Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendekatan S’pura berkaitan AI: Lincah, fleksibel, maju ikut batas etika

Jan 22, 2025 | 5:03 PM
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, semasa sesi perbincangan panel di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, pada 21 Januari.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, semasa sesi perbincangan panel di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, pada 21 Januari. - Foto BLOOMBERG

Pendekatan Singapura terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) adalah untuk kekal lincah dan fleksibel, sambil memastikan bidang itu terus maju dalam batasan etika, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 21 Januari.

Beliau menyatakan perkara itu semasa sesi perbincangan panel di Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Davos, Switzerland, selepas pengerusi sesi itu, Cik Haslinda Amin, yang merupakan penyampai di Bloomberg Television, berkata Singapura “agak longgar” dan “tidak mempunyai peraturan tetap” berkaitan AI.

“Saya harus memperbetulkan kenyataan itu,” jelas Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Singapura telah membangunkan tatakelakuan yang “agak terperinci” untuk panduan pembangunan dan penggunaan AI secara beretika, selain bekerjasama dengan banyak negara dalam membangunkan garis panduan serupa, kata Encik Gan. 

“Jadi, saya rasa kami mengambil perkara ini dengan cukup serius,” tambahnya.

Dari segi peraturan, beliau menjelaskan bahawa pihak berkuasa mengambil pendekatan tidak begitu tegas apabila aplikasi baru dalam teknologi AI masih dalam peringkat percubaan, lapor The Straits Times (ST).

“Kita tidak akan tahu cara mengawal selia teknologi ini sebelum ia matang, tetapi kita memantau dengan teliti perkembangan teknologi yang masih dalam proses percubaan itu,” kata Encik Gan.

Dalam erti kata lain, Singapura memberi kelonggaran sambil memastikan kemajuan teknologi itu tidak melampaui garis panduan yang ditetapkan.

“Untuk memperbetulkan tanggapan tersebut – kami lincah, fleksibel, tetapi pada masa yang sama, kami sangat berhati-hati dalam memberikan panduan dan batasan untuk memastikan mereka melakukan perkara yang betul (dari segi etika),” katanya.

Dalam perbincangan panel mengenai peluang Asia dalam era teknologi AI, Menteri Perdagangan Thailand, Encik Pichai Naripthaphan, berkata negaranya merancang menjadi “kedutaan pusat data”, di mana negara yang bimbang dengan keselamatan data dialu-alukan untuk menyimpan data mereka di sana.

Untuk mencapai matlamat tersebut, Encik Naripthaphan berkata Thailand ingin “menjadi seperti Singapura” dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja mereka.

Encik Gan berkata Encik Naripthaphan bersikap “sangat merendah hati” dengan mengatakan perkara itu, dan Thailand wajar diberi pengiktirafan kerana mempengerusikan perundingan Persetujuan Rangka Kerja Ekonomi Digital (Defa) Asean yang terdiri daripada 10 negara anggota.

Menurut Encik Gan, Defa akan menjadi titik permulaan dalam perjalanan pendigitalan anggota Asean – satu langkah awal yang diperlukan sebelum menyepadukan AI dalam sistem mereka.

“Thailand sedang memimpin usaha ini bukan sahaja di Thailand, bahkan membantu memacu seluruh Asean ke arah pendigitalan dan akhirnya ke arah AI,” jelas Encik Gan.

Apabila ditanya sama ada Asean boleh muncul sebagai peneraju global dalam arus AI ini, Encik Gan berkata ia bergantung pada sejauh mana dunia bersedia untuk menerima AI.

Walaupun potensi AI sangat besar, kuncinya adalah sama ada negara-negara dapat bekerjasama untuk memanfaatkan AI sepenuhnya, tambah beliau.

Mengulas perkara itu, Encik Gan berkata: “Jika negara-negara berusaha secara sendirian, saya rasa ia (pendigitalan) akan menjadi lebih perlahan. 

“Itulah sebabnya dalam kalangan Asean, kami sangat berkeinginan untuk bersatu – untuk melihat proses pendigitalan dan memikirkan bagaimana AI dapat membantu kita melangkaui (negara lain).”

Namun, Asean bukan satu-satunya rantau yang terfikir untuk memanfaatkan AI sebagai langkah untuk melangkaui negara lain, kata Encik Gan. 

“Ini adalah persaingan antara kita semua, tetapi saya berharap ia adalah persaingan yang positif (dengan) kerjasama dan kolaborasi, perkongsian pengalaman dan pengetahuan supaya kita semua dapat maju bersama dengan cara yang inklusif,” tambahnya.

“Untuk memperbetulkan tanggapan tersebut (pendekatan Singapura terhadap penggunaan kecerdasan buatan) – kami lincah, fleksibel, tetapi pada masa yang sama, kami sangat berhati-hati dalam memberikan panduan dan batasan untuk memastikan mereka melakukan perkara yang betul (dari segi etika).”
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg