Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Pandang ke belakang’ dalam usaha perkukuh mobiliti sosial

Usaha kekalkan mobiliti sosial kian mencabar berikutan kekayaan yang tidak sama rata
Sep 28, 2025 | 5:30 AM
Individu boleh memainkan peranan dalam mengukuhkan mobiliti sosial dengan memastikan orang di sekeliling tidak ketinggalan.
Individu boleh memainkan peranan dalam mengukuhkan mobiliti sosial dengan memastikan orang di sekeliling tidak ketinggalan. - Foto dihasilkan AI

Penggal baru Parlimen Singapura dibuka baru-baru ini dengan komitmen mendukung mobiliti sosial di negara ini.

Ini bermakna individu boleh bangkit maju tidak kira latar belakang. Mobiliti sosial merupakan satu ukuran keadilan dalam masyarakat, dan lazimnya dibincangkan dalam konteks jurang miskin kaya.

Dalam ucapannya di pembukaan Parlimen, Presiden Tharman Shanmugaratnam menggesa agar mobiliti sosial dipelihara dalam setiap generasi baru.

“Semua orang mesti berpeluang mendaki ‘tangga bergerak’ dengan meningkatkan kemahiran, keyakinan serta meraih kehidupan lebih baik,” ujarnya.

Membahaskan ucapan Presiden di parlimen baru-baru ini, Anggota Parlimen turut menyokong gesaan Tuan Presiden.

Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang) berkata latar belakang sosioekonomi boleh menjejas kesihatan, pendidikan dan peluang sepanjang hayat individu.

Beliau menyarankan program jangka panjang lebih tersusun yang membimbing individu terperangkap dalam lingkaran kesusahan.

“Mobiliti sosial bukan sahaja satu matlamat dasar. Ia satu janji di Singapura,” kata Cik Mariam.

Usaha mengekalkan mobiliti sosial kian mencabar, sedang rakyat Singapura yang kaya dapat memberikan lebih banyak sumber kepada anak-anak mereka, berbanding ibu bapa kurang berkemampuan.

Usaha ini boleh diperkukuh dengan menggalak interaksi sosial merentasi kelas sosioekonomi, serta meluaskan peluang melalui bentuk pelaburan sosial baru, tulis Profesor Madya (Adjung) Terence Ho daripada Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura (NUS).

Mobiliti sosial merupakan satu ukuran keadilan dalam masyarakat, dan lazimnya dibincangkan dalam konteks jurang miskin kaya dalam negara.
Mobiliti sosial merupakan satu ukuran keadilan dalam masyarakat, dan lazimnya dibincangkan dalam konteks jurang miskin kaya dalam negara. - Foto dihasilkan oleh AI

Sejak beberapa tahun lalu, pemerintah meningkatkan usaha mengukuhkan mobiliti sosial, menerusi program yang ditujukan khusus untuk golongan memerlukan.

Program KidStart memperkasa keluarga berpendapatan rendah untuk memberi permulaan yang baik kepada anak mereka, antaranya menerusi bimbingan bersama pakar pembangunan kanak-kanak.

Inisiatif Comlink+ pula membantu keluarga di rumah sewa awam yang mempunyai anak, menerusi sokongan menyeluruh, termasuk pendidikan prasekolah, bimbingan pekerjaan dan bantuan melangsaikan hutang.

Singapura telah meletakkan asas yang baik untuk memastikan mobiliti sosial terus hidup dalam masyarakat.

Namun, seperti yang dinyatakan Encik Shawn Loh (GRC Jalan Besar), cabaran baru bagi generasi ini ialah kekayaan yang tidak sama rata.

“Ia bukan lagi mengenai ketidaksamaan dari segi pendapatan atau permulaan hidup… kita semakin melihat tanda awal kekayaan tidak sama rata menjadi lebih teruk.

“Jika tidak diatasi dengan pantas, ia boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Sedang Singapura mempergiat usaha mengekalkan mobiliti sosial, sudah tiba masanya untuk melihat apa perkara yang berpotensi mengukuhkan keistimewaan golongan tertentu.

Kekayaan yang turun temurun serta rangkaian sosial golongan ini bermakna individu daripada keluarga berada secara semula jadinya mungkin mendapat akses kepada peluang yang lebih baik.

Tidak dinafikan ibu bapa ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka, dan ramai yang mahu meninggalkan legasi untuk anak cucu mereka. Naluri ini tidak boleh disekat.

Singapura juga tidak harus menggalakkan sindrom tall poppy yang mengutuk atau membenci orang berjaya.

Pada masa yang sama, perbincangan tentang mobiliti sosial tidak akan lengkap tanpa kesedaran mengenai perbezaan dan ketidaksamaan dari segi peluang yang diraih.

Ini bukan sahaja harus disedari di peringkat masyarakat, bahkan di peringkat individu dan keluarga.

Di peringkat individu, ini mungkin memerlukan kesedaran tentang keistimewaan yang dinikmati, serta sentiasa ‘pandang ke belakang’ demi memastikan orang di sekeliling kita tidak ketinggalan.

Contohnya, anggota keluarga yang lebih bernasib baik boleh mempertimbangkan langkah untuk mewasiatkan sebahagian harta kepada anggota keluarga lain yang kurang bernasib baik, selain waris terdekat.

Di peringkat masyarakat pula, inisiatif di Yayasan Mendaki seperti Rangkaian Profesional dan program mentoring melibatkan golongan profesional dan belia boleh meluaskan akses dan perkongsian ilmu kepada kumpulan lebih luas tidak kira latar belakang, melangkaui golongan tertentu.

Program biasiswa dalam masyarakat juga memainkan peranan penting untuk memberi peluang kepada individu pelbagai latar belakang untuk melanjutkan pendidikan.

Satu contoh baru-baru ini ialah tiga biasiswa baru di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) yang dianugerahkan kepada individu yang menjalankan penyelidikan lanjut mengenai isu-isu keluarga, pendidikan dan sosial dalam masyarakat.

Biasiswa tersebut merupakan sumbangan daripada beberapa individu yang percaya terhadap peranan pendidikan dalam meningkatkan kehidupan dan memperkukuh keluarga.

Jurang miskin kaya terus menjadi keprihatinan di serata dunia, termasuk di rantau ini.

Rusuhan di Indonesia dan Nepal baru-baru ini menarik perhatian tentang generasi muda yang berasa tidak meraih manfaat daripada hasil pertumbuhan negara, yang dipercayai kekal menguntungkan golongan elit.

Di Indonesia, ‘budaya pamer’ atau flexing di media sosial turut menimbulkan kemarahan orang ramai. Istilah ini merujuk kepada tayangan gaya hidup mewah di media sosial, sedangkan ramai rakyat Indonesia lain menghadapi tekanan kos sara hidup meningkat.

Hinggakan Presiden Indonesia, Encik Prabowa Subianto, mengingatkan anggota Parti Gerindra agar berhati-hati dalam gaya hidup, sikap dan percakapan mereka.

Pastinya kejadian di negara lain turut membawa pengajaran bagi Singapura.

Sedang jurang miskin kaya yang dialami di sini mungkin tidak seteruk di tempat lain, Singapura perlu terus berwaspada terhadap perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Usaha mengekalkan mobiliti sosial di Singapura memerlukan bukan sahaja dasar inklusif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, bahkan individu dan masyarakat yang peka terhadap hal ini.

Mobiliti sosial perlu terus hidup di Singapura bukan semata-mata sebagai satu konsep, bahkan mekar dalam realiti kehidupan rakyat.

Tidak dinafikan ibu bapa ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka, dan ramai yang mahu meninggalkan legasi untuk anak cucu mereka. Naluri ini tidak boleh disekat. Usaha mengekalkan mobiliti sosial di Singapura memerlukan bukan sahaja dasar inklusif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, bahkan individu dan masyarakat yang peka terhadap hal ini.
Penulis
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg