Apabila pelajar menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada September, mereka tidak akan mempunyai akses kepada chatbot ChatGPT, begitu juga halnya dengan para pelajar yang menduduki peperiksaan nasional lain dalam beberapa minggu mendatang.
Namun, jika kita sedang mempersiapkan pelajar untuk dunia di mana kecerdasan buatan generatif (Gen AI) akan digunakan secara meluas, mengapa kita tidak memberikan akses bebas kepada pelajar untuk menyerupai persekitaran itu dengan lebih realistik?
Meskipun pelbagai perkara telah dibincangkan tentang penyepaduan Gen AI dalam pendidikan, membenarkan penggunaannya dalam menjawab soalan peperiksaan masih kelihatan tidak masuk akal bagi kebanyakan kita.
Meneroka sebab di sebalik sentimen ini boleh membantu kita kekal berfikiran rasional di tengah-tengah kemajuan pesat chatbot.
Memberi tumpuan kepada bagaimana AI digunakan dalam pendidikan, tanpa mempersoal sama ada ia patut digunakan, boleh mengabaikan isu sama ada AI wajar dilibatkan dalam semua aspek pendidikan.
Ia juga seolah-olah menganggap bahawa apabila AI mula digunakan dalam beberapa aspek pendidikan, kita secara automatik perlu fikirkan cara untuk menggunakannya dalam aspek lain juga.
Dalam sebuah artikel yang diterbitkan oleh The Straits Times (ST) pada Julai, Profesor Looi Chee Kit dan Dr Wong Lung Hsiang, dari Institut Pendidikan Nasional (NIE) menyeru supaya peperiksaan kita disesuaikan dengan masa depan.
“Persoalannya bukan sama ada AI wajar digunakan dalam penilaian, tetapi persoalannya kini ialah bagaimana cara untuk membentuk penilaian yang mengajar dan menguji perkara yang benar-benar penting dalam dunia yang diperkaya AI,” tulis mereka.
Namun, pelbagai alat lain sudah pun dibenarkan penggunaannya secara terhad dalam peperiksaan.
Ini termasuk penggunaan kalkulator dalam kertas dua Matematik PSLE dan kamus elektronik untuk beberapa bahagian dalam peperiksaan Bahasa Ibunda.
Di universiti pula, peperiksaan separa buku terbuka – apabila pelajar dibenarkan membawa nota fizikal – adalah perkara biasa.
Semua alat ini telah lama digunakan sebelum AI wujud, namun hadnya masih dikekalkan.
Adakah ini mencerminkan kepercayaan lama daripada pembuat dasar untuk melindungi peperiksaan daripada teknologi?
Kemungkinan besar tidak, memandangkan sebuah negara yang bergantung kepada modal insan tidak sepatutnya berfikiran sebegitu.
Sebaliknya, sekatan ini berasaskan penilaian bahawa terdapat hasil pembelajaran tertentu yang tidak boleh diukur dengan tepat jika alat luar digunakan tanpa had.
Hasil pembelajaran ini selari dengan apa yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan 2025.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata pembelajaran bukan sahaja meliputi kandungan dan pengetahuan, malah, “ia mengenai memupuk kemampuan berfikir, menyelesaikan masalah dan pembelajaran sepanjang hayat”.
Sebagai contoh, beliau menunjukkan bagaimana seorang guru sedang menyepadukan AI ke dalam bilik darjah untuk meningkatkan hasil pembelajaran, serta melatih pelajar menggunakannya secara bertanggungjawab.
Sebagai pendidik, kami akan terus meneroka cara untuk menyepadukan AI ke dalam bilik darjah untuk mengukuhkan kemahiran para pelajar dalam berfikir dan menyelesaikan masalah.
Namun, walaupun AI boleh membantu membina kemahiran, penggunaannya dalam peperiksaan tidak menunjukkan sama ada pelajar benar-benar memiliki kemahiran tersebut.
Pandangan ini berbeza daripada yang dikemukakan oleh Profesor Looi dan Dr Wong, bahawa “matlamatnya bukan untuk menguji apa pelajar boleh lakukan tanpa AI, tetapi apa yang boleh dilakukan dengannya – sambil tetap mengamalkan pertimbangan, integriti dan keaslian”.
Namun, mengapa tidak menguji kedua-dua sekali, iaitu kemampuan pelajar dengan AI dan tanpa AI?
Hari ini, kita menguji keupayaan pelajar menggunakan alat bantuan seperti kalkulator, kamus elektronik dan enjin carian; pada masa yang sama masih ada penilaian yang menguji perkara yang boleh mereka lakukan tanpa alat tersebut.
Penilaian sebegini, termasuk tanpa AI, penting untuk menguji kebolehan pelajar berfikir sendiri, serta menilai pertimbangan, kreativiti dan integriti mereka.
Pelbagai bentuk penilaian ini saling melengkapi, dengan setiap ujian menilai kemahiran yang sukar diukur dengan bentuk ujian lain.
Namun, persoalan besar yang masih berlegar ialah bahawa hujah ini banyak bergantung pada perbandingan dengan teknologi biasa, sedangkan kemajuan AI masa kini mungkin terlalu pesat berubah sehingga cara pemikiran sedia ada tidak lagi sesuai.
Hakikatnya, oleh kerana kemajuan AI masa kini begitu berbeza daripada teknologi pendidikan lain, kita perlu melindungi ruang tertentu dalam pendidikan daripada pengaruh AI, walaupun kita menerimanya dalam aspek lain.
Ini kerana, kita masih belum mengetahui kesan jangka panjang AI dengan pasti.
Berbalik kepada isu AI dalam pendidikan, kami berpendapat bahawa pendekatan seimbang lebih wajar memandangkan kajiannya masih di peringkat awal.
Kita harus menerima penggunaan AI dalam pembelajaran dan tugasan tanpa pengawasan – seperti kerja rumah, projek berkumpulan dan penilaian berterusan lain – sambil mengekalkan peperiksaan sedia ada yang melarang penggunaan AI.
Ini penting supaya pelajar tetap mempunyai ruang untuk berfikir sendiri.
Mungkin ada yang mencadangkan dasar lebih longgar dengan membenarkan penggunaan AI bagi kertas tertentu dalam peperiksaan.
Namun, kami mengambil pendekatan berhati-hati terhadap cadangan itu kerana pelajar sudah banyak menggunakan AI dalam tugasan tanpa pengawasan, sedangkan peperiksaan hanya mengambil masa beberapa jam.
Peperiksaan yang hanya berlangsung beberapa jam ini menjadi ruang berharga untuk menguji sejauh manakah pelajar mampu berfikir sendiri tanpa AI.
Ini lebih penting selepas berbulan-bulan mereka mengerjakan tugasan tanpa pengawasan yang menilai keupayaan menggunakan AI untuk meningkatkan daya pemikiran.
Matlamat utama adalah memanfaatkan kedua-dua pendekatan: mempersiapkan pelajar menghadapi masa depan yang dipacu AI, sambil mengekalkan ruang untuk berfikir sendiri sementara bukti tentang kebaikan dan keburukan chatbot masih dikaji.
Penulis, Encik Ng Chia Wee, adalah pembantu pengajar sepenuh masa di Jabatan Sains Politik, Universiti Nasional Singapura (NUS). Dr Fung Fun Man adalah pensyarah di Sekolah Kimia, Kolej Universiti Dublin, dan penyelidik kanan pelawat di Jabatan Farmakologi, Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS. Artikel ini diterbitkan buat kali pertama di ‘The Straits Times’ (ST).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg