Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nasihat jelas Muis hindari sesetengah amalan kuda kepang

Jul 7, 2024 | 5:30 AM
Sesetengah amalan kuda kepang melanggar ajaran agama
Sesetengah amalan kuda kepang melanggar ajaran agama - Foto fail

Nasihat yang dikeluarkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengenai kuda kepang memberi panduan yang jelas mengenai amalan-amalan sesetengah persembahan kegiatan itu yang bercanggah dengan agama Islam.

Persembahan kuda kepang yang melibatkan amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam termasuk dirasuk, dan melakukan aksi seperti mengunyah/memakan kaca dan meminum berbaldi air.

Malah, kerasukan yang boleh menjejas keselamatan dan kesihatan mereka yang membuat persembahan dan orang awam, serta seruan ke atas roh dan jin adalah elemen-elemen yang bercanggah dengan agama.

Tanpa amalan yang bertentangan tersebut, kuda kepang sebagai satu kegiatan seni sahaja tidak menjadi masalah.

Sejajar dengan peranan Muis untuk membimbing masyarakat Muslim dalam kehidupan beragama mereka, ia adalah tanggungjawab Muis memberikan nasihat itu sebagai peringatan kepada masyarakat Islam agar akidah masyarakat Islam terjaga.

Muis pernah mengeluarkan nasihat serupa pada 2009 dan ia dikeluarkan semula pada 1 Julai di media sosial Pejabat Mufti Muis.

Dalam nasihat yang baru dikeluarkan, Muis telah ditanya oleh pihak polis (Jabatan Pelesenan) dan Penguasa Pembangunan Media (MDA), yang kini dikenali sebagai Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), tentang pandangan agama mengenai persembahan kuda kepang.

Kegiatan ini yang wujud beberapa tahun lalu dikatakan mulai kembali aktif setelah beberapa video TikTok memaparkan wujudnya kegiatan tersebut.

Kuda kepang merupakan tarian tradisional masyarakat Jawa yang dipersembahkan semasa acara seperti majlis perkahwinan Melayu atau majlis persendirian.

Penari akan ‘menunggang’ kuda boneka dan menari mengikut rentak muzik tradisional Jawa.

Dalam usaha melestarikan budaya, ia tidak harus diteruskan jika ia bercanggah dengan agama Islam.

Banyak lagi budaya yang boleh diketengahkan yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang boleh digunakan bagi menarik para belia.

Penggiat seni mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan kegiatan yang dilakukan selari dengan tuntutan agama.

Ia tidak wajar dijadikan sebab hanya kerana ingin mengekalkan budaya.

Jika unsur itu bercanggah dengan ajaran Islam, eloklah dihindari.

Dialog atau perbincangan terbuka boleh diadakan oleh pihak-pihak yang terlibat agar terdapat kesedaran dan pemahaman lebih jelas mengenai nasihat itu agar salah tanggapan, jika ada, dapat dileraikan.

Ia agar para belia yang terlibat juga dapat dijelaskan duduk perkara agar mereka tahu mengapa nasihat itu dikeluarkan.

Asatizah juga boleh memainkan peranan dalam memberikan penjelasan.

Marilah bersikap terbuka untuk menerima segala nasihat demi kemaslahatan masyarakat. 

Sejajar dengan peranan Muis untuk membimbing masyarakat Muslim dalam kehidupan beragama mereka, ia adalah tanggungjawab Muis memberikan nasihat itu sebagai peringatan kepada masyarakat Islam agar akidah masyarakat Islam terjaga. Muis pernah mengeluarkan nasihat serupa pada 2009 dan ia dikeluarkan semula pada 1 Julai di media sosial Pejabat Mufti Muis. 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg