Topik diikuti
Pergi ke BHkuAI semakin bijak, pelajar semakin malas berfikir?
AI mampu beri jawapan dalam beberapa saat, namun demi menakat keupayaan bertanya, menilai dan berfikir tetap harus jadi milik manusia
AI semakin bijak, pelajar semakin malas berfikir?
Bayangkan seorang pelajar diberikan tugasan menulis esei sepanjang 1,000 patah perkataan.
Dalam masa beberapa minit sahaja, sebuah esei lengkap dengan pendahuluan, hujah dan kesimpulan berjaya dihasilkan. Bahasanya tersusun, isinya meyakinkan dan hampir tiada kesalahan tatabahasa.
Namun, apabila diminta menjelaskan hujah yang terkandung dalam esei tersebut, mampukah pelajar itu mempertahankan pandangannya sendiri?
Inilah antara persoalan yang semakin relevan dalam dunia pendidikan hari ini.
Kemunculan kecerdasan buatan (AI) generatif seperti ChatGPT telah mengubah cara kita mencari maklumat, menghasilkan kandungan dan menyelesaikan masalah.
Bagi pelajar, teknologi ini menawarkan kemudahan yang sukar dinafikan.
Daripada merumuskan bahan bacaan hingga menghasilkan draf penulisan, semuanya boleh dilakukan dalam sekelip mata.
Namun, apabila jawapan semakin mudah diperoleh, adakah proses berfikir semakin diabaikan?
Sebagai pensyarah berlatar belakangkan kewartawanan, saya melihat AI sebagai teknologi yang membawa peluang besar, tetapi juga menuntut kita menilai semula makna pembelajaran.
Dalam bidang kewartawanan, AI boleh membantu menyusun maklumat, mencadangkan sudut berita dan memperkemas penulisan.
Namun, teknologi ini tidak boleh menggantikan pertimbangan editorial, tanggungjawab menyemak kesahihan maklumat atau kepekaan terhadap masyarakat yang dilaporkan.
Prinsip yang sama harus diterapkan dalam pendidikan.
Tugasan yang kelihatan sempurna tidak semestinya mencerminkan kefahaman mendalam.
Persoalannya bukan sekadar sama ada pelajar menggunakan AI, tetapi sejauh mana mereka masih terlibat dalam mencari maklumat, menilai hujah dan membentuk kesimpulan sendiri.
Jika semuanya diserahkan kepada teknologi, apakah sebenarnya yang dipelajari?
Apabila proses berfikir diserahkan kepada teknologi
Kajian awal MIT Media Lab pada 2025, Your Brain on ChatGPT, terhadap 54 peserta membandingkan penulisan esei menerusi tiga kumpulan sama ada menggunakan ChatGPT, enjin carian seperti Google atau tanpa bantuan teknologi.
Hasilnya, peserta yang menggunakan ChatGPT menunjukkan tahap penglibatan otak yang paling rendah dan secara konsisten mencatatkan prestasi lebih lemah dari segi aktiviti saraf, penggunaan bahasa dan tingkah laku.
Namun, kajian awal dengan jumlah peserta yang kecil ini tidak membuktikan bahawa penggunaan AI semestinya melemahkan keupayaan berfikir.
Penyelidikan Microsoft dan Universiti Carnegie Mellon pula meninjau 319 pekerja berpengetahuan yang kerap menggunakan alat AI.
Dapatan itu mendedahkan bahawa semakin tinggi keyakinan seseorang terhadap keupayaan AI, semakin rendah kecenderungannya untuk menilai jawapan AI secara kritis.
Kedua-dua kajian ini sekali gus mengundang persoalan tentang sejauh mana manusia menyerahkan proses berfikir kepada teknologi.
Berbalik kepada pendidikan, AI boleh membantu pelajar memahami konsep rumit, meneroka perspektif berbeza dan memperbaiki mutu kerja.
Namun, keberkesanannya bergantung pada cara ia digunakan.
Cabaran baharu buat pendidik
Di Singapura, literasi AI semakin diberi penekanan di institusi pengajian tinggi (IHL).
Mulai tahun akademik 2027, kemahiran asas AI akan diterapkan dalam modul wajib bagi semua pelajar baharu universiti autonomi, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Saya melihat langkah ini penting untuk mempersiapkan pelajar menghadapi dunia pekerjaan.
Namun, peranan institusi pengajian tinggi bukan sekadar melahirkan lulusan yang mahir menggunakan teknologi. Kita juga perlu membina keupayaan mereka untuk berfikir dan membuat pertimbangan sendiri.
Justeru, literasi AI tidak seharusnya diukur melalui kebolehan menghasilkan arahan atau prompt yang berkesan semata-mata.
Lebih penting ialah keupayaan menyemak ketepatan jawapan, mengenal pasti kelemahan hujah dan mempersoalkan maklumat yang kelihatan meyakinkan.
Di sinilah peranan pendidik menjadi semakin mencabar.
Jika penilaian hanya tertumpu kepada hasil akhir, kita mungkin terlepas pandang proses yang sepatutnya membina kefahaman.
Dalam pengajian kewartawanan misalnya, saya membimbing pelajar mengenal pasti sudut berita, menjalankan penyelidikan, mendapatkan sumber yang boleh dipercayai dan menentukan maklumat yang wajar diketengahkan.
Sebab itulah, bagi saya, sesi konsultasi atau perbincangan sangat penting dalam proses pembelajaran. Pelajar perlu menjelaskan bagaimana idea dibentuk, mengapa sesuatu sumber dipilih dan alasan di sebalik pendekatan mereka.
AI boleh membantu menjana idea dan menghasilkan draf penulisan, namun melalui sesi konsultasi, saya dapat menilai sejauh mana pelajar benar-benar memahami dan mampu mempertahankan hasil kerja mereka.
Bijak menggunakan AI, bukan bergantung kepadanya
Kita tidak boleh mengharapkan generasi muda menjauhi AI semata-mata kerana bimbang mereka terlalu bergantung kepadanya.
Sebaliknya, pelajar perlu dibimbing membezakan antara menggunakan AI sebagai pembantu pembelajaran dengan menjadikannya sebagai pengganti usaha mereka sendiri.
Pendidikan bukan sekadar menghasilkan jawapan betul.
Ia melibatkan keberanian mencuba, melakukan kesilapan, menilai semula pandangan dan membina kefahaman sendiri.
Ada kalanya, proses bergelut dengan sesuatu persoalan itulah yang menjadikan pembelajaran lebih bermakna.
Jika setiap kesukaran segera diselesaikan oleh AI, pelajar mungkin kehilangan peluang membina ketekunan dan keyakinan terhadap keupayaan berfikir sendiri.
Jadi, adakah pelajar benar-benar semakin malas berfikir, atau teknologi sedang mengubah cara mereka belajar?
Kita perlu meneliti cara AI digunakan sebelum membuat kesimpulan tentang seluruh generasi.
AI akan terus berkembang. Persoalannya ialah bagaimana kita memastikan pelajar tidak kehilangan keupayaan berfikir sendiri ketika menggunakannya.
Dalam usaha melahirkan generasi celik teknologi, kita juga perlu memupuk pemikiran kritis, kreativiti dan keberanian mempersoalkan sesuatu.
Teknologi yang semakin bijak tidak semestinya menghasilkan manusia yang semakin bijaksana.
AI mungkin mampu memberikan jawapan dalam beberapa saat. Namun, keupayaan untuk bertanya, menilai dan berfikir sendiri tetap harus menjadi milik manusia.
Nursha Ismail ialah Pensyarah Komunikasi Massa dengan pengalaman hampir dua dekad dalam bidang penyiaran dan kewartawanan.