Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Meniti arus transformasi digital di Berita Harian

Jun 04, 2023 | 05:30 AM



BERITA HARIAN sedang giat menjalani transformasi.

Saya mengambil alih sebagai Editor mulai bulan ini tetapi benih-benih perubahan telah pun disemai sejak beberapa bulan lalu.

Proses transformasi diselaraskan oleh Pejabat Transformasi dan Strategi SPH Media dan melibatkan perkongsian sumber dan kepakaran dengan jabatan lain di SPH seperti teknologi dan sumber manusia demi melicinkan lagi operasi bilik berita akhbar ini.

Terus terang, saya tidak pernah menyaksikan rombakan besar-besaran seperti ini sepanjang hampir tiga dekad bekerja di Berita Harian.

Apa tidaknya.

Proses transformasi dilaksanakan dengan begitu rapi dan komprehensif. Antara lain, tinjauan pembaca dan sesi-sesi perbincangan dengan staf diadakan untuk membaiki mutu dan jenis kandungan berita sebagai sebahagian usaha untuk memikat pembaca khususnya golongan muda.

Antara hasil utama proses transformasi ini adalah rombakan pada struktur organisasi Berita Harian yang menyaksikan pembentukan dua seksyen baru sebagai tambahan kepada seksyen berita.

Seksyen Pengeluaran dibentuk untuk membangunkan produk digital seperti podcast dan video di samping kandungan lain di wadah media sosial.

Seksyen Audiens dan Pertumbuhan pula ditubuhkan untuk mengenali citarasa pembaca menerusi analisis data dan menjalankan program dan kegiatan untuk mendekati pembaca.

Aliran kerja juga telah dirombak untuk memastikan penghasilan kandungan dapat dijalankan dengan lebih kemas dan tersusun merentasi semua wadah berbilang media.

Barisan editor-editor muda juga dilantik untuk memimpin seksyen masing-masing dan dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan produk cetak dan digital yang lebih bermutu dan menarik bagi pembaca, pendengar dan penonton (usah lupa BH kini bukan lagi menghasilkan laporan untuk wadah cetak sahaja tetapi juga kandungan dalam bentuk audio dan visual seperti podcast dan video).







Di samping itu, proses penerbitan juga telah melalui perubahan besar melalui pelancaran Sistem Pengurusan Kandungan (CMS) atau CUE pada bulan lalu.

Pelancaran sistem baru pada 22 Mei lalu itu merupakan antara detik penting dalam lipatan sejarah akhbar ini.

Sistem serba canggih ini membolehkan wartawan untuk menghasilkan kandungan dengan cepat dan mudah.

Para editor dan wartawan juga tidak perlu bergantung kepada beberapa wadah penerbitan yang berasingan kerana proses penerbitan boleh dilakukan menerusi satu sistem bersepadu.

Laporan yang ditulis boleh terus diterbitkan ke wadah digital dan cetak BH.

Sebagai persediaan bagi pelancaran sistem tersebut, kakitangan bilik berita termasuk saya telah giat menjalani latihan intensif sepanjang beberapa minggu lalu.

Ini semua bertujuan memudahkan pembaca untuk mendapatkan berita dengan cepat di pelbagai platform Berita Harian.

Sebenarnya, apa yang dilalui akhbar ini sepanjang beberapa bulan lalu bukanlah unik.

Malah, ia mencerminkan perubahan besar yang menjejas bilik berita di seluruh dunia akibat revolusi digital dan trend pembacaan dan citarasa pembaca yang berubah.

Kecenderungan pembaca untuk mendapat berita dengan percuma menerusi peranti digital dan wadah media sosial merupakan antara faktor yang menyebabkan kemerosotan dalam pengedaran akhbar dan sekaligus pendapatan iklan syarikat akhbar.

Kemerosotan dalam penggunaan bahasa ibunda termasuk Bahasa Melayu khususnya dalam kalangan golongan muda menambahkan lagi tekanan ke atas akhbar vernakular seperti Berita Harian.

Perubahan pantas ini telah menggugat industri penerbitan sehingga menyebabkan banyak akhbar dan stesen penyiaran di serata dunia gulung tikar.

Syarikat yang masih berdaya tahan hanya dapat melakukan demikian dengan mengubah struktur operasi mereka. 

Satu contoh ialah penyusunan semula Singapore Press Holdings kepada sebuah syarikat awam berhad yang dijamin (CLG), SPH Media Trust, pada 2021 dengan pendanaan pemerintah.

Soalan cepumas ialah mampukah langkah-langkah ini membolehkan akhbar seperti Berita Harian untuk bertakat dan kekal relevan dalam iklim yang semakin mencabar?

Mampukah BH memikat pembaca khususnya golongan muda melalui-melalui inisiatif-inisiatif baru ini?

Pastinya, perjalanan ke hadapan bukanlah mudah tetapi saya tetap optimistik dengan kemampuan akhbar ini untuk menangani cabaran yang dihadapi.

Ada beberapa sebab mengapa saya optimis. Pertama, penyusunan semula bilik berita membantu kami memperkemas operasi dan menyusun strategi baru untuk menghasilkan kandungan dengan lebih baik, cepat dan bermutu.

Kedua, kehadiran bakat muda dan kreatif di bilik berita akhbar ini mampu meningkatkan mutu kandungan dalam pelbagai media.

Ketiga, pendanaan daripada pemerintah berjumlah $900 juta dalam masa lima tahun kepada SPH Media memberi peluang kepada kumpulan akhbar ini termasuk BH untuk memanfaatkan kemudahan teknologi dan membina kapasiti dan bakat baru.

Keempat, saya percaya sokongan daripada masyarakat akan dapat diraih sekiranya akhbar ini dapat terus memainkan peranan sebagai sumber berita yang sahih dan boleh dipercayai, lebih-lebih lagi dalam sekitaran yang dicemari penularan berita palsu.

Semangat untuk mengekalkan bahasa Melayu sebagai lambang identiti bangsa juga dijangka tidak mudah luntur dan boleh menjadi daya pendorong bagi akhbar ini untuk terus memainkan peranan dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Pucuk pangkalnya, sebagai bilik berita, akhbar ini kenalah sentiasalah bersedia membuat penyesuaian dari masa ke masa apabila berdepan dengan cabaran dan ketidaktentuan.

Ia juga kenalah bergerak dengan lebih lincah dan bersedia mengambil risiko terhitung apabila merebut peluang-peluang yang tersaji bukan sahaja di pasaran setempat tetapi juga di rantau ini dan persada antarabangsa.

Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.

Yang pasti, perjalanan ke hadapan akan dipenuhi onak dan duri. Jika menemui kegagalan, usahlah mudah berpatah harapan.

Sebaliknya, kita semak langkah, susun strategi baru dan terus berusaha.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >