Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa dadah bukan hanya pesalah, malah lebih daripada itu

Jun 30, 2024 | 5:30 AM
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri) bersama para tetamu di majlis bagi memperingati mangsa dadah yang diadakan pada 17 Mei 2024 di Ngee Ann City, Civic Plaza
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri) bersama para tetamu di majlis bagi memperingati mangsa dadah yang diadakan pada 17 Mei 2024 di Ngee Ann City, Civic Plaza - Foto MHA

Apabila kita bercakap tentang penyalahgunaan dadah, kita sering memberi tumpuan kepada orang yang menyalahgunakannya dan bagaimana ia memusnahkan kehidupan mereka.

Kita jarang mendengar kisah tentang orang-orang yang tersayang – mereka yang menderita angkara pilihan salah yang dibuat oleh si penagih dadah tersebut.

Sepanjang saya berkhidmat di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), saya telah berjumpa dengan ramai keluarga yang terjejas akibat penyalahgunaan dadah.

Terdapat pasangan yang hidup dalam ketakutan terhadap pasangan mereka, anak-anak yang melalui zaman kanak-kanak yang traumatik serta ibu bapa yang dicengkam rasa bersalah dan malu.

Mereka mungkin menderita dalam diam, tetapi bagi mereka, kesan penyalahgunaan dadah adalah nyata.

Itulah sebabnya kami telah bekerjasama dengan rakan-rakan kami dari Jawatankuasa Antara Kementerian bagi Pencegahan Dadah untuk Belia bagi melancarkan Hari Peringatan Mangsa Dadah yang julung-julung kalinya diadakan pada 17 Mei 2024.

Acara ini diadakan untuk menyebar mesej kepada warga Singapura bahawa penyalahgunaan dadah bukan tanpa mangsa.

Sebaliknya, kita harus ingat kesan penyalahgunaan dadah yang meluas dan memudaratkan, bukan sahaja kepada pesalah guna, malah orang tersayang dan sekeliling mereka.

Hari Memperingati Mangsa Dadah akan disambut pada Jumaat ketiga Mei setiap tahun.

Saya ingin berkongsi dengan anda dua kisah yang meninggalkan kesan mendalam dan berkekalan kepada saya.

Bolehkah anda mendengar jeritan sepi mereka?

Cik Amy (bukan nama sebenar) ialah anak kepada seorang penagih dadah.

Saya bertemu dengannya baru-baru ini. Beliau berkongsi dengan saya bahawa zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan kenangan pahit seorang bapa yang kejam yang ketagihannya telah menjejas semua orang di sekelilingnya. Bapa Cik Amy sentiasa meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah.

Apabila dia tidak dapat menghisap dadah, dia menjadi kasar, baik dari segi kata-kata mahupun fizikal.

Memandangkan Cik Amy dan adik-beradiknya tidak tahu bila bapa mereka boleh berubah menjadi kasar atau agresif, mereka cuba sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripadanya.

Tetapi itu tidak selalu terjadi dan mereka pasti akan mengalami keganasan bapa mereka.

Hari ini, walaupun Cik Amy tahu bahawa bapanya tidak lagi boleh menyakitinya lagi (kerana dia telah meninggal dunia), kenangan pahit masa lalu di zaman kanak-kanaknya yang traumatik masih menghantuinya.

Bapanya pernah berkata pengambilan dadahnya bukan urusan mereka.

Dia salah – dadah telah memusnahkan seluruh keluarganya.

Izinkan saya berkongsi lagi satu cerita dengan anda.

Saya berkenalan dengan Cik Siti (bukan nama sebenar) semasa menghadiri acara yang dianjurkan untuk keluarga yang terjejas akibat hukuman penjara.

Cik Siti mempunyai seorang adik lelaki dan mereka sangat rapat semasa kecil.

Ibu bapa mereka sering tiada di rumah, dan sebagai kakak, Cik Siti secara semula jadi mengambil peranan sebagai penjaga.

Apabila adiknya mula menyalahgunakan dadah ketika remaja, hati Cik Siti menjadi hancur berkecai dan dicengkam rasa bersalah.

Apabila adiknya mempunyai anak pada usia 17 tahun, Cik Siti yang ketika itu baru berusia 21 tahun terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak adiknya walaupun beliau sendiri tidak kecukupan untuk perbelanjaan hariannya.

Adiknya tetap tidak bertaubat, malah sentiasa mengancam jika dia tidak diberi wang untuk membeli dadah.

Si adik menggunakan anaknya sendiri sebagai ‘tebusan’. Hari ini, adiknya masih keluar masuk penjara.

Akibatnya, Cik Siti telah terpaksa mengorbankan impian dan cita-citanya sendiri demi menyara dan membesarkan anak adiknya.

Malangnya, cerita sebegini bukanlah satu perkara yang asing.

Saya telah menyaksikan terlalu banyak keluarga yang bergelut dengan masalah kewangan yang teruk angkara penagihan dadah orang yang mereka sayangi.

Saya telah melihat keluarga berpecah belah angkara perbezaan yang tidak dapat diatasi dengan penagih dan orang yang memihak kepada mereka.

Terdapat juga keluarga yang telah mengalami tekanan fizikal dan emosi yang besar semasa mereka mengemudi kehidupan mereka sambil menjaga penagih.

Sesetengah kanak-kanak, akibat terdedah kepada penyalahgunaan dadah dalam keluarga, akhirnya turut terjebak sama.

Atas sebab-sebab ini, Singapura perlu berdiri teguh dan terus mengambil sikap tegas terhadap dadah.

Singapura telah melangkah jauh

Singapura telah melangkah jauh dalam memastikan masalah penyalahgunaan dadah kita terkawal.

Ini dicapai melalui pendekatan berbilang serampang yang merangkumi pendidikan pencegahan dadah, undang-undang yang ketat, penguatkuasaan yang tegas dan pemulihan secara intensif dan holistik.

Kita mesti terus mempunyai undang-undang yang keras – terutamanya terhadap pengedar dadah – demi melindungi warga Singapura, lebih-lebih lagi golongan belia kita, daripada ancaman dadah.

Usaha pencegahan dadah di setiap peringkat adalah penting dan terdapat banyak program dan aktiviti kesedaran dadah untuk melibatkan belia kita serta orang ramai.

Sebagai contoh, setiap Ramadan, kempen Dadah Itu Haram menganjurkan acara jangkauan Ramadan yang dipanggil ‘Date Your Loved Ones Today’ untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan untuk menggalakkan hubungan yang erat di kalangan ahli keluarga.

Saya sentiasa menyertai sukarelawan dan pegawai kami di penglibatan ini. Seringkali, warga Singapura akan berkongsi dengan saya bahawa mereka menghargai usaha MHA dalam mendidik warga Singapura tentang bahaya penyalahgunaan dadah.

Mereka menyatakan sokongan padu mereka terhadap dasar bebas dadah kami.

Pastikan Singapura bebas dadah

Saya amat berterima kasih dan menghargai sokongan padu masyarakat dalam usaha kita untuk menjadikan Singapura bebas dadah. Setiap daripada kita mempunyai peranan dalam perjalanan ini.

Saya menggesa anda untuk melibatkan kanak-kanak dan belia kita, membantu memahami isu dan cabaran mereka, serta mendidik mereka tentang akibat berbahaya daripada penyalahgunaan dadah.

Marilah kita teguhkan semangat dan bersatu hati dalam pendirian kita menentang dadah, untuk diri kita dan keluarga kita.

Penulis ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg