan bertindak sebagai penyerap kejutan apabila bergerak.

Ini adalah sebab mengapa fisioterapi dan latihan terkawal penting dalam menguruskan osteoartritis.

Walaupun bersenam dengan cara biasa mungkin sukar disebabkan oleh kesakitan sendi, ada cara lain untuk mengubahsuai senaman tertentu untuk disesuaikan dengan orang yang mengalami osteoartritis.

Sekiranya tempat tinggal anda ada kolam renang, maka salah satu latihan yang paling mudah adalah berjalan kaki dalam kolam renang.

Sebaiknya, kedalaman air perlu pada paras pinggang. Keapungan air akan membantu menyokong berat badan anda sementara rintangan berjalan di dalam air memberikan senaman pada otot.

Latihan ini juga boleh menjadi senaman kardio yang berkesan, yang membantu mengawal berat badan. Penuaan mungkin memudaratkan sendi tetapi kita boleh mengambil langkah-langkah mudah untuk melambatkannya.

Sekiranya anda terjejas akibat sakit lutut, berbincanglah dengan pakar profesional perubatan untuk meneroka kaedah campur tangan perubatan atau pembedahan yang sesuai untuk meningkatkan kualiti hidup anda. Jangan biarkan usia mengawal keadaan.

  1. Penulis merupakan Pakar Bedah Ortopedik dan Konsultan Pelawat di Hospital Besar Changi. Artikel ini kali pertama diterbitkan dalam majalah dalam talian Echo.

Soal jawab kesihatan

Kemukakan sebarang pertanyaan tentang kesihatan anda kepada kami. Doktor-doktor Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) yang bertauliah dan berpengalaman sedia menjawab segala persoalan. Kemukakan soalan anda kepada: nizam@sph.com.sg

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg