Topik diikuti
Pergi ke BHkuMental remaja: Rawat jiwa sepi dengan empati
Di sebalik prasarana canggih, rombakan struktur persekitaran dan anjakan paradigma secara holistik semakin perlu
Mental remaja: Rawat jiwa sepi dengan empati
Hampir dua dekad lalu, seorang teman pernah berkongsi bagaimana beliau terpaksa bergegas pulang ke rumah kerana anak remaja perempuannya baru sahaja menelan banyak Panadol.
Saya juga pernah mewawancara seorang ayah sedekad lalu yang mendapati anak bongsunya cenderung mengelar pergelangan tangan.
Di dalam laci anak lelakinya yang masih di sekolah menengah, terdapat 12 pisau cukur serta peralatan teknikal yang tajam lain seperti pisau lipat – semuanya dijadikan alat mencederakan diri sendiri.
Pada ketika itu, media sosial tidak serancak seperti sekarang.
Memang sudah ada Facebook, YouTube, Friendster, kegiatan menulis blog dan sebagainya.
Namun, penggunaannya masih terbatas kerana ia memerlukan skrin komputer dan bukan di hujung jari melalui aplikasi telefon bijak yang boleh dibawa ke mana-mana sahaja seperti sekarang.
Arus deras media sosial dewasa ini dikatakan menjadi antara faktor utama yang menjerumuskan generasi muda ke dalam krisis kesihatan mental.
Hakikatnya, isu kesihatan mental khususnya melibatkan remaja telah lama wujud.
Mungkin ia kurang dipaparkan ekoran wujudnya stigma dan soal penerimaan masyarakat yang lebih tertutup.
Pada Hari Kesihatan Mental Sedunia yang jatuh pada 10 Oktober lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyeru langkah peralihan daripada sekadar mendengar kepada bertindak.
Ini termasuk membina sistem sokongan kesihatan mental bersama golongan yang mempunyai pengalaman hidup sedemikian, melibatkan mereka, dan bukan sekadar menyediakan sistem untuk mereka.
Malah, Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan rancangan membangun semula serta memperluas Institut Kesihatan Mental (IMH) di tapak sedia ada.
Menjelang 2040, ia akan menjadi sebuah hospital besar dan moden.
Malah, pada 2027, ia akan menjadi pusat kepakaran nasional dan dinamakan semula sebagai Pusat Nasional bagi Kesihatan Mental Singapura – sama seperti wujudnya Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS), Pusat Mata Nasional (SNEC), dan sebagainya.
Ada yang kata langkah ini menunjukkan kian ramai anggota masyarakat yang ‘sakit jiwa’ dan memerlukan bantuan sehingga pemerintah terpaksa memperuntuk kos meningkatkan prasarana dan perkhidmatan dalam bidang itu.
Pada satu pihak lain, ia turut membuktikan adanya peralihan sikap dan keterbukaan dalam kalangan mereka yang sebelum ini menderita dalam sepi, untuk tampil mendapatkan rawatan profesional – langkah yang memang wajar dialu-alu.
Tidak dinafikan Singapura berjaya memacu arus pemodenan dan mengekalkan statusnya sebagai negara yang berjaya di mata dunia.
Namun, di sebalik ‘keriuhan’ itu, isu senyap kian menuntut perhatian iaitu berhubung kesihatan mental.
Walaupun isu ini menjejas semua peringkat usia, perangkaan membabitkan golongan muda mencetuskan kebimbangan.
Berdasarkan Tinjauan Kesihatan Penduduk Kebangsaan (NPHS) 2025, kadar prevalens kesihatan mental yang lemah adalah paling tinggi dalam kalangan anak muda berusia 18 hingga 29 tahun iaitu 25.8 peratus dan menurun seiring peningkatan usia.
Ini bermakna, bagi setiap empat anak muda, seorang daripada mereka sedang bergelut dengan isu kesihatan mental.
Dalam kalangan anak muda dalam lingkungan usia yang sama, 86.9 peratus menyatakan kesediaan untuk mendapatkan bantuan daripada rangkaian sokongan tidak formal.
Ia memberi gambaran tentang tahap keselesaan mereka dalam mengetengahkan apa yang terbuku di hati.
Walaupun negara telah melangkah jauh dalam membina prasarana fizikal yang serba canggih, kesejahteraan emosi dan psikologi warga masih berhadapan tembok cabaran yang tinggi.
Persoalannya, mengapakah tiang-tiang konkrit pembangunan kita kian tinggi, namun benteng emosi warga kita kian rapuh?
Rombakan struktur mungkin perlu untuk menyusun semula persekitaran hidup anak-anak muda ini secara sistemik daripada setakat memulihkan belia yang ‘rapuh’.
Mungkin terdapat lebih keperluan bagi kita untuk menilai semula takrif kejayaan yang cenderung menjerat.
Kita boleh mempertimbangkan kempen khusus bagi menyasarkan golongan muda.
Kita boleh merai kegagalan sebagai peluang istimewa menimba ilmu yang memperkaya kehidupan.
Sekolah dan tempat kerja boleh mewujudkan ruang psikologi yang selamat di mana kesejahteraan emosi diutamakan melebihi pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) semata-mata.
Malah, langkah menyepadukan sains dan bidang kerohanian boleh difikirkan.
Institusi keagamaan dan asatizah boleh bekerjasama erat dengan pakar perubatan.
Kita harus menekankan bahawa mendapatkan rawatan perubatan seperti berjumpa pakar psikologi adalah sebahagian daripada ikhtiar syarak dan tidak bercanggah dengan konsep tawakal seseorang kepada Tuhan.
Dari sudut lain, kempen kesedaran di peringkat akar umbi boleh diperhebat bagi melatih masyarakat awam dalam memberikan pertolongan cemas dari sudut psikologi.
Singapura tidak boleh hanya bersandar kepada penambahan kemudahan perubatan semata-mata atau dalam istilah Inggeris disebut sebagai ‘hardware’.
Apa yang kita perlukan sebagai sebuah negara adalah anjakan paradigma secara holistik.
Kesihatan mental adalah isu kemanusiaan yang melangkaui batas kaum dan darjat.
Sudah tiba masanya kita merobohkan tembok stigma dan membina jambatan empati.
Hanya apabila kita dapat menerima pesakit mental tanpa prejudis, barulah Singapura boleh diiktiraf sebagai sebuah masyarakat yang benar-benar maju, terangkum, dan berjiwa ihsan.