Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

WACANA

Masyarakat Islam yang yakin dan bingkas

PANDANGAN
Jan 01, 2024 | 05:31 AM



“Kami tidak akan tinggalkan bumi ini. Walau dibadai bom and roket, ini rumah kami. Ini ujian kami. Ini bahagian kami. Kalau kami hilang harapan pada manusia, kami tidak pernah hilang harapan pada Allah.”


Kata-kata ini keluar daripada seorang kanak-kanak Gaza yang berhadapan dengan peperangan dan kehancuran.

Keyakinan seumpama ini lahir daripada jiwa yang beriman. Ia menggambarkan nilai dan falsafah hidup. Apatah lagi apabila ia keluar daripada seorang kanak-kanak.

Jiwa seumpama ini lahir daripada konteks masyarakat yang melihat ujian dan kesusahan sebagai peluang menguatkan keimanan dan daya bingkas atau resilience.


MAKNA KEBINGKASAN

Kebingkasan adalah kemampuan melantun dan bangkit semula daripada sesuatu kesusahan, penderitaan, kegagalan, dan konflik.

Lebih daripada hanya bangkit semula kepada keseimbangan dalam hidup, daya bingkas dilihat sebagai peluang untuk adaptasi, berkembang dan membangun.

Peluang berkembang dan membangun bermakna daya bingkas bukanlah satu tahap untuk dicapai, tetapi peluang ketika berhadapan dengan kesusahan dan kegagalan untuk mengembangkan potensi dan kemampuan untuk menjadi lebih baik.

UJIAN SESUAI POTENSI

Dengan Hikmah Allah Yang Mencipta, Dia tahu kemampuan dan potensi kita sebagai manusia.

Daya melantun dan bangkit semula adalah potensi dalam diri kita semua, dan kerana itu Allah tegaskan bahawa Dia tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Ketika Allah menegaskan hakikat daya bingkas dan kemampuan ini untuk menanggung ujian, Allah ajarkan doa.

Doa ini merakamkan keimanan dan keyakinan. Jiwa yang mengakui kelemahan diri. Namun, jiwa yang insaf dan mampu bangkit semula.

Ketika berhadapan dengan ujian dan kesusahan, ia berdoa, “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami. Ampunilah kami. Dan rahmatilah kami. Engkaulah Pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir (dan tidak bersyukur).” (Surah Al-Baqarah: 286).


Maka, ujian dalam kehidupan adalah peluang, peluang kembali kepada keseimbangan. Bahkan, peluang bangkit semula, berkembang dan membangun, lebih kuat dan baik daripada sebelumnya.

Ujian kesusahan dan kegagalan adalah keadaan yang perlu untuk mengasah daya bingkas ini.

Dengan Hikmah Allah, Dia menguji seseorang dan sesebuah masyarakat sesuai mengikut potensi dan kemampuan.

FAKTOR DAYA BINGKAS

Apakah faktor-faktor yang membantu mengembangkan dan mengukuhkan daya bingkas ini?

Mengikut golongan pakar psikologi yang membuat kajian dalam bidang daya bingkas, antara faktornya adalah kejelasan visi dan tujuan.

Ini adalah kemampuan membawa gambaran masa depan ke masa sekarang, yang kemudian memberi motivasi dan kekuatan untuk melalui ujian masa kini demi mencapai masa hadapan.

Sebagai contoh, ketika orang Islam di Makkah berhadapan dengan penindasan yang dahsyat, seorang sahabat, Khabbab ibn al-Arat, mengadu kepada Rasulullah saw sedang Baginda di bawah naungan Kaabah.


Khabbab berkata: “Ya Rasulullah, tidakkah kita berada di atas jalan yang benar? Tidakkah engkau memohon pertolongan daripada Allah untuk kami? Tidakkah engkau berdoa kepada Allah untuk kami?”

Baginda menjawab: “Mereka sebelum kamu digali dan dibenam ke tanah. Kemudian digergaji dan dibelah dua. Mereka disisir besi sehingga terpisah daging dan tulang. Ini tidak memalingkan mereka daripada agama mereka. Demi Allah, Dia akan menyempurnakan perkara ini sehingga seorang pengembara berjalan antara San’a’ ke Hadramaut (di Yaman), dia tidak takut dengan apa pun kecuali kepada Allah, atau serigala yang menerkam gembalaannya. Akan tetapi, kalian tergesa-gesa.”


Inilah visi dan masa depan yang dilihat Rasulullah saw. Segala ujian yang dilalui adalah peluang. Peluang mengukuhkan kebaikan dan keihsanan. Kondisi untuk Baginda dan umat Islam bangkit semula.


Maka itu, ketika umat Islam kembali membuka kota Makkah dengan kemenangan, daya bingkas dan visi Rasulullah saw tidak mendorong Baginda membalas dendam dan melepaskan marah.


Sebaliknya, Rasulullah mencerminkan keihsanan, memaafkan orang Makkah dan mengumumkan pembebasan kepada semua dengan pengumuman masyhur Baginda, “kamu semua bebas (tulaqa’)”.


NILAI MENGUKUH KEBINGKASAN

Antara faktor kebingkasan adalah sistem nilai yang kukuh. Sistem nilai memberi kekuatan, ketekalan, dan fokus kepada prinsip serta tujuan.

Nilai mencorak minda, tindakan dan membantu memproses emosi. Ini membantu seseorang dan sesebuah masyarakat bangkit daripada kesusahan dan kegagalan.

Kajian-kajian ilmiah psikologi menunjukkan kaitan rapat antara agama, nilai-nilai keagamaan dengan kesihatan mental dan kecekalan.

Ketika menyampaikan khutbah Hari Natal baru-baru ini di Baitulaham, Palestin, dalam konteks konflik dan peperangan di Gaza, Paderi Dr Munther Isaac menegaskan dengan yakin.

Katanya: “Kami baik-baik sahaja. Walaupun kami telah menerima pukulan yang besar, kami rakyat Palestin akan pulih. Kami akan bangkit semula. Kami akan berdiri semula dari tengah-tengah kehancuran, sebagaimana yang selalu kami lakukan sebagai rakyat Palestin. Walaupun ini mungkin merupakan pukulan terbesar yang pernah kami terima dalam masa yang lama, tetapi kami akan baik-baik sahaja.”

Pada 2023, masyarakat di Palestin tidak menyambut Hari Natal seperti tahun-tahun lalu, ketika keluarga, teman-teman sesama insan mereka hadapi pukulan dahsyat di Gaza.

Pendirian mereka mencerminkan perpaduan sosial, kebersamaan kemanusiaan, dan keyakinan bahawa mereka akan bangkit semula.

Masyarakat di Palestin, sama ada di Gaza atau Tebing Barat, telah lama berhadapan dengan kezaliman penindasan dan peperangan.

Masyarakat yang diuji dengan kesusahan dan penderitaan begini telah membangun dan mengasah daya bingkas mereka, sebagai individu dan masyarakat.

Pemikiran kita mungkin tidak dapat menjangkau dan memahami ketabahan mereka. Namun, inilah Hikmah Allah Yang Mencipta, menjadi inspirasi kepada dunia.

KESIMPULAN

Kehidupan adalah ujian. Ujian adalah peluang. Peluang mengasah daya bingkas individu dan masyarakat.

Sebagai masyarakat Islam Singapura, kita juga telah melalui masa-masa susah dan kegagalan. Ujian kita tidak sama dengan masyarakat yang berhadapan dengan penindasan dan peperangan.

Namun, semua kisah-kisah kemanusiaan ini menjadi inspirasi, contoh teladan, dan peringatan kepada kita.

Kita tidak meminta diuji dengan kesusahan dan penderitaan. Namun, jika dan apabila ia berlaku, ia adalah peluang mengasah kebingkasan.

Lebih penting lagi mengukuhkan keimanan dan keyakinan. Inilah yang kita pelajari dari 2023, dan dalam kita melangkah ke 2024 dan seterusnya.

Masyarakat Islam yang yakin dan bersatu bingkas dan bangkit daripada segala ujian.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >