Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia penggerak visi masyarakat gemilang

Golongan muda aset utama negara, pelapis kepimpinan masa depan
Jun 8, 2025 | 5:30 AM
Anugerah Lee Kuan Yew, Cik Ryka Putri Eva Sabrinna Sabtu
Penerima Anugerah Lee Kuan Yew, Cik Ryka Putri Eva Sabrinna Sabtu, diiktiraf antara pelajar cemerlang yang mempamerkan sifat terpuji. - Foto fail

Generasi muda Melayu Singapura hari ini telah membuktikan mereka mempunyai sifat dan tekad yang mempamerkan ciri-ciri masyarakat gemilang.

Sebelum ini kita sering salah anggap mereka sebagai generasi ‘strawberi’ – generasi muda yang dianggap terlalu dilindungi, tidak lasak dan kurang berdaya tahan, seperti buah strawberi.

Namun pencapaian kebanyakan mereka telah membuktikan sebaliknya.

Kejayaan mereka membanggakan dan menjadi contoh kepada yang lain.

Akhbar ini tidak terlepas untuk melaporkan beberapa pencapaian tersebut, seperti yang akan disenaraikan artikel ini nanti.

Dalam kisah kejayaan mereka itu tersemat keperibadian dan watak warga muda yang memiliki etika kerja yang tinggi, rajin dan andal.

Mereka berjaya berdasarkan meritokrasi.

Mereka peka dan aktif dalam kegiatan sosial dan kemasyarakatan serta bersemangat tinggi untuk memperbaiki taraf kehidupan masyarakat, selain terlibat dalam usaha untuk mengekalkan keharmonian sosial negara.

Mereka berasal dari latar belakang berbeza, kebanyakan warga biasa, tetapi ada juga yang datang daripada keluarga susah dan kurang bernasib baik.

Namun ini tidak sedikit pun menghambat semangat mereka untuk mencapai kecemerlangan.

Pendek kata, warga muda Singapura hari ini generasi bercita-cita tinggi, dinamik, dan berdaya saing.

Mereka penggerak usaha untuk kita mencapai visi masyarakat gemilang.

Mereka ialah harapan bangsa, tiang negara.

Kisah kejayaan

Baru-baru ini, Berita Harian (BH) telah melaporkan beberapa pencapaian anak muda kita itu, antaranya Cik ‘Aqilah Alwi, 30 tahun.

Pada awal pendidikannya, Cik ‘Aqilah merupakan pelajar aliran lemah EM3.

Namun dengan semangat kental untuk memperbaiki diri, Cik ‘Aqilah akhirnya berjaya meraih Ijazah Sarjana Seni Bina dari Universiti Nasional Singapura (NUS), dengan pengkhususan dalam Reka Bentuk Bandar.

Bagaimanapun, perjalanan beliau ke menara gading itu bukan satu laluan yang mudah, sebaliknya ia penuh onak dan duri.

Selepas berada dalam aliran EM3, Cik ‘Aqilah belajar dalam aliran Normal Teknikal (NT) sebelum dinaikkan ke Normal Akademik (NA) dan melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Walaupun ITE sering disalah anggap sebagai ‘penghujung jalan’, namun di situlah beliau menemui keyakinan diri dan mengecapi prestasi akademik terbaik.

Dengan berbekalkan biasiswa iBuildSG, Cik ‘Aqilah kemudian menyertai Politeknik Singapura (SP) untuk memburu diploma bidang seni bina, bekerja selama empat tahun dalam sektor binaan, sebelum menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.

Menoleh ke belakang, beliau sifatkan kejayaannya itu didorong oleh usaha kerasnya yang tidak pernah berhenti, sokongan ibu yang tidak pernah lentur dan langkah untuk sentiasa terus bergerak dan bangkit demi mengejar impian.

Seorang lagi ialah penerima Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew, Cik Ryka Putri Eva Sabrinna Sabtu, 21 tahun.

Kisah jatuh bangunnya memaparkan semangat juang seorang pelajar yang berazam untuk berdikari demi memajukan diri.

Bergelut dengan pelbagai masalah peribadi dan keluarga, seperti terpaksa menyewa bilik di flat dan bekerja sambilan semasa belajar, Cik Ryka tidak sedikit pun membiarkan kegetiran hidupnya menjejas cita-citanya untuk berjaya dalam pelajaran.

Beliau menanam tekad untuk bangkit bagi mengatasi segala rintangan dan meneruskan usahanya dengan penuh dedikasi, yang akhirnya diiktiraf sebagai antara pelajar cemerlang ITE baru-baru ini.

Anugerah Lee Kuan Yew yang beliau terima bertujuan menggalakkan pelajar dan pelatih agar menunjukkan tingkah laku cemerlang semasa latihan, membina nilai moral yang tinggi, serta mempamerkan sikap prihatin dan belas kasihan terhadap orang lain.

Kini, Cik Ryka pelajar Diploma Pengajian Nautikal di SP dan relawan bersama badan kebajikan Sunshine Welfare Action Mission (Swami) Home.

Penerima Biasiswa Yayasan Keppel Care itu berkata beliau tidak gentar dengan cabaran dan sentiasa berpegang dengan prinsip, “selagi kita berpegang pada nilai kebaikan, perkara baik pasti akan menyusul.”

Contoh ketiga ini pula baru sahaja tamat pengajiannya di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan kini seorang usahawan teknologi ‘blockchain’.

Encik Fathurrahman Faizal, 25 tahun, berkecimpung dalam perniagaan teknologi yang jarang diceburi masyarakat Melayu.

Baru-baru ini beliau disertakan dalam senarai berprestij belia berwawasan dalam era Kecerdasan Buatan (AI), 30 Under 30 Asia (Class of 2025), yang dipilih majalah perniagaan Amerika, Forbes.

Encik Fathurrahman tergolong bersama belia cemerlang lain di Asia yang mewakili pelbagai sektor.

Pengarah Editorial Forbes Asia dan Editor ‘Forbes 30 Under 30’, Cik Rana Wehbe Watson, berkata pihaknya meraikan bakat luar biasa dan inovasi dengan mengetengahkan usahawan generasi baru dan pemimpin muda yang menunjukkan daya bingkas dan kreativiti dalam mereka bertarung dalam dunia perniagaan yang lebih sukar dan sengit.

Sememangnya Encik Fathurrahman mempunyai sifat-sifat tersebut.

Bahkan beliau mengasaskan perniagaannya sejak di SMU lagi bersama rakan-rakannya, bersaing sengit dengan syarikat pemula antarabangsa lain untuk mendapatkan pendanaan.

Syarikat SolanaFM itu – sebuah laman penjejak ‘blockchain’ – telah pun dijualnya kepada Jupiter Exchange, platform dagangan mata wang kripto, pada September 2024, dengan nilai berjuta dolar.

Kini, Encik Fathurrahman, pengasas bersama Ranger Labs, sebuah syarikat yang mengendalikan platform dagangan berbilang aset dengan menggunakan teknologi ‘blockchain’ Solana.

Beliau dan rakan-rakannya berjaya mengumpul modal AS$1.9 juta ($2.45 juta) daripada pelabur dalam sesi pembiayaan yang dipimpin firma modal teroka, RockawayX, bagi membangunkan produk baru berasaskan AI.

Anak sulung empat beradik itu berkata pencapaiannya itu hanyalah satu batu loncatan kepada “perkara-perkara lebih besar”.

Bukan sahaja beliau berharap syarikatnya berada di landasan yang betul, tetapi juga berharap untuk membentuk dirinya sebagai individu yang dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.

Harapan bangsa

Banyak lagi kisah kejayaan generasi muda kita yang telah terpahat dalam sejarah.

Dalam kisah mereka terdapat banyak pengajaran yang boleh menjadi contoh kepada yang lain.

Meskipun kita masih mempunyai cabaran yang menggugat kemajuan, belia-belia contoh ini telah membuktikan kita boleh mengatasinya dan berjaya.

Dengan sifat positif dan tekad tinggi yang tidak pernah mundur, mereka cerminan visi masyarakat gemilang.

Sesungguhnya kita mampu maju dan berdaya saing; berilmu dan berpendidikan tinggi; berakhlak dan berwibawa; dan mampu membentuk sebuah masyarakat makmur dan sejahtera.

Justeru belia kita memainkan peranan amat penting dan strategik dalam usaha kita untuk mencapai visi masyarakat gemilang itu.

Mereka bukan sahaja aset utama negara, tetapi juga pelapis kepimpinan masa depan dan ejen perubahan.

Mereka juga pemangkin transformasi dan peneraju inovasi; penyumbang besar dalam ekonomi; dan penjunjung nilai murni serta integriti.

Di atas bahu mereka harapan bangsa untuk menjadikan visi masyarakat gemilang satu realiti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg