Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

ISU 377A

Pendirian berprinsip Muslim SG dipandu nasihat jelas Mufti

Aug 28, 2022 | 05:30 AM



UNDANG-UNDANG negara boleh berubah, namun ajaran dan nilai agama Islam kekal sama.



Kenyataan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir itu, semasa memberi respons kepada pengumuman pemerintah untuk memansuhkan Seksyen 377A, mendasarkan dengan jelas pendirian masyarakat Islam di sini.



Sedang kita memahami tujuan pemerintah memansuhkan undang-undang yang menetapkan hubungan seks antara lelaki sebagai satu jenayah, namun Muslim di sini terus menolak, bahkan tidak dapat menerima gaya hidup golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, queer (LGBTQ).



Pendirian ini juga dicerminkan menerusi irsyad atau nasihat yang dikeluarkan Pejabat Mufti sehari selepas Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, membuat pendedahan berkaitan rancangan memansuhkan Seksyen 377A di Rapat Hari Kebangsaan.



Irsyad tersebut menekankan: "Perubahan pada undang-undang negara tidak bermakna cara kehidupan dan pegangan kita akan turut berubah. Ajaran dan nilai-nilai agama tetap kekal sama. Masyarakat Islam perlu hidup dengan yakin, dipandu oleh prinsip-prinsip dan sistem nilai yang utuh".



Mengambil kenyataan Mufti dan Irsyad yang dikeluarkan pejabatnya itu, ia menggariskan dengan jelas pendirian masyarakat Islam di sini yang berprinsip - kita tidak dapat menerima gaya hidup golongan LGBTQ, namun pada masa yang sama, kita juga tidak menghukum mereka.



Khutbah baru-baru ini juga mengingatkan masyarakat Islam bahawa apabila seseorang melakukan perbuatan yang haram, ia tidak mengeluarkannya daripada Islam.



Perbuatan haram yang dilakukan itu tidak menghalangnya dari mendapat taubat dan rahmat dari Allah.



"Sebesar mana pun kesalahan dan dosa yang dilakukan, pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang ikhlas," menurut khutbah tersebut.



Justeru, dalam anggota masyarakat menolak dan tidak dapat menerima gaya hidup dan ideologi golongan LGBTQ ini, kita tidak boleh meminggirkan mereka.



Hakikatnya, mereka masih sebahagian daripada anggota masyarakat Islam di sini.



Pejabat Mufti, dalam Irsyadnya menarik perhatian, bahawa kemanusiaan seseorang dinilai dengan banyak perkara, bukan hanya orientasi seksualitinya.



Terdapat individu Muslim yang mengalami kesukaran dalam menyesuaikan kecenderungan seksualiti mereka dengan panduan dan tuntutan agama, tetapi kita harus menerima bahawa selagi mana seseorang beriman dan akur dengan tuntutan agama, beliau masih merupakan sebahagian daripada masyarakat Islam.



"Setiap Muslim perlu dipelihara kehormatan dan maruahnya. Kita perlu memastikan agar setiap Muslim tidak merasa tersingkir daripada agamanya disebabkan sikap kita terhadap mereka," kata Irysad Pejabat Mufti itu.



Justeru, apakah langkah selanjutnya bagi masyarakat Islam di sini, khususnya dalam interaksi dan hubungan dengan golongan LGBTQ yang beragama Islam?



Selain panduan daripada Mufti dan Irsyad tersebut, jawapannya juga terkandung dalam khutbah Jumaat tadi yang mengisahkan bagaimana Baginda Rasulullah saw menangani keadaan mencabar dengan cara yang penuh hikmah.



Menukil Hadis riwayat Imam Ahmad, khutbah itu berkongsi bagaimana seorang pemuda mendatangi Rasulullah meminta izin baginya untuk berzina.



Sedang para sahabat yang ada ketika itu mula mengherdiknya, Rasulullah bersabda:



"Adakah kamu reda perbuatan itu terhadap ibu, anak perempuan, kakak, dan mak cik kamu?"



Pemuda itu menjawab: "Tidak ya Rasulullah."



Sabda Rasulullah lagi: "Begitulah juga orang lain tidak reda kamu melakukan zina terhadap ahli keluarga mereka."



Rasulullah kemudian meletakkan tangannya ke dada pemuda itu dan mendoakan agar diampunkan dosanya, disucikan hatinya dan dipelihara kemaluannya.



Kisah itu menyerlahkan sikap penuh hikmah Baginda Rasulullah.



Hakikatnya, hukum agama Islam tidak boleh dikompromi. Perkara-perkara yang diharamkan tidak boleh dihalalkan, seperti yang jelas digariskan Mufti sebagai pendirian berprinsip kita.



Justeru, pendekatan Rasulullah itulah yang perlu kita contohi dalam menangani isu dan golongan LGBTQ ini.



Rasulullah sendiri tidak menghukum terus mereka yang terlibat dalam perbuatan dosa.



Justeru siapalah kita, sebagai insan biasa, untuk mengambil sikap menghukum.



Sebaliknya, masyarakat harus terus mendampingi, memberi teguran dan nasihat kepada golongan ini.



Ini sedang Majlis Ugama Islam Singapura dan pemimpin agama di sini, berusaha meningkatkan keupayaan golongan asatizah agar mereka dapat menyampaikan nilai dan ajaran agama kepada golongan ini, sambil memelihara maruah dan harga diri mereka.



Dalam isu ini, masyarakat Islam di sini beruntung kerana golongan pemimpin masyarakat dan agamawan, umumnya sealiran dalam pendirian berprinsip ini.



Namun, keadaan harmoni ini perlu dipelihara dengan rapi.



Apa juga desakan - dari mana-mana pihak - berpotensi merumitkan keadaan dan menyebabkan kita berpecah belah.



Inilah yang menjadi keprihatinan penganjur acara 'Protect Singapore Townhall', yang ditolak sesetengah anggota masyarakat LGBTQ.



Acara di Singapore Expo pada 23 Julai lalu dihadiri lebih 1,200 orang, bertujuan menggesa perlindungan bagi keluarga dan perkahwinan berhubung Seksyen 377A.



Ia dianjurkan Encik Jason Wong, ahli lembaga pengarah dan mantan pengerusi pertubuhan Kristian, Focus on the Family; dan Encik Mohamed Khair Mohamed Noor, pengerusi eksekutif SuChi Success Initiatives, yang menjalankan kursus persediaan perkahwinan untuk pasangan Islam dan program latihan lain.



Sejak itu, penganjur acara itu telah mengeluarkan kenyataan mengenai keprihatinan mereka mengenai desakan daripada golongan LGBTQ, yang mahu lebih banyak dilakukan untuk golongan tersebut, melebihi pemansuhan Seksyen 377A.



Dalam mengumumkan langkah pemerintah berkaitan Seksyen 377A, Perdana Menteri juga memberi jaminan Singapura akan melindungi institusi perkahwinan dan keluarga di sisi undang-undang.



Ini akan menjamin bahawa dasar pemerintah berkaitan kehidupan keluarga akan ditakrifkan sebagai perkahwinan sah antara lelaki dan wanita, dan anak-anak yang lahir hasil perkahwinan itu.



Takrifan tersebut akan menjadi teras dasar-dasar berkaitan lain, antara lain, berhubung kandungan pendidikan seksualiti di sekolah dan garis pandu bagi media yang disiarkan secara percuma.



Jaminan pemerintah itu amat dialu-alu.



Sehubungan dengan itu, desakan dan tekanan sedemikian turut ditangani dalam Irsyad yang dikeluarkan Pejabat Mufti itu.



Menurutnya, masyarakat Islam berhak mempertahankan nilai agama dan kekeluargaan, terutama apabila ia jelas dicabar atau dipertikaikan.



Sebarang bentuk sokongan dan dorongan terhadap gerakan LGBTQ harus menghormati nilai agama yang dipegang oleh masyarakat Islam, tambah Irsyad tersebut.



Inilah keadaan yang harus kita jaga dan teliti bersama.



Pastinya, sekiranya nilai dan pendirian agama dicabar secara terbuka, ia akan mengubah ruang awam menjadi medan konfrontasi yang berpecah belah.



Seperti nasihat Pejabat Mufti, dalam apa juga keadaan, kita perlu memastikan kita dapat maju ke hadapan sebagai sebuah masyarakat yang bersatu, dengan menghormati pandangan yang berbeza dan mengelakkan perbalahan dengan melaksanakan perbincangan yang didasari adab dan sikap saling menghormati.



Dan pada masa yang sama, menolak sebarang bentuk cemuhan dan provokasi dalam ruang awam yang semakin hangat dipertarungkan.




Perubahan pada undang-undang negara tidak bermakna cara kehidupan dan pegangan kita akan turut berubah. Ajaran dan nilai-nilai agama tetap kekal sama. Masyarakat Islam perlu hidup dengan yakin, dipandu oleh prinsip-prinsip dan sistem nilai yang utuh.
- Irsyad Pejabat Mufti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >