Subuh
5:42
Syuruk
7:05
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:31
Wacana

SUSULAN RAHAT PEMIMPIN SINGAPURA-MALAYSIA

Masagos yakin S'pura-M'sia capai hasil saling manfaat

Rahat juga buka peluang temu Menteri Ehwal Islam Malaysia, bincang cara galak kesederhanaan dalam Islam
Apr 11, 2019 | 05:30 AM

MENTERI Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, melahirkan keyakinan bahawa Singapura dan Malaysia, yang mempunyai ikatan sejarah kuat dan keinginan menghasilkan yang terbaik bagi rakyat masing-masing, akan dapat mencari jalan ke depan bagi manfaat bersama.

Dalam kiriman di Facebook malam kelmarin, Encik Masagos menambah bahawa sebagai negara jiran, Malaysia dan Singapura berkongsi banyak cabaran yang sama dan telah bekerja rapat mencari huraian yang saling menguntungkan.

Encik Masagos merupakan antara menteri dalam delegasi pimpinan Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang menyertai Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia Kesembilan di Putrajaya kelmarin.

Encik Masagos Zulkifli berkata Encik Lee dan rakan sejawatannya Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengulangi komitmen kededua negara supaya meningkatkan hubungan dua hala berasaskan kesaksamaan dan semangat saling menghormati.

Di rahat tersebut, Encik Lee turut menekankan bahawa Perjanjian Air 1962 merupakan dokumen pengasas bagi Singapura dan Malaysia dan kededua negara mempunyai tanggungjawab undang-undang bagi mematuhi perjanjian tersebut.

Dalam kiriman Facebooknya, Encik Masagos menambah:

"Kami juga menyuarakan kebimbangan kami mengenai pencemaran yang berlaku di Sungai Johor serta hasil jangka panjangnya (sumber air tersebut) di Rahat itu.

"Kami bersetuju bahawa ia menjadi kepentingan bersama kami supaya bekerjasama memastikan bekalan air yang mampan bagi kedua-dua negara.

"Kami akan terus memahami dengan lebih lanjut perspektif dan kebimbangan tersebut. Ini termasuk mengadakan dialog tentang harga air, dan jika perlu, penyelesaian pertikaian melalui timbang tara."

Encik Masagos juga berkata Encik Lee turut melahirkan penghargaan Singapura kepada Malaysia atas kerjasama berterusan mengenai isu-isu alam sekitar rentas sempadan, termasuk pemantauan mutu laut dan udara serta pergerakan sisa rentas sempadan.

"Kami akan terus meningkatkan keupayaan menangani bidang keprihatinan bersama, dan berkongsi maklumat serta langkah mitigasi,

"Saya yakin dengan hubungan bersejarah kita yang kuat dan matlamat bersama mahu melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat kita, kita akan dapat bergerak ke hadapan dan mencapai hasil yang saling bermanfaat," kata Encik Masagos.

Lawatan ke Putrajaya itu juga peluang bagi Encik Masagos mengeratkan hubungan kerja dengan rakan sejawatannya di Malaysia.

Di luar Rahat itu, Encik Masagos Zulkifli, yang juga Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mengulas tentang pertemuan itu, dalam kiriman Facebook yang berasingan, Encik Masagos berkata beliau dan Dr Mujahid bersetuju tentang peri pentingnya bagi masyarakat berbilang agama mengekalkan keharmonian dan kepercayaan dalam masyarakat berbilang agama.

"Kita juga perlu saling menghormati antara satu sama lain dan mencari peluang membina kepercayaan dan memperluaskan ruang umum," kata Encik Masagos.

Dalam pertemuan itu kededua pemimpin itu juga mengadakan perbincangan tentang landskap Islam semasa dan bertukar-tukar pandangan tentang cara menggalak kesederhanaan dalam Islam di negara masing-masing.

"Kami juga bertukar pandangan tentang cabaran yang dihadapi masyarakat kami dan bersetuju mencari bidang kerjasama dalam ehwal Islam," kata Encik Masagos.


ANTARA YANG DICAPAI

- Bentuk jawatankuasa bagi mulakan rundingan tentukan sempadan kelautan dalam tempoh sebulan

- Lakar perjanjian bagi tunda Sistem Gerak Cepat (RTS) Singapura-Johor Bahru. Tunda RTS selama enam bulan bermula 1 April

- Perkenal instrumen Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) di Lapangan Terbang Seletar bagi gantikan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) yang ditarik balik Singapura. Malaysia juga gantung Kawasan Larangan (RA) di Pasir Gudang

- Bentuk Jawatankuasa Peringkat Tinggi bagi semak aturan udara Surat Perjanjian Operasi (OLA) yang ditandatangani pada 1974

- Peguam Negara kededua negara akan bincang kedudukan berbeza dalam menyemak harga air di bawah Perjanjian Air 1962

- Kenal-pasti langkah tingkatkan air di Sungai Johor serta melindungi sekitaran dan mutu air

- Perkenal kad kombi oleh Ezy-Link dan Touch 'n' Go yang boleh digunakan di Singapura dan Malaysia. Kad ATM Nets juga boleh digunakan di Malaysia, manakala kad debit MyDebits dapat digunakan di Singapura

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian