Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, membidas AP pembangkang daripada Parti Pekerja (WP), Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied), dengan menyatakan bahawa Encik Fadli menggambarkan meritokrasi sebagai sesuatu yang “merosakkan”.
Ini di samping memberi gambaran meritokrasi adalah “kepercayaan ideologi bagi mewajarkan dan menjelaskan ketidaksamaan dan mereka yang terpinggir”, kata Cik Mariam.
Dalam sidang Parlimen pada 23 September, kededua AP bertikam lidah, dengan Encik Fadli berkata kenyataan Cik Mariam telah memberi gambaran salah dan beliau tidak menolak meritokrasi sama sekali.
Cik Mariam berkata: “Meritokrasi di Singapura bukanlah satu ideologi; ia adalah prinsip keadilan.
“Bahayanya tidak terletak pada pengamalan meritokrasi, tetapi meninggalkannya bulat-bulat kerana jika kejayaan… bergantung bukan pada usaha atau bakat, tetapi pada hubungan dan keistimewaan, itu bukanlah masyarakat yang mengutamakan ciri ‘Kita Dahulu’.
“Itu adalah masyarakat yang mengutamakan ‘segelintir kita’.”
Beliau menambah bahawa sistem meritokrasi masih mempunyai ruang untuk diperbaiki dan bersifat progresif.
“Sungguhpun kita mesti terus menambah baik sistem kita, saya berharap kita ingat, Encik Fadli dan saya sendiri, meraih manfaat hasil meritokrasi Singapura.
“Sistem inilah yang membolehkan kami – anak-anak daripada keluarga biasa – belajar, bekerja dan kini berkhidmat di Parlimen ini,” kata Cik Mariam, sambil menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk “memperkecilkan” atau “menolak” sistem tersebut.
Menjawab bidasan itu, Encik Fadli berkata Cik Mariam telah memberi gambaran salah terhadap hujahnya dan beliau tidak menyeru supaya menolak meritokrasi.
“Apa yang saya maksudkan ialah meritokrasi, apabila dibawa ke tahap keterlaluan – ia melemahkan perpaduan kita dengan golongan yang terdedah.
“Dan saya percaya, bahkan dalam ucapan (Cik Mariam)… beliau sendiri memberikan banyak contoh mengenai mereka yang dipinggirkan daripada sistem. Dan saya fikir akhirnya merekalah… yang sama-sama kita perjuangkan,” kata Encik Fadli.
Cik Mariam turut berkata dengan menampilkan meritokrasi ke tahap keterlaluan “menjadi isu secara khususnya” dalam hujah Encik Fadli.
Beliau menegaskan Singapura tidak mengamalkan meritokrasi secara keterlaluan namun sebaliknya menyesuaikannya dan mengamalkan secara pragmatik.
“Saya tidak menolak bahawa ada daripada golongan di luar sana yang benar-benar susah, dan saya bertemu dengan mereka setiap hari serta cuba sedaya upaya membantu mereka setiap hari, tetapi anda tidak boleh menyalahkan meritokrasi,” kata Cik Mariam.
Awal dari itu pada 22 September, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang), turut membidas kenyataan Encik Fadli berhubung meritokrasi, sambil berkata sistem meritokrasi di Singapura bukan untuk pembangunan semata-mata tetapi diiringi dengan ihsan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Beliau memberi contoh pelbagai program sedia ada bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti Projek Dian yang mendampingi keluarga yang tinggal di rumah sewa, Skim Ihsan Senja dan Model Gaji Progresif untuk pekerja bergaji rendah.
“‘Kita dahulu’ tidak bermaksud kita buta tentang faktor-faktor yang menghambat pembangunan seseorang individu.Meritokrasi kita dari segi tadbir urus untuk menangkis nepotisme, tokenisme dan sistem kroni.
“Namun, meritokrasi kita di Singapura diiringi dengan ihsan. Meritokrasi kita memberi kita peluang untuk membantu mereka yang lebih memerlukan. Ini tanggungjawab kita bersama. Inilah ‘kita dahulu’ yang dimaksudkan Tuan Presiden (Tharman Shanmugaratnam) dan Perdana Menteri Lawrence Wong,” kata beliau.
Sementara itu pada awal hujahnya, Cik Mariam menekankan pekerjaan kekal menjadi “enjin mobiliti” bagi membantu golongan kurang bernasib baik keluar daripada situasi mereka.
Beliau berkata pekerjaan “harus menyediakan pertumbuhan, kemahiran, maruah dan membina keyakinan”.
Sehubungan itu, beliau berkata Pakej Pekerjaan ComLink+, yang dilancarkan pada Disember 2024, merupakan usaha ke arah merealisasikan matlamat menyediakan pekerjaan sedemikian.
Di bawah pakej itu, orang dewasa boleh menerima bayaran sehingga $600 setiap suku tahun jika mereka memperoleh pekerjaan dan kekal bekerja.
Namun, Cik Mariam berkata masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki, sambil menukil program Year Up United di Amerika Syarikat sebagai contoh.
Menurut laman rasmi program itu, ia bertujuan memberikan peluang pekerjaan bagi golongan memerlukan dengan pihak majikan dalam sektor permintaan tinggi melalui latihan, bimbingan dan peluang kemahiran bersama syarikat terkemuka di Amerika Syarikat.
Ia menyasarkan golongan muda berusia 18 hingga 29 tahun.
Cik Mariam berkata individu yang melalui program itu meraih pendapatan lebih tinggi berbanding individu dalam golongan serupa yang tidak menyertai program tersebut selepas enam tahun.
“Kami boleh melancarkan (program serupa) ini di Singapura – anak muda daripada keluarga kurang bernasib baik yang tidak pernah merasakan peluang sebegini dapat meraih manfaat bukan sahaja dari segi kemahiran dan rangkaian, tetapi juga (meningkatkan) keyakinan diri, maruah dan harapan.
“Saya percaya bakat ada di mana-mana sahaja,” katanya.
Sementara itu Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, berkata pemerintah komited dalam usahanya memperkasa warga Singapura memanfaatkan transformasi ekonomi, sementara memastikan tiada warga dipinggirkan.
Bercakap semasa perbahasan Amanat Presiden, beliau berkata ini akan dilakukan melalui penerapan kemahiran dalam kalangan warga Singapura untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan demografi, serta menyokong kerjaya bagi tempoh lebih panjang, katanya.
Pemerintah juga akan mewujudkan laluan bagi warga mencapai kemajuan dalam kerjaya dan ekonomi, sambil memastikan pertumbuhan bersifat terangkum bagi semua, tambah beliau.
“Dalam dunia yang tidak menentu, perpaduan menjadi aset terbesar kita.
“Semangat kerjasama tiga pihak (tripartism) menjadi teras dalam kepercayaan “Kita Dahulu’ dan harus menjadi tonggak di tengah-tengah transformasi tenaga kerja.
“Selagi kita mengekalkan kepercayaan ini, kami (pemerintah) boleh terus mencipta pekerjaan yang baik dan kerjaya yang memuaskan bagi warga Singapura,” ujarnya.
Sentimen Dr Koh dikongsi Anggota Parlimen (AP) lain seperti Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) dan AP pembangkang dari Parti Pekerja, Encik Louis Chua (GRC Sengkang).
Semasa memberikan hujah sulungnya selaku AP Pekerja, Dr Wan Rizal menekankan sokongan berteruskan bagi golongan bergaji rendah, meningkatkan dana Model Gaji Progresif (PWM) dan Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS).
Ini di samping semakan menyeluruh terhadap skim sokongan gaji dan bantuan sosial bagi golongan ini.
Encik Saktiandi pula mencadangkan bagi mengembangkan Program Peningkatan SkillsFuture kepada warga Singapura di bawah 40 tahun, supaya golongan ini dapat “menaik taraf dan menukar kerjaya”.
Program tersebut – yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan ketika itu, Encik Lawrence Wong – membantu pekerja pertengahan kerjaya mempertingkat kemahiran.
Encik Saktiandi berkata ramai dalam kalangan belia rasa resah dan bimbang dengan prospek kebolehpasaran mereka, lebih-lebih lagi dalam era AI.
“Ia tidak cukup untuk memberi ganjaran kepada sesebuah usaha semata-mata – kita juga perlu membuat peramasan agar setiap rakyat Singapura, tanpa mengira kelahiran atau latar belakang, mempunyai peluang sebenar untuk bangkit,” ujarnya.
Encik Chua menyarankan agar skim Insentif Pertumbuhan Pekerjaan diperkenalkan semula, tetapi tertumpu khas untuk graduan baru bagi meredakan keprihatinan pekerjaan dalam kalangan golongan ini.
Skim tersebut diperkenalkan pemerintah pada September 2020 semasa pandemik Covid-19 supaya syarikat menggajikan pekerja tempatan.
Beliau berkata: “Graduan muda resah. Perubahan teknologi yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) mungkin memberi kesan yang tidak seimbang kepada pekerja junior dan peringkat permulaan.
“Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (GRIT) adalah permulaan yang baik, tetapi penciptaan peranan peringkat kemasukan sepenuh masa mesti diberi insentif… jika latihan GRIT mencerminkan tugasan sepenuh masa, pemerintah harus menerajui usaha memaras gaji dan faedah.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg