Dalam babak pembukaan filem animasi fantasi Jepun, Ponyo On The Cliff By The Sea, seekor makhluk kecil mirip ikan emas yang berwajah manusia berenang merentasi lautan yang jernih, seakan dunia lain – yang dipenuhi buih, obor-obor dan cahaya berkilauan.
Ia merupakan filem animasi Studio Ghibli pertama yang pernah saya tonton, dan saya terus terpesona.
Watak-wataknya dilukis dengan begitu cantik dan indah, serta gaya animasi yang unik dan mudah dikenali.
Jadi apabila media sosial saya dipenuhi dengan imej rakan dan kenalan yang diolah semula dalam ‘gaya Studio Ghibli’ minggu lalu – hasil daripada salah satu fungsi terkini platform kecerdasan buatan generatif (GenAI) OpenAI – saya terdiam sejenak.
Sebahagian hasilnya tampak indah, namun ada juga yang kelihatan agak pelik.
Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah betapa pantasnya warganet berpecah kepada dua kumpulan: mereka yang teruja melihat keajaiban ala Ghibli diolah dalam gambar sendiri, dan mereka yang melihatnya sebagai petanda kemusnahan manusia semakin hampir.
Tidak lama kemudian, sebuah klip dari 2016 di mana pengasas bersama Studio Ghibli, Encik Hayao Miyazaki, ditunjukkan sebuah animasi yang dihasilkan oleh AI muncul semula.
Beliau menontonnya tanpa sebarang riak, sebelum berkata beliau menganggapnya sebagai “satu penghinaan terhadap kehidupan itu sendiri”.
Saya faham apa yang cuba disampaikannya – ia bukan tentang teknologi semata, tetapi tentang bagaimana teknologi itu digunakan tanpa tanggungjawab atau pertimbangan.
Apabila kita menggunakan platform GenAI dalam bidang seni tanpa berfikir panjang, tumpuan pengkarya itu beralih kepada hasil semata-mata, dan bukan pada proses kreatif itu sendiri. Ini menyebabkan kehilangan sesuatu yang bernilai.
Apabila seorang pelukis menimbang setiap gerakan tangannya atau seorang penulis mengolah ayat berulang kali hingga terasa tepat – proses ini yang penting, dan bukan hanya hasilnya.
Fikiran, emosi dan usaha yang dicurahkan sepanjang proses penghasilan karya itu yang memberi nilai dan makna sebenar kepada karya tersebut.
Pemuzik dan penyanyi Sezairi Sezali berkata kepada saya: “Walaupun (GenAI) mengujakan, ia menghilangkan unsur kemanusiaan dalam rekaan – (seperti) cabaran, pembelajaran dan proses mengenali diri.”
Selain itu, penggunaan GenAI dalam karya turut mengundang kebimbangan etika.
Walaupun seorang pengkarya tidak secara langsung melanggar undang-undang hak cipta dengan menggunakan GenAI, kebanyakan fungsi alat ini dilatih menggunakan kandungan yang diambil atau ‘disapu’ dari Internet – kadangkala tanpa kebenaran.
Oleh itu, meski sesuatu karya itu asli secara teknikal, asasnya mungkin tidak.
Ini menimbulkan persoalan bukan hanya mengenai kesahan penggunaan GenAI dalam karya dari segi undang-undang, malah mengenai keadilan dan penghormatan terhadap karya asal seni itu sendiri.
Penerbit buku, Encik Ng Kah Gay dari Ethos Books, berkongsi bagaimana beberapa penulisnya meluahkan rasa kecewa apabila mendapat tahu karya mereka telah dimuat naik dalam LibGen, pangkalan data untuk buku cetak rompak.
Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila Meta didedahkan telah menggunakan LibGen untuk melatih model AI mereka.
“Pengambilan buku oleh AI generatif bermakna gaya penulisan penulis, yang diasah melalui latihan dan pengujikajian bertahun, berpotensi untuk disalin oleh pengguna GenAI melalui satu arahan mudah,” kata Encik Ng.
Pelukis, Encik Yeo Tze Yang, tidak menggunakan teknologi AI dalam seni beliau. Namun, beliau memahami bagaimana perkara ini mengganggu ramai pengkarya lain, seperti pelukis digital yang gaya mereka disalin tanpa kebenaran.
Terdapat juga pengkarya yang pendapatan mereka terjejas teruk kerana syarikat telah beralih kepada AI untuk mencipta imej atau grafik, berbanding bergantung kepada artis manusia.
Ia bukan bermakna alat teknologi tidak mempunyai tempat dalam dunia seni.
Setiap generasi artis perlu berhadapan dengan medium baru, dan beberapa artis tempatan telah mencapai kejayaan besar dengan seni yang dihasilkan oleh AI.
Artis visual dan pendidik, Encik Ernest Wu, menggunakan GenAI untuk meneliti idea beliau dan membantu memahami rangka pemikirannya, seperti mensimulasikan tulisan rahsia dari Perang Dunia Kedua untuk sebuah karya seni di Battlebox.
“Apa yang lebih penting ialah mempelajari cara memanfaatkan pengetahuan masa lalu untuk mencari suara sendiri, gaya tersendiri dan cerita yang ingin dikongsi dengan dunia,” kata Encik Wu.
Para artis juga sememangnya sering merujuk kepada karya terdahulu sebagai sumber ilham.
Malah, pengasas bersama Studio Ghibli, Encik Isao Takahata, pernah berkongsi secara terbuka bagaimana beliau mendapat ilham daripada karya juruanimasi lain.
Justeru, ia bukan bermakna artis tidak boleh menggunakan GenAI, sebaliknya ia perlu digunakan secara sah, dengan kritis dan penuh rasa tanggungjawab.
Dari sudut perundangan, terdapat beberapa isu yang perlu dipertimbangkan.
Melatih model AI melibatkan reka bentuk algoritma dan pendedahan kepada jumlah data yang besar supaya ia dapat mengenal pasti corak, hubungan dan struktur tertentu.
Walaupun data mentah lazimnya tidak dilindungi di bawah undang-undang hak cipta, banyak bahan yang digunakan dalam latihan model – seperti buku, artikel, rajah, imej, muzik, gambar dan filem – adalah karya yang dilindungi.
Oleh kerana latihan AI sering menggunakan bahan ini, ia boleh menimbulkan kebimbangan serius tentang pelanggaran hak cipta.
Di Singapura, jenis karya dengan hak cipta tertentu boleh digunakan untuk ‘analisis data berkomputer’ – yang merangkumi aktiviti seperti perlombongan teks dan data, dan beberapa bentuk pembangunan AI.
Namun ini tidak bermakna semua jenis penggunaan dibenarkan.
Syarat utama dalam proses latihan AI ialah individu atau syarikat yang menggunakan bahan tersebut perlu mendapatkan akses secara sah, dan tidak menggunakan karya berhak cipta yang melanggar undang-undang.
Namun cabaran sebenar melangkaui undang-undang tempatan. Kebanyakan model AI utama seperti ChatGPT oleh OpenAI tidak berpangkalan di Singapura.
Maka, bagaimana seorang penulis atau artis tempatan boleh mendapat tahu jika karya mereka telah digunakan untuk melatih sistem sebegitu di luar negara?
Dan jika mereka mendapat tahu sekali pun, apa yang mampu mereka lakukan? Ramai penggiat seni bebas tidak mempunyai sumber atau tenaga untuk menghadapi pertikaian undang-undang merentasi sempadan.
Secara teknikal, memang benar undang-undang hak cipta tidak melindungi gaya karya seseorang artis – hanya hasil karya mereka yang dilindungi.
Ini bermakna menghasilkan watak yang menyerupai watak Ghibli seperti Ponyo atau adegan daripada My Neighbour Totoro berkemungkinan melanggar hak cipta. Tetapi, menghasilkan gambar dengan gaya animasi Ghibli mungkin tidak melanggar undang-undang.
Namun gaya lukisan Encik Miyazaki mudah untuk dikenali kerana sering ditonjolkan dalam filemnya, sehingga menirunya secara langsung tanpa olahan tersendiri terasa tidak wajar.
Ia melangkaui batas perundangan dan menyentuh soal penghormatan terhadap hasil kerja kreatif seorang artis.
Di Singapura, pelbagai usaha sedang dijalankan untuk membantu golongan kreatif memahami sempadan penggunaan teknologi dalam karya mereka.
DesignSingapore Council, Arts Resource Hub dan Pejabat Hak Cipta Intelektual Singapura (IPOS) merupakan antara pertubuhan yang menyediakan sumber maklumat untuk membantu golongan kreatif memahami hak harta intelek mereka dengan lebih baik.
Pihak penggubal dasar juga wajar mendapatkan pandangan golongan kreatif dan pihak berkepentingan – untuk memahami cabaran yang mereka hadapi, dan cara teknologi itu digunakan dalam menghasilkan sebuah karya.
Namun realitinya, pasaran Singapura kecil – dan rangka perundangannya terhad.
Singapura tiada kawalan terhadap banyak isu undang-undang besar tentang GenAI yang dibicarakan di luar negara, namun keputusan kes-kes ini boleh memberi kesan besar pada peraturan masa depan.
Tidak menghairankan apabila ramai rakyat Singapura ikut serta dalam trend Ghibli tanpa memikirkan kesannya.
Mungkin kita sekadar ingin tahu, atau meminati gaya tersebut.
Sukar untuk menimbulkan keprihatinan jika kita tidak meletakkan diri kita di tempat seorang pengkarya, atau apabila kita sudah terbiasa menikmati karya kreatif tanpa memikirkan dari mana ia datang.
Oleh itu, satu peralihan budaya diperlukan, dengan orang ramai diberi kesedaran melalui pendidikan seni yang lebih baik dan pemahaman mendalam mengenai maksud penghasilan karya, serta perkara yang akan hilang jika karya kreatif manusia terhenti akibat penggunaan GenAI yang tidak bertanggungjawab.
Ketika menulis artikel ini, terlintas di fikiran saya untuk mencuba fungsi Ghibli, sekadar untuk melihat hasilnya. Lagipun, layakkah saya memberi ulasan mengenai trend ini jika saya tidak mencubanya sendiri?
Namun, saya tidak melakukannya setelah saya teringat akan reaksi Encik Miyazaki.
Menggunakan fungsi itu terasa seperti satu pengkhianatan kecil, walaupun saya tidak mempunyai sebarang hubungan peribadi dengan sesiapa di Studio Ghibli.
Sebaliknya, saya menonton semula filem Ponyo, yang mengingatkan saya kepada kenangan menontonnya bersama suami – penuh dengan tawa dan air mata.
Bagi saya, seni merupakan sebuah ekspresi dan peringatan tentang emosi manusia, pengalaman, dan detik-detik kecil dalam kehidupan – sesuatu yang tidak dapat dihasilkan hanya dengan satu arahan AI.
Jika sebuah karya seni mampu menyentuh kita sedemikian rupa, maka menghargainya adalah perkara yang wajar, lebih-lebih lagi jika itu merupakan hasrat pengkaryanya.
Cik Usha Chandradas adalah penerbit platform majalah dalam talian, Plural Art Mag, ahli lembaga IPOS dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP). Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam The Straits Times (ST).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg